Tuesday, 10 February 2009

Memahami Psyche para Mufti


Memahami Psyche para Mufti

Selesai sudah konfrens mengenai Gaza di bumi Vienna. Sejumlah Euro 1.3 juta berjaya dikutip pada satu malam sahaja. Walaupun Syeikh Raed Salah (Syeikh al-Aqsa) tidak dapat hadir kerana dihalang oleh pihak imigresen Israel, namun kehadiran acara tersebut mencapai angka hampir 5 ribu hadirin.

Apa yang menarik bagi diri saya ialah perbincangan ringkas dengan beberapa wakil dari Palestin 1948 (Israel). Perwakilan tersebut diketuai oleh Syeikh Raed Fathi, ulama muda yang mengetuai majlis fatwa Palestin 1948. Banyak sekali yang diperbincangkan, insha Allah akan dikongsikan di lain waktu. Antara yang menarik ialah mengenai pilihanraya umum Israel, keputusan Harakah Islamiyyah 1948 untuk memboikot pilihanraya berkenaan, masa depan umat Islam di dalam Israel dan lain-lain lagi. Antara yang menarik juga ialah kritikan ramai pihak terhadap Syeikh al-Azhar yang langsung senyap tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung isu Gaza, mahupun memaksa kerajaan Mesir membuka sempadan Refah.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Syeikh al-Azhar pernah bersalaman dan berbual mesra dengan Shimon Perez. Individu yang telah dimalukan oleh Erdogan baru-baru ini. Insiden pada bulan November 2008 di salah sebuah acara anjuran PBB di New York itu pernah mendapat liputan meluas akhbar antarabangsa. Malangnya apabila ditanyakan mengenai insiden berkenaan, Syeikh Mohammad Tantawi hanya mengatakan beliau tidak mengenali Perez, walaupun mereka berprogram bersama. Beliau juga menafikan bahawa Gaza sedang dikenakan sekatan ekonomi oleh Israel dan pihak barat. Lebih memalukan, beliau memaki wartawan Israel yang membuat liputan mengenai insiden berkenaan. (Lihat:http://www.alarabiya.net/articles/2008/12/07/61568.html; http://blogs.abcnews.com/worldview/2008/12/egyptian-outroa.html; http://www.youtube.com/watch?v=_xjSxQJiuI4; http://www.youtube.com/watch?v=1QS7ZtcZUNQ&feature=related; http://www.youtube.com/watch?v=EXxbAul0YBc&feature=related)

Mungkin sebelum ini, saya seperti juga majoriti umat Islam di seluruh dunia tertanya-tanya mengapakan al-Azhar, institut pengajian tinggi Islam paling berprestij dan paling tua di dunia membisu menegnai isu Gaza dan Mubarak. Kini segalanya sudah terjawab...

Di dalam waktu yang sama, Malaysia digemparkan dengan isu Perak. Bagi umat Islam mereka menjadi semakin terkejut dan terkujat-kujat mendengar fatwa dari mufti Perak yang mengatakan wajib mentaati Sultan dan keputusannya di dalam apa perkara sekali pun. Mufti yang selama ini dipuja oleh para pak lebai kerana suara lantangnya menghentam Sure heboh, kongsi raya dan juga keberaniannya mengisytiharkan angka 40,000 orang telah murtad di Perak walaupun tanpa fakta dan bukti yang jelas, kini telah mengecewayakn puluhan ribu para peminatnya. ramai di kalangan kaki takbir telah menjadi termanggu-manggu dan kehilangan semangat dengan fatwa berkenaan...keliru tentang arah politik mereka.

Mengimbau hal ini, kita teringatkan kisah al-Izz bin Abdul Salaam dan keberaniannya... Mungkin kerana di waktu itu institusi agama menjadi sektor ketiga dan bukannya di bawah telunjuk pemerintah. Institusi agama sekali lagi memerlukan kemerdekaan, menjadi suara masyarakat sivil dan juga kuasa keempat di dalam negara majoriti Muslim demi mengembalikan kegemilangan para ulama.


Maszlee
* Namun, jika para ilmuwan agama masih lagi di dalam kepompong pemikiran jumud dan anti-kemajuan, sampai bila-bila pun sektor agama tidak akan menjadi suara yang pro-aktif...kekal menjadi kuda tunggangan pihak yang pandai menggunakan kesempatan sahaja.

No comments:

Post a Comment