Friday 6 March 2009

Slumdog dan Imarah Ya'qubiyan


Slumdog Millionare dan Imarah Ya'qubiyan

Di dalam salah satu sessi tutorial bersama para siswa pra-siswazah Durham kami telah membincangkan isu filem 'Slumdog Millionare'. Menurut Jack, warga British yang membesar di Hong Kong, filem tersebut menarik cuma kurang 'makna mendalam'. Bagi yang lain, mereka menikmati kelainan berbanding filem-filem barat...kesimpulannya mereka semua mengiktiraf filem yang telah menerima sebelas pencalonan oscar baru-baru ini.

Ali Redha, rakan di Department yang merupakan warga British sebangsa dengan Dave Patel a.k.a Jamal Malik pula mempunyai sikap yang berbeza. Beliau yang telah menonton filem berkenaan bersama isterinya mendapati bahawa filem tersebut amat menyayat hati. Menurut Ali, filem tersebut mendedahkan realiti sebenar kehidupan. Bagi beliau yang membesar di dalam keluarga kelas menengah di UK, agak sukar menahan perasaan melihat 'realiti' tersebut.

Saya kurang meminati filem Hindi, kecuali yang bertemakan anti-Kolonialis. Namun kehebatan filem slumdog millionare ini telah memaksa hidung saya digam di hadapan skrin monitor lap top untuk mengikutinya sehingga ke penghujung (Alamak, PhD macamana?...)

Saya agak berbeza pendapat dengan Ali, Jack, anak-anak murid saya di Durham Univ dan beberapa rakan lain yang pernah memberikan komen... (seperti biasa ;))

Filem tersebut tidak menyedihkan ataupun menarik perhatian saya (kecuali muziknya yang agak menarik). Filem tersebut hanya membawa saya kembali teringatkan novel The Castle karya Kafka dan juga 1984 karya George Orwell.

Jamal tidak menjadi isunya. Millionare bukan juga isunya. Isu kemiskinan, budaya samseng dan juga jurang kekayaan rakyat India juga bukan penariknya.

Filem tersebut merupakan kritikan terhadap penyalah gunaan kuasa pihak keselamatan. Watak si algojo dan juga bossnya hampir menyerupai mana-mana watak did alam filem ataupun novel berkaitan 'penderaan tahanan tanpa bicara'. Ini sah kes salah guna kuasa. Namun siapa peduli, ianya di India. Mungkin para samseng dan penyamun yang datuk nenek moyang mereka berasal dari negara si Jamal agak bernasib baik di Malaysia. Penderaan pihak keselamatan ke atas para tahanan jenayah mendapat liputan media dan juga perhatian pejuang hak asasi...bayangkan jika mereka berada di Mumbai atau di Delhi, mungkin tiada siapa yang kisahkan mereka.

Lokasi penyiksaan tahanan di dalam filem Slumdog juga amat serupa dengan set lokasi sel penyiksaan tahanan di dalam filem Mesir, 'Imarah Ya'qubiyan' (2006) yang dibintangi oleh Adel Imam. Filem yang berdasarkan novel yang mempunyai tajuk yang sama itu memaparkan keadaan sosial rakyat Mesir yang digambarkan melalui penghuni bangunan Ya'qubiyan di kota Kaherah Mesir. Selain dari menonjolkan penyalah gunaan kuasa pihak keselamatan yang menyiksa tahanan tanpa bicara, filem tersebut juga memaparkan korupsi parti pemerintah Mesir di bawah pimpinan Hosni Mubarak.

Adengan penyiksaan tahanan agak serupa. Hanya berbeza, pihak polis India lebih kurang sedikit kebinatangannya berbanding polis atau pihak SB di Mesir. Siapa yang tidak kenal pihak SB Mesir yang tahapnya kurang sedikit sahaja dari Iblis. Cuma yang menarik, kedua-dua boss para SB di mesir dan India mempunyai wajah yang hampir sama, iaitu wajah mirip Muhammad Dahlan, ketua Mafia Fatah di Gaza yang telah bersama Israel merancangkan serangan ke atas Gaza pada penghujung tahun lalu. Jangan lupa Muhammad Dahlan juga merupakan boss SB yang telah menyiksa tahanan Palestin di zaman Arafat. Beliau juga telah berjaya menjadi telinga dan mata pihak ISrael di bumi Gaza sepanjang pemerintahan Arafat dan Abbas. Jika tidak kerana kegagalan coup de tat yang beliau rancangkan bersama Kolonel Dayton dan juga Tel Aviv, nescaya hari ini beliau akan menjadi Perdana Menteri kerajaan pimpinan Mahmoud Abbas, wakil Israel keapda rakyat Palestin.

Menarik bagi filem 'Imarah Ya'qubiyan, ia telah memaparkan akar kepada kumpulan ekstrimis dan radikal Jama'ah Islamiyyah di Mesir (yang telah diasaskan oleh Abu Aiman al-Zawahiri). Kejahatan pihak kerajaan Mesir dan juga kekejaman penyiksaan ke atas tahanan di dalam sel-sel di Mesir telah menyemarakkan gejala radikalisme di atas nama agama.

Apa yang penting, samada ianya di Mesir atau di India, kedua-dua memaparkan betapa 'State' begitu berkuasa ke atas kehidupan individu. Malah 'State' juga berhak untuk mengetahui mengapakah rakyat membuat keputusan menurut kehendak mereka. 'State' bertindak melampaui kuasa Tuhan yang telah memberikan kebebasan kepada manusia untuk memilih. Jika itu di India dan Mesir, di negara-negara Arab lain juga tidak kurang dahsyat. Lebih dahsyat lagi di Arab Saudi, kerana mereka menghalalkannya di atas nama agama. Seperti kebiasaannya, di dalam sejarah umat Islam, seringkali agama dijadikan alasan untuk menjustifikasikan kezaliman pemerintah, dan mengharamkan rakyat dari menikmati hak mereka. Saya belum bersedia untuk menerima keadaan sebegini, apatah lagi di bumi Malaysia. Saya tidak akan membiarkan kezaliman dihalalkan di atas nama agama, apatah lagi oleh mereka yang mendakwa diri sebagai pejuang agama dan penegak negara Islam.

Saya terfikirkan, bilakah agaknya ada pihak yang berani tampil memaparkan kezaliman yang sama yang berlaku di dalam sel-sel tahanan Kamunting dan juga di seluruh negara di layar perak. Begitu juga, keadaan yang lebih dahsyat di negara jiran sebelah tambak. Realiti kehidupan yang sebenar perlu dipaparkan...mungkin buku Dua Wajah karya Syed Husin Ali, bidak di papan catur karya Raja Petra dan juga Suara dari Kamunting oleh Saari Sungip boleh membantu pengarah filem memperlengkapkan skrip...

Finas tidak akan luluskan?

Hahaha, dunia global ini begitu luas...kolot sungguh mereka yang menyempitkan pemikiran di dalam lingkungan sempadan geografi negara.

Jika filem sukar dihasilkan, apakah mungkin animasi boleh menjadi alternatifnya?, mungkin animasi ala-ala 'Waltz With Bashir' akan lebih bererti.


1 comment:

  1. boleh... sambil2 siapkan tesis tu boleh buat skrip KAMUNTINg ka, atau apa2 tajuk yang komersil... hamidah mat boleh tolong edit... mcm biasa...
    takde idea boleh tanya kitaorang... orait je...

    ReplyDelete