Keterlibatan politik di dalam kehidupan seorang Muslim
Seorang Muslim yang benar-benar memahami peranannya sebagai seorang Khalifah adalah seorang ‘Homo-Islamicus’ menurut Ismail Faruqi. ‘Manusia Islam’, menjalani kehidupannya bertunjangkan paksi Tauhid. Hidupnya dan matinya adalah berdasarkan panduan Tauhid yang menyediakan typology ‘kehambaan’ kepada pencipta sebagai landasan hidupnya. Seorang Homo-Islamicus menyedari bahawa dia adlah makhluk, diciptakan Allah sebagai khalifah dengan misi menjayakan dua objektif utama kehidupannya, iaitu mengabdikan diri kepada Allah (Ibadah) dengan mengikuti suruhanNya dan meninggalkan laranganNya serta melakukan ‘Imarah’, iaitu memakmurkan dan membangunkan dunia ini serta mengelakkan kemusnahan terhadapnya. Di atas misi inilah, para Nabi dan Rasul diutuskan kepada manusia agar sentiasa diperingatkan mengenai tugas mereka.
Seorang Homo-Islamicus secara semulajadinya merupakan seorang warga politik. Mereka dilahirkan untuk menjayakan misi keadilan, keamanan dan juga mengislahkan muka bumi ini. Tugas tersebut bukanlah satu pilihan, tetapi satu kewajipan demi menjayakan konsep ‘Khalifah’ melalui dua tugas utama, Ibadah dan Imarah. Maka, di dalam teks-teks suci ditekankan konsep penegakan keadilan, penentangan kezaliman dan penzalim, pengorbanan, keadilan social, memperjuangkan golongan yang ditindas, menegur dan meruntuhkan tirani, memberikan hak yang adil dan saksama, menyebar luaskan kebaikan, menghindari kejahatan dan kemusnahan, dan pelbagai mekanisme yang membawa kepada maksud ‘Human Well-Being’ (Kesempurnaan kehidupan manusia). Ungkapan Islami di dalam Bahasa Arabnya pula berbunyi ‘Jalb al-Masalih fi Hayat al-Naas wa Dar al-Mafasid minha’.
Politik dan keterlibatan politik merupakan satu kewajipan di dalam kehidupan seorang Homo-Islamicus. Tidak ada istilah non-politik di dalam kamus hidup seorang Homo-Islamicus. Sepertimana berbuat baik kepada ibu-bapa itu wajib, membantu orang fakir itu wajib, menjaga hak jiran tetangga itu wajib, menjauhi riba itu wajib, keterlibatan politik juga merupakan satu kewajipan. Namun perlu dibezakan, keterlibatan politik dengan sikap partisan ataupun politik kepartian. Pemahaman keterlibatan politik membawa maksud yang lebih luas. Keterlibatan politik tidak boleh disempitkan hanya pada aktiviti mengundi, berkempen dan menghadiri ceramah-ceramah politik sahaja. Keterlibatan politik mempunyai nuansanya yang syumul lagi komprehensif.
Di dalam pemahaman konvensional mengenai keterlibatan politik ataupun penyertaan politik (political participation), perbincangan hanyalah berkisar mengenai ruang rakyat untuk bersuara, mempengaruhi polisi pihak berkuasa, keterlibatan rakyat di dalam memilih wakil mereka untuk memerintah Negara dan juga kemampuan rakyat untuk melakukan akauntabiliti ke atas wakil-wakil yang telah mereka pilih. Pada penghujung 60’an dan awal 70’an, timbul pula isu penglibatan ‘sivik’ para rakyat sebagai salah satu tuntutan demokrasi. Ada yang meilhatnya sebagai sesuatu yang positif dan sebagai pemangkin kepada keterlibatan politik. Di pihak yang lain pula, ianya dilihat sebagai faktor yang melencongkan rakyat dari keterlibatan politik dan menyempitkan mereka di ruang sivik semata-mata.
Di zaman pos-Governance (tadbirurus), iaitu selepas pemasyhuran terma ‘Good Governance’ oleh Bank Dunia pada tahun 1989, isu keterlibatan politik menjadi lebih intensif. Keterlibatan rakyat bukan hanya pada ruang politik dan sivik semata-mata, malah juga pada ruang ‘governance’ (tadbirurus). Ruang tadbirurus yang luas dan tidak bersempadan mencapahkan lagi ruang keterlibatan rakyat untuk memerintah diri mereka sendiri, berbanding diperintah oleh para elitis. Mungkin teori ‘tirani baik’ ala Plato sudah tidak relevan lagi di dalam fenomena baru ini. Rakyat kini bukan lagi pengguna, tetapi juga penentu dasar bagi kehidupan mereka sendiri. Konsep ‘Public Sphere’ (ruang umum) Habermas menjadikan ruang keterlibatan rakyat menjadi semakin luas, terutamanya selepas revolusi teknologi komunikasi maklumat.
Ruang keterlibatan rakyat yang kemuncaknya boleh disimpulkan kepada ‘keterlibatan politik’ membuka ruang kepada Homo-Islamicus untuk meningkatkan amal mereka. Amal lewat keterlibatan politik menjadi satu usaha mudah dan tidak memberikan ruang alasan kepada rakyat. Fenomena Blog, Face book, laman web, dan lain-lain lagi ruang media memudahkan lagi para Homo-Islamicus untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan mereka melalui ruang keterlibatan politik. Malangnya, mungkin tidak semua Homo-Islamicus berpeluang meningkatkan amalan dan ketaqwaan mereka, terutamanya di Negara-negara yang diperintah oleh despot dan rejim yang zalim. Manusia-manusia zalim yang memakai label Islam untuk menjustifikasikan kekuasaan mereka ini menjadi penghalang kepada Homo-Islamicus untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah lewat ruang keterlibatan politik. Golongan penzalim inilah sekeji-keji manusia. Ruang bersuara ditutup, kebebasan berhimpun, berorganisasi dan membangkang dinafikan. Kekayaan Negara disamun, ruang akauntabiliti dilenyapkan. Maka, di dalam keadaan ini, para Homo-Islamicus mempunyai ganjaran yang lebih lebih besar unutk beramal lewat bidang keterlibatan politik, selaras dengan kaedah yang diterima umat Islam, ‘al-Ajr ‘ala Qadr al-Masyaqqah’ (Ganjaran pahala berdasarkan kepayahan mengerjakan sesuatu amalan).
No comments:
Post a Comment