Thursday, 13 March 2008

Tsunami di Mesir




Tsunami di Mesir

Di kala rakyat Malaysia sedang bergembira di atas tsunami kebangkitan barisan rakyat lewat PRU 12 yang lalu, di Mesir lain pula ceritanya. Menjelang Pilihanraya Peringkat Majlis perbandaran di Mesir bulan depan, pasukan keselamatan Mesir telah dikerahkan untuk menangkap para aktivis parti pembangkang. Selepas siri penangkapan pada bulan-bulan yang lalu, pada 13 Februari 2008, pasukan kselamatan rejim Mubarak telah menangkap 15 orang aktivis pertubuhan al-Ikhwan al-Muslimun (IM). Mereka ditangkap tanpa sebarang tuduhan, dan kemudiannya ditahan tanpa sebarang perbicaraan sehinggalah diputuskan oleh pihak rejim (alquds.co.uk, 13/2/2008).



Setakat ini, seramai 800 aktivis pertubuhan IM telah ditangkap dan ditahan menjelang pilihanraya yang dijadualkan berlangsung pada 8 April 2008 nanti. Seramai 40 orang tahanan tersebut telah dibicarakan sebanyak tiga kali di mahkamah biasa yang kesemuanya mendapati mereka tidak bersalah. Keputusan tersebut telah memaksa rejim Mubarak untuk mengheret kesemua tahanan IM untuk dibicarakan di mahkamah tentera. Satu polling yang dilakukan oleh Arab Network for Human Rights menunjukkan bahawa 67.53% rakyat Mesir tidak bersetuju dengan tindakan membawa para aktivis tersebut ke mahkamah tentera. Mereka juga berpendapat bahawa penghakiman di mahkamah tentera adalah tidak adil (ikhwanweb.com, 13/2/2008).

Berhubung dengan penangkapan-penangkapan tersebut, Pada 12 Februari 2008, Dana Perino, setiausaha akhbar Rumah Putih telah mengeluarkan kenyataan rasmi kerajaan AS yang mengutuk tindakan berkenaan. Beliau juga menegaskan bagi pihak Rumah Putih bahawa kerajaan Mesir haruslah menghormati hak setiap rakyat Mesir untuk terlibat di dalam politik dan memilih kerajaan yang mereka inginkan. Walaupun ini bukan kali pertama Rumah Putih menyatakan pendirian mereka berhubung kekejaman rejim Mubarak, namun tiada apa tindakan yang dikenakan ke atas Mesir. Maslahat yang lebih besar, terutamanya berhubung isu Palestin telah membuatkan AS mempunyai hubungan “love-hate” dengan rejim Mubarak. Hal yang sama juga boleh difahamkan berkaitan hubungan AS dengan Rejim keluarga Saud di Arab Saudi. “The New Middle East” yang demokratik hanyalah satu penipuan yang sepatutnya difahami sebagai The New Middle East according to US interest.

Agak ironik, di kala pertubhan IM sepertimana pertubuhan-pertubuhan versi gerakan Islam di seluruh dunia telah memilih demokrasi sebagai wadah untuk perjuangan, pihak rejimMubarak masih lagi menggunakan strategi ‘Baltajah’ (barbarik) lapuk mereka. Bukan hanya sekadar penglibatan melalui proses pilihanraya yang demokratik, malah IM telah menerokai segala ruang demokratik yang wujud. Malang sekali, itu bukanlah bahasa yang difahami oleh rajim Mubarak. Lebih malang lagi, di antara 800 aktivis IM yang telah ditangkap dan ditahan, pengendali laman web IM, Khaled Hamza, juga telah menjadi mangsa kegilaan rejim Mubarak. Beliau yang telah ditahan pada penghujung bulan Februari yang lalu telah ditahan di atas tuduhan pengendalian laman web rasmi pertubuhan tersebut. Beliau kini telah dipindahkan ke hospital kerana keadaan kesihatannya yang tidak memuaskan. Selain dari Khaled, beberapa pengendali blog juga telah menjadi mangsa tangkapan tanpa bicara di Mesir menjelang pilihanraya yang bakal menjelang itu (ikhwanweb.com).

Malang sekali, di negara di mana terdapatnya pusat pengajian ilmu Islam yang terkemuka, Universiti al-Azhar, rejim Mubarak bagaikan tidak mendapat tentangan dari para alim ulama di sana di atas kekejaman yang mereka lakukan. Jika ada bantahan pun hanyalah dari para aktivis hak asasi manusia yang rata-ratanya bukanlah golongan Islamis. Mungkin pengaruh Firaun lewat saki baki piramid di Giza itu lebih kuat berbanding dengan kesucian udara keilmuan dari anjung universiti al-Azhar. Atau mungkin juga para ulama di al-Azhar perlu dibebaskan pemikiran mereka agar dapat melihat dunia yang lebih luas berbanding kelapukan buku-buku khazanah ilmu silam sahaja.

1 comment:

  1. Salam ustaz..
    Kalau ustaz masih ingat lagi, sy Nurdiana (student kelas Bahasa Arab di matrix UIA dulu..). Ustaz masih di UK? Ustazah, Nusaybah, SUmayyah dan Ruraydah (yg sy tak smpat kenal) apa khabar? Dlm dok cari feqah wanita kat Internet tetiba nampak nama yg sgt sy kenal, dh lama nk jumpa ustaz sekeluarga tapi tak berpeluang. Skrg sy dan suami berada di Jerman (sambung MSc. in Mechatronics). Kalau berpeluang, dan diizinkan Allah.. sy teringin sgt nk melawat Ustaz sekeluarga di UK. Nak jumpa ustazah (tringat dulu tolong2 ustazah masak 'maqlubah' sama2.. makan dlm dulang, hehe..). nusaybah, dh besar skrg (ingat lg dulu kalau dlm TV ada lagu Ummi..Ummi.. tu, dia ikut nyanyi sama..) dh siap ada blog sndiri.. kalau ada kesempatan ustaz boleh menerima kunjungan sy nanti.. ni alamat email saya... didie0919@yahoo.com atau didienazrin@gmail.com. dan no. phone sy +492712369559.

    Salam buat Ustaz sekeluarga. Moga Allah berikan saya kesempatan berjumpa dengan Ustaz sekeluarga.

    ReplyDelete