Alexander Dumas
Bahaya Generalisasi
“All general statements are dangerous, including this one.”
Alexandre Dumas (1824-1895)
Sememangnya sikap ‘sapu bersih’ ataupun ‘tangkap muat’ juga adalah seburuk generalisasi. Istilah lain yang sering digunakan juga ialah ‘blanket accusation’, ataupun tangkap borong. Sikap seperti ini bukan sahaja jauh dari menyikapi kebenaran, malah juga membuka seluas-luasnya ruang persepsi dan prejudis.
“Semua Yahudi itu jahat!”
“Kristian semuanya ingin berdakwah kita agar masuk ke dalam agama mereka”
“Orang Amerika adalah jahat dan kejam”
“Orang Islam adalah pengganas”
“Islamis kesemuanya inginkan negara Islam yang melaksanakan Islam secara rigid”
“Orang Melayu pemalas”
Kesemuanya merupakan persepsi dan juga generalisasi.
Ilmu tidak boleh dibina di atas persepsi dan generalisasi seperti ini. Seperti mana umat Islam tidak dapat menerima bahawa diri mereka dilabel sebagai pengganas, begitu juga dengan bangsa lain, masyarakat lain dan juga penganut agama lain. Mereka juga punya hak untuk memberikan definisi terhadap hakikat diri mereka.
Isu ini mengingatkan saudara Maszlee kita kepada beberapa buku tulisan Puan Ainon Xifu PTS. Saudara Maszlee ini sering mengusik rakan-rakan yang pernah berguru dengan Puan Ainon lewat kursus-kursus penulisan yang dianjurkannya sebagai pengikut Ainonisme...Ini juga generalisasi!
Sememangnya manusia bernama Maszlee amat menghormati dan tabik kepada wanita gigih ini. Bukan hanya dari sudut kegigihan beliau membina empayar penerbitan buku melalui syarikat PTS yang amat terseohor hari ini, malah juga cara berfikir beliau yang agak terkehadapan dan mendahului zaman.
Tapi ruang ini bukan didedikasikan kepada beliau, kita sambung waktu lain. Ruang ini digunakan untuk menzahirkan rasa tidak puas hati seorang insan bernama Maszlee Malik terhadap sikap barat di dalam menyikapi golongan ‘Islamis’.
Apakah definisi Islamis?
Siapakah dia Islamis?
Bagaimanakah seseorang itu layak dinobatkan sebagai Islamis?
Ini memerlukan satu kertas kerja, ataupun sebuah buku: “Islamis: Definisi Hari ini”
Di dalam silibus atau materi pengajian MA di School of Government and International Affair tempat insane Maszlee ini menuntut terdapat sebuah modul bertajuk ‘Politics and Civil Societies in the Middle East’.
Antara isi kandungan modul tersebut ialah tajuk berkaitan ‘Islamists and Islamism’ dan juga ‘Islamic State’. Kedua-duanya diajar oleh rakan si Maszlee ini, Prof Y****, seorang warga Jepun yang menetap di Durham. Beliau merupakan ‘pakar’ di dalam bidang ‘Security in the Middle East’. Kononnya beliau amat mahir tentang isu-isu berkaitan ekonomi, keselamatan dan juga politik Timur Tengah. Ini bukan main-main, banyak sekali tulisan beliau mengenai topic berkenaan. Lebih banyak dari tulisan Rashid Ghannouchi sendiri, ataupun tulisan Murshidul Am Ikhwan al-Muslimun di Mesir, Mahdi Akef.
Malangnya, apa yang saudara Maszlee kita tidak setuju ialah isi kandungan tajuk tersebut. Lebih beliau tidak setuju lagi ialah tenaga pengajar berkenaan, bukan kerana dia non-Muslim, juga bukan kerana beliau seornag Jepun. Ini bukan soal peribadi. Masalahnya, beliau tidak oernah membuat kajian khusus dna juga tidak terlatih dengan persoalan-persoalan berkaitan gerakan Islam dan juga trend-trend di dalam gerakan Islam. Biar sehebat mana pun beliau dalam isu keselamatan dan ekonomi di Timur Tengah, namun beliau tidak pernah hidup ataupun bergaul, ataupun menjalankan kajian lapangan dan berjumpa dengan mereka yang hidup di dalam kerangkan ‘gerakan Islam’.
Lebih malang lagi, beliau juga terperangkap di dalam paradigma generalisasi barat mengenai ‘Islamis’. Mungkin beliau tidak sedahsyat golongan Neo-Cons dan Zionis yang anti kepada Islam, tetapi beliau tidaklah lebih dari J.L. Esposito dan John Voll di dalam isu ini. Mungkin individu seperti Robert Leiken yang telah menjelajah ke negara-negara Arab untuk mengkaji tentang hakikat gerakan Islam versi Ikhwanul Muslimin lebih patut dijadikan contoh kepada mana-mana ilmuwan barat yang ingin memperkatakan ataupun mengajar tentang Islamism, Islamists dan juga Islamic State. Walau apapun sikap neutral Prof Y harus diberikan penghirmatan, beliau tidak bias!, malah lebih neutral berbanding pendokong Ahbasyh dan pendokong Salafi keras yang menyesatkan golongan Islamis versi gerakan Islam.
Adalah tidak adil untuk menyapu rata semua Islamis di dalam satu bakul, apatah lagi umat Islam di dalam satu bakul.Memanglah umat islam itu merupakan satu ummah, satu entiti, tetapi metod mereka berbeza. Malah bangsa mereka juga berbeza-beza. Cara pemikiran dan pendekatan mereka juga berbeza. Adalah tidak adil untuk menyamaratakan mereka semua.
Ikhwan Muslimun di Mesir tidak sama dengan Jamaah al-Adl wal Ihsan di Maghribi, HAMAS tidak sama dengan Hizbullah di Lubnan, PArti Nahdah di Tunisia tidak sama dengan FIS di Algeria, malah Hizbu Tahrir tidak sama dengan al-Muhajiroun di UK, AKP di Turki tidak sama dengan PKS di Indon, malah PAS di Malaysia tidak sama dengan Jabhah al-Amal al-Islami di Jordan. Taleban di Afghanistan tidak sama sekali serupa dengan Jamaat Islami di Indo-Pakistan, dan jamaah Tabligh tidak sama sekali serupa dengan golongan tarekat di Hadral Maut dan di Tarem. Golongan Salafi pro-Albani di Jordan tidak sama dengan Jamaah Salafiyyah di Kuwait, malah golongan pro-Madkhali di Saudi jauh sekali bezanya dengan golongan Deobandi di Indo-Pakistan.
Sesiapa yang ingin mengkaji setiap gerakan perlu melihat ruang-ruang perbezaan ini agar tidak terjerumus ke lembah generalisasi. Jika tidak kita tidak akan berlaku adil. Untuk melihat perbezaan ini, dan juga untuk mengkaji secara akademik, para pengkaji harus berlaku adil dan bersikap neutral. Kajian mereka bukanlah untuk menjatuhkan ataupun memenangkan sesuatu pihak ke atas pihak yang lain. Ruang bias dan taksub hanya akan merosakkan nilai akademik sesuatu kajian. Biarlah setiap individu membuat konklusi mereka sendiri berdasarkan maklumat dan ilmu yang mereka ada. Ruang akademik bukanlah ruang indoktrinisasi dan rekrutmen.
Apabila melihat kepada literasi-literasi yang menjadi rujukan kepada modul berkenaan, akhirnya saya merasa insaf mengapakah sikap generalisasi ini timbul. Amat kurang kajian-kajian secara objektif oleh para pendokong gerakan Islam mahupun pemimpin mereka di dalam mendedahkan perihal diri mereka di dalam Bahasa Inggeris. Vakum ini akhirnya direbut oleh para pengkaji barat yang melihat dari luar, menilai dari luar, dan juga membuat pertimbangan berdasarkan neraca mereka sendiri tanpa menyelami ruh dan juga aspirasi gerakan-gerakan tersebut. Hasilnya...generalisasi!
* Amat kecewa kerana karya-karya Bashir Nafi’, Abdul Wahab el-Messiri, Ahmad al-Katib, Abu Rabi’, Taha Jabir al-Alwani, dab Fahmi Huwaydi tidak dijadikan rujukan. Ahhh, aku mesti menulis!!!
salam ustaz
ReplyDeleteartikel yg bermanfaat
ada tak generalisasi di dalam quran?
mohon pencerahan
namun generalisasi adalah satu kondisi manusia yang semula jadi dan congruent dengan keperluan untuk relativisasi bagi setiap manusia ...
ReplyDeletethus ia default bagi kita?
namun seorang itu harus (to put it crudely) "get an education" supaya beliau dapat memahami isu yang sebenar ..
wallahualam ..
eid mubarak ustad - ana khairu rejal dari Singapura, sempat ketemu dengan ustaz untuk berapa ketika di KONSIS berapa tahun yang lalu :)
teruskan menulis ya ustaz..
ReplyDeleteusaha menaiktarafkan manhaj pemikiran ummah Islam Melayu perlu terus disemarakkan..
wallahul musta'an