Thursday 5 March 2009

Sex, Drug, Rock & Roll dan Ayatollah


Sex, Drug, Rock & Roll dan Ayatullah

Prof Robert Gleeves bukanlah seorang yang asing bagi para penuntut PhD dari Malaysia di Universiti Exeter. Beliau merupakan 'Tok Guru' kepada kebanyakan para pengkaji dari Malaysia yang melanjutkan pelajaran di dalam bidang 'Islamic Studies' ataupun 'Middle Eastern Studies'. Saya memanggil beliau 'Ayatollah' kerana ilmunya yang mendalam di dalam mazhab Shiah, terutamanya dari aliran 'Akhbariy'.

Ketika kali pertama bertemu dengan 'Ayatollah' ini di Durham, beliau seakan teringat nama saya yang pernah diterima untuk melanjutkan pengajian PhD di bawah seliaan beliau. Saya terpaksa menolak Exeter kerana peluang yang lebih saya buru ialah berkaitan dengan ilmu politik, terutamanya politik ekonomi di Timur Tengah. Durham University, atau lebih spesifik lagi, School of Government and Internatioanl Affairs mempunyai kelebihan ini, di samping kelebihannya di dalam bidang Islamic Bankng and Finance di UK ini.

Jika Exeter mempunyai 'Ayatollah' mereka, Durham juga mempunyai tok guru kami untuk bidang Islamic Finance. 'Syeikh' Rodney Wilson yang menjadi penyelia kepada majoriti warga Malaysia di dalam bidang berkenaan dan juga 'Mullah' Mehmet Asutay, penyelia saya...Sayang sekali mereka hanya pakar di dalam bidang POlitical Economy, berbanding Ayatollah di Exeter yang menguasai bidang Fiqh dan Teologi.

Ayatollah Gleeve telah dijemput untuk memberikan ucaptama di majlis memperingati Prof. Ann Lambton di Durham. Seperti Lambton, Gleeve juga pakar di dalam bidang berkaitan 'Persian Studies'. Selain berkebolehan berbahasa Arab yang fasih, seperti Lambton, Gleeve juga pakar berbahasa Parsi, termasuk dialek Tehran. Mungkin hasil dari permukiman beliau yang agak lama di Qum.

Tajuk ucaptama beliau amat menarik. 'Sex, Drug, Rock and Roll in past revolution Iran'.

Beliau mengambil titik tolak mengenai konep 'Individualisme' barat berhubung 'state intervention in the private sphere of the citizen' (Campur tangan daulah di dalam ruang peribadi rakyat). Tiga perkara tersebut, Dadah, seks bebas an rock and roll merupakan sampel menilai perbezaan 'campur tangan' tersebut. Beliau membuat perbezaan di antara sikap kerajaan British pra-Tatcher dan juga kerajaan Iran pasca Revolusi berhubung kes tersebut.

Amat menarik, sungguhpun kerajaan British terkenal dengan sikap liberal mereka, namun ketiga-tiga perkara tersebut pernah mengundang campur tangan daulah di dalam urusan peribadi rakyat British pada penghuung 70'an dan awal 80'an. Di Iran sudah tentulah...cuma yang membezakan kedua-dua campurtangan tersebut adalah titik tolak campur tangan. Bagi Iran sudah tentulah agama dan juga kestabilan daulah menjadi sebab utamanya. Berlainan pula dengan kerajaan British yang mengharamkan dan mengenakan hukuman ke atas ketiga-tiga perkara tersebut, mereka mempunyai alasan dan juga pendekatan yang berbeza. Samada isu kesihatan, moral ataupun keselamatan, kesemuanya disimpulkan dengan kata 'rasional'.

Cuma yang agak mengkagumkan saya ialah keupayaan Gleeve untuk melihat sudut perbincangan fiqhi di kalangan Rahabar, Ayatllah dan juga Marja' di hawzah-hawzah di Iran berhubung isu berkenaan. Ia menampilkan kefahaman beliau yang mendalam bukan hanya kepada isu Iran, Syiah dan juga politik pasca revolusi, tetapi juga kepada falsafah titik tolak penghasilan hukum di kalangan ulama Syiah di Iran.

Antara perbincangan yang agak menarik ialah berhubung pengharaman muzik di hawzah sebelum revolusi telah di'halal'kan oleh Khomeini selepas revolusi. Alasannya mudah, iaitu negara Iran yang 'baru' itu memerlukan lagu kebangsaan. Walau bagaimanapun perbincangan mereka untuk menghalalkan lagu tersebut amat menarik dan mempunyai nilai 'usuli' dan falsafi. Mungkin di waktu lain boleh diperbincangkan.

Bagaimana di Malaysia?, adakah kita berupaya untuk menghasilkan ilmuan bersikap 'objektif' yang menguasai bidang ilmu yang luas?

Ataupun kita masih dibelenggu dengan sentimen kepuakan dan ketaksuban bermazhab. Hal ini benar-benar membantutkan proses penghasilan dan pengkayaan ilmu. Mungkin jika para ulama dan agamawan gagal di dalam menguasai sikap seperti ini, mengapa tidak diberikan peluang kepada ilmuan sains kemanusiaan?

Apakah ada di kalangan ilmuan sains kemanusiaan yang sudi untuk menguasai pelbagai bahasa dan bersikap objektif di dalam kajian terhadap bidang lintas agama, lintas mazhab?, ataupun bidang sains kemanusiaan sudah tidak relevan?

Selagi masyarakat kita hanya memandang bidang teknikal sebagai kemuncak kehidupan, agak mustahil untuk menghasilkan masyarakat yang menguasai ilmu, apatah lagi menghasilkan ilmu.

No comments:

Post a Comment