Thursday, 16 October 2008

Menulis Sejarah


Menulis Sejarah

Tabik buat THTL, Syaikh al-fikrah.net!

Thread di dalam ruangan forum laman web tersebut yang bertajuk 'Akhirnya ku temui Islam yang Sebenar' amat bernilai.

Beliau telah membuka satu lembaran baru di dalam sosio budaya gerakan dakwah di Malaysia. Pendedahan berani beliau mengenai pengalaman beraktivisme melalui 'Kumpulan Dakwah' berteraskan fikrah 'Ikhwan Muslimin' versi 'Ustaz Dahlan' amat berharga buat para pecinta dakwah dan gerakan Islam.

Jika di negara-negara barat, penulisan seumpama itu akan menjanjikan pulangan yang lumayan untuk para penulisnya. Lebih dari itu, ianya akan menjadi bahan sejarah dan bahan rujukan generasi mendatang. Pengalaman amat penting, dan ianya perlu ditulis dan dirakamkan. Tanpa penulisan terhadap sejarah, kisah lampau hanya akan menjadi peninggalan yang tiada nilainya.

Ibarat kemudaan pada wajah seseorang yang akan digantikan dengan ketuaan. Ketegangan wajah digantikan dengan urat-urat dan juga kulit yang mula kendur dan kerepot. Jika kemudaan wajah tidak dirakamkan, samada melalui foto ataupun lukisan, maka kemudaaan itu akan dilupakan...

Begitu juga pengalaman di dalam dakwah dan tarbiyah. Begitu juga di dalam politik dan aktivisme perjuangan. Tanpa catatan sejarah, kesemuanya akan hilang bersama angin yang berlalu.

Hassan al-Banna, Zainab al-Ghazali, Yusuf al-Qaradawi, Ali Tantawi, dan ramai lagi tokoh-tokoh dakwah yang lain telah menyedari hal ini. Sebab itulah mereka merakamkan pengalaman-pengalaman mereka yang amat berharga di dalam memoir-memoir yang menjadi rujukan kepada generasi kini dan masa hadapan.

Malangnya di Malaysia gerakan-gerakan dakwah versi Ikhwan Muslimin masih lagi tidak terbiasa dengan cara sebegini. Isu keselamatan, kerahsiaan dan juga adab-adab tanzim haraki menjadi alasannya. Akhirnya sejarah mereka dirosakkan oleh unsur-unsur yang merasa dengki dengan kehebatan dakwah yang telah berjaya ditonjolkan. Bukan sekadar dirosakkan, malah dimanipulasi dan ditokok tambah, bahkan difitnah...sehingga menjadikan sejarah itu sesuatu yang hitam dan kabur.

Sejarah perlu ditulis selagi mereka yang terlibat masih hidup. Ianya perlu didedahkan sebagai suri tauladan bagi generasi pelapis...biar pahit, biar maung...banyak yang boleh dipelajari dan dimanfaatkan.

THTL telah memulakannya, mungkin kita ternantikan dari yang lain-lain pula.

Bagaimana dengan saudara Maszlee kita?

Dia bukanlah pencipta sejarah...Beliau juga tidak bernilai di dalam arus dakwah dan gerakan Islam tanah air, hanya penonton dan tukang sorak sahaja. Bukan sekadar peranannya yang agak minimum dan sekunder, malah beliau juga amat tidak layak untuk memikul tugas ini, namun siapa tahu, waktunya mungkin akan sampai juga!

No comments:

Post a Comment