Monday, 1 December 2008

Siapa yang mampu?


Laura Booth

Siapa yang mampu?

Hari ini al-Jazeera melaporkan dua tiga perkara yang amat menyayat hati. Bukan isu Mumbai yang mendapat liputan hebat media, bukan juga isu perhimpunan Liga Arab yang seperti biasa hanya membazirkan wang rakyat negara-negara Arab untuk para pemimpin mereka menghabiskan waktu makan angin dan berjudi. Isu yang pertama ialah mengenai Gaza yang kini berada di dalam kegelapan kerana bekalan eletrik telah diputuskan terus oleh rejim Zionis Israel. Isu yang kedua ialah mengenai kapal yang membawa 3000 tan bekalan makanan dari Libya telah dihalang memasuki perariran Gaza oleh tentera laut rejim Zionis. Isu ketiga ialah demonstrasi di kebanyakan ibu negara Arab di hadapan kedutaan Mesir dan rejim Zionis memaksa mereka menghentikan kepungan ke atas Gaza.

dari 50 lebih negara-negara Islam dan lebih 20 negara-negara Arab, mengapa hanya Libya sahaja yang menghantarkan bekalan makanan melalui jalan laut?

Ke manakah Mesir dan Jordan yang bersempadan dengan Gaza dan Tebing Barat?

Ke manakah Arab Saudi dan negara-negara teluk yang lain di mana kini menjadi lembu tenusu demi menyelamatkan ekonomi AS dan negara-negara Eropah?

Ke manakah juga Iran yang sering menggunakan isu Palestin sebagai retorik mereka?

Tidak mengapalah, cuba kita kembali ke tanah air kita, Malaysia...

Mungkin jika Majlis Fatwa Kebangsaan meluluskan fatwa mengenai tanggungjawab Muslim di malaysia untuk membantu menghentikan 'kepungan rejim Zionis' ke atas Gaza sudah tentu lebih berbaloi daripada fatwa yoga dan pengkid.

Mungkin jika dapat NGO-NGO Islam dan kemanusiaan tampil mendesak, mengadakan demo dan juga menghantar memorandum kepada kedutaan Mesir dan Jordan untuk membuka sempadan mereka dengan Palestin sudah tentu ianya juga akan lebih bermakna.

Apa yang lebih penting ialah mendesak kedutaan Palestin yang didiami oleh wakil PLO agar peduli tentnag nasib saudara mara mereka di Gaza dan mendesak agar Mahmoud Abbas jangan membiarkan rakyatnya di Gaza menderita dengan keredhaannya.

Mungkin juga NGO-NGO di Malaysia boleh bekerjasama dengan NGO-NGO Eropah yang telah berjaya menghantar bot memasuki Gaza untuk menghantar lebih banyak lagi bot-bot membawa bekalan makanan dan perubatan. Laura Booth, (gambar di atas) aktivis utama Save Gaza Boat aka Free Gaza Movement dan juga kakak ipar Tony Blair sudah tentu gembira jika dapat diundang ke Malaysia untuk berkongsi pengalamannya yang menarik itu. Khabarnya beliau kini bercadang membawa feri dengan muatan 200 penumpang untuk ke Gaza di dalam usaha memecahkan kepungan rejim Zionis ke atas rakyat Gaza.

Laura Booth amat menarik. Beliau telah cuba membawa keluar kanak-kanak sakit tenat yang memerlukan rawatan di luar. Malangnya kerajaan Mesir dan Jordan menghalang beliau dari membawa kanak-kanak tersebut keluar mendapatkan rawatan melalui sempadan mereka. Siapa lebih kejam?, rejim Zionis ataupun Mesir dan Jordan?

Mungkin pertubuhan hak asasi wanita yang berada di Malaysia boleh membantu di dalam hal ini dengan mengambil peduli nasib wanita-wanita di Palestin yang dicabuli oleh rejim Zionis. Bukan sahaja hak mereka untuk bekerja, belajar dan mendapat layanan sama rata dengan kaum lelaki dinafikan oleh rejim, malah ramai di antara wanita-wanita Palestin dinafikan hak dari mendapat rawatan perubatan untuk bersalin dan sakit di hospital-hospital kerana tiada bekalan eletrik dan ketandusan ubat-ubatan. Di manakah pertubuhan-pertubuhan wanita ini?

Apa yang lebih malang, apakah yang berada di dalam pemikiran pihak yang menghalang isu kepungan rejim Zionis ke atas Gaza dari dibincangkan di dalam Dewan Rakyat? Apakah telah hilang sifat kemanusiaannya?, ataupun hanya robot yang menerima arahan tanpamempunyai rasional dan naluri insaniyah?

Allahumma...

4 comments:

  1. itulah hasil yang telah ditinggalkan,
    kita diajar membenci, kita tidak didik mencintai sesama manusia,

    bile kebencian menyemarak, bukan setakat bom diri, bom arang yang disayangi pun boleh.......

    he he he

    ReplyDelete
  2. hmm.. pada akhirnya, yang dijuangkan menderita.. mereka pula sibuk berfoya-foya

    ReplyDelete
  3. Pendekar,

    ni apa pulak bom-bom ni...rasanya tuan pendekar ni dah salah tajuk...katsini takde orang cerita bom-bom, kita gunakan bahasa masyarakat sivil, bukan bahasa peperangan.


    Maszlee

    ReplyDelete
  4. teruskan usaha membantu mereka walau apa dengan cara sekalipun, wang, harta, nyawa (jika nak jihad)atau berdoa...wassalam

    ReplyDelete