Thursday 13 March 2008

Politik Warga: Nuansa Baru Politik Malaysia

Politik Warga: Nuansa Politik Baru Malaysia

Di dalam rancangan “Al-Rakyu Wa al-Rakyu al-Aakhar” di stesen TV al-Jazeerah pada tahun 2006, pemikir politik Islam dari UK, Dr Azzam Tamimi telah diprovokasikan dengan satu soalan yang amat sinis. Salah seorang panel forum, yang mengakui dirinya sebagai Muslim Liberal telah menyindir para aktivis Islam sebagai telah mengotori agama Islam dengan kotoran politik. Beliau lebih selesa jika Islam itu bersikap bebas politik. Jika Islam itu telah bebas dari politk, maka hubungan di natara Muslim dan bukan Muslim akan menjadi lebih harmoni. Cadangan beliau itu telah disokong penuh oleh panel yang lain, iaitu seorang paderi berbangsa Arab dari Universiti Cambridge. Paderi tersebut juga menyokong cadangan Muslim Liberal tersebut agar ajaran Islam dirombak semula, terutamanya di dalam bidang aqidah agar sesuai dengan realiti semasa.

Cadangan dangkal tersebut telah disangkal oleh Dr Tamimi sebagai sesuatu yang tidak berasas. Pertamanya, lipatan sejarah Islam telah menunjukkan betapa masyarakat Islam dan non-Muslim boleh hidup bersama secara sejahtera di bawah pemerintahan Islam. Beliau mengambil contoh bagaimana kaum Yahudi telah menikmati kehidupan yang lebih bertamadun di Andalusia tatkala mereka menghadapi penyembelihan dan penindasan oleh kaum Kristian di benua Eropah. Keduanya, tiada apa-apa yang tidak kena dengan aqidah Islam mengenai realiti hari ini, yang timbul ialah suasana pasca-penjajahan telah dikeruhkan lagi oleh siri-siri penjajahan baru seperti isu Palestin, peperangan di Afghanistan dan juga peperangan di Iraq. Luka lama akibat dijajah oleh empayar-empayar Kristian bukan sekadar berdarah kembali, malah menjadi semakin parah dengan apa yang telah berlaku.


Mengenai isu pemisahan Islam dari politik pula, Dr Tamimi membawa hujah yang lebih manrik. Menurut beliau, Islam itu sendiri membawa mesej politik sebagai salah satu komponen hidayah dan petunjuk dari Illahi. Islam menentang kezaliman, penindasan, kemungkaran dan juga mempromosikan keadilan. Kesemuanya membawa konotasi politik. Islam juga menyeru kepada amar makruf dan nahi munkar, itu juga mesej politik. Islam menyuruh kepada pembelaan golongan yang lemah dan miskin. Mesej tersebut juga merupakan mesej politik. Islam mengharamkan pemerintahan tirani, kuku besi dan juga memperjuangkan prinsip kedaulatan undang-undang. Kesemuanya itu merupakan mesej politik. Islam menggalakkan shura, takaful, mengharamkan rasuah, mempromosikan ketelusan. Kesemua elemen tersebut merupakan mesej politik. Bagaimanakah logiknya seruan untuk memisahkan Islam dari politik. Seruan seumpama ini hanya akan menghapuskan sebahagian besar daripada ajaran Islam itu sendiri.

Dr Tamimi juga menegaskan bahawa setiap Muslim itu dilahirkan sebagai ahli politik. Allah menyeru agar sentiasa wujud golongan yang melakukan amar makruf dan nahi munkar di dalam jasad ummah. Usaha tersebut merupakan salah satu dari elemen terpenting di dalam politik, iaitu akauntabiliti. Di dalam sebuah hadis riwayat al-Hakim pula disebutkan bahawa “Penghulu para syuhada adalah Hamzah (bapa saudara Nabi Muhammad SAW) dan juga lelaki yang berdiri di hadapan pemimpin yang zalim sambil menyerunya ke arah kebenaran dan mencegahnya dari kemungkaran, dan kemudian beliau dibunuh”. Bukankan hadis tersebut membawa mesej politik?

Hal ini membawa kita untuk merenung sejauhmana berpolitiknya kita sebagai “homo Islamicus” (Islamic man/manusia Islam). Walaupun kita bukannya homo politicus yang menjadikan matlamat duniawi sebagai motivasi politik, tetapi kewujudan kita sebagai homo Islamicus memaksa kita untuk melaksanakan tuntutan wahyu agar kita turut berpolitik. Samada untuk menyeru kepada kebenaran ataupun untuk mencegah kemungkaran. Janganlah hanya disempitkan kemungkaran itu hanya kepada kes-kes khalwat, zina, berkelakuan lucah dan meminum arak semata-mata. Rasuah adalah kemungkaran, pecah amanah adalah kemungkaran, mengambil hak rakyat adalah kemungkaran yang maha besar, mengabaikan tanggungjawab sebagai pemimpin, menyalah guna wang negara, menipu rakyat jelata, menzalimi rakyat yang tidak berdosa, mengambil tanah rakyat, merobohkan rumah –rumah rakyat, menafikan hak bersuara juga merupakan antara kemungkaran-kemungkaran yang wajib dicegah dan dilawan.

Tahap pendidikan yang di Malaysia mungkin agak tidak berapa maju sehinggakan kebanyakan rakyat (terutamanya mereka yang tidak pernah terdedah dengan dunia luar) menyangkakan bahawa ruang politik hanya terbatas kepada politik kepartian semata-mata. Lebih malang lagi, suasana politik hanya hangat lewat Pilihanraya-pilihanraya umum sahaja. Mengharukan juga apabila persoalan politik hanya diletakkan pada bahu-bahu mereka yang terlibat dengan parti politik semata-mata. Jika seseorang itu tidak terlibat dengan mana-mana parti politik, samada menjadi penyokong, penggerak ataupun pemimpin parti politik, maka ruangan politik bukanlah medan mereka.

Persoalannya, apakah ruang lain yang boleh digunakan selain daripada berada di dalam gelanggang parlimen ataupun DUN untuk melaksanakan misi politik?

Ruang Gerakan Masyarakat Sivil!

1 comment:

  1. Assalamualaikum..
    ...Hakikatnya , di malaysia terdapat beberapa golongan dan terdapat beberapa perspektif yang berbeza tentang politik...ada yang berfikiran Sekular,ada golongan yang hanya tahu berpolitik (kepartian)bersemangat,aktif berceramah,malangnya objektifnya hanya pada skop yang terlalu sempit , hanya mengikut waktu2 tertentu, ditempat2 yang tertentu, ada juga dikalangan penyokong2 yang amat taasub serta beria-ria melaungkan slogan ISLAM, tetapi malangnya akhlak mereka tidak menunjukkan langsung keperibadian islam, kata2 kesat, rokok ditangan dll ," nauzubillah" ..Disana ada juga golongan yang sudah bosan dengan politik2 serta kerenah ahli2 politik yang tidak langsung menunjukkan kematangan dalam berpolitik dll...
    Cuma pada pandangan saya pada waqi'e di malaysia, ialah Kepada pencinta2 Islam khususnya Parti atau jamaah yang membawa massage Islam ada yang "taa'jul" gopoh-gapah dalam ber-politik hingga mengabaikan banyak lagi wasilah2 yang tidak kurang pentingnya kepada dakwah dan ISLAM,ada juga yg tertipu dengan ahli2 yang ramai, malah ada yang ingin menegakkan hudud atau syariah Allah tanpa melalui serta mengimani proses2 tarbiyyah , semuanya hanya sia2 tanpa pentarbiahan yang mantap dan gitu. "maa laa yatiimu waajib illa Bihi fahua Waajib" ...Hakikatnya ,lahirnya ramai pengikut2 yang pandai berkata-kata serta mempunyai "wai'y Siyasi" kesedaran serta politik ISLAM, malangnya hanya disempitkan dalam skop yang terlalu kecil serta dihiasi dengan ketaasuban parti . Maka jadilah apa yang difokuskan hanya untuk kepentingan parti bukannya ISLAM. Kepada Harakah ISLAMIYYAH secara khususnya dan kepada anak2 harakah secara umumnya perlu kembali bermuhasabah terhadap apa yang telah berlaku,, janganlah terlalu bergantung kepada hanya dengan berpolitik serta "wai'y Siyasi" semata, malah ada yang terlalu yakin dengan sistem "Demokrasi" dalam menegakkan syariah Allah dibumi malaysia. Oleh itu kita berdakwah bukan utk mengajak kepada memilih "Demokrasi" atau parti..ttp kita mengajak kepada ISLAM .." tiadalah patut bagi seorang mukmin atau mukminah apabila datang kepadanya sesuatu suruhan daripada ALLAH mereka memilih2 trhadp urusan mereka"-Al-quran-

    ...Jazakumullah kpd Ust kerana mengutarakan tajuk ini,,...Harap tunjuk ajar!!!

    Abu_Muslim

    ReplyDelete