Wednesday 27 February 2008

Negara Islam Tidak Sesuai di Malaysia?


Negara Islam tidak sesuai di Malaysia?

Sekali air bah, sekali pantai berubah. Begitulah ibaratnya tarian orang-orang politik. Isu dan mood rakyat menjadi penentunya. Mendapatkan sokongan dan juga undian adalah tujuan utama mana-mana parti politik yang bertanding di dalam pilihanraya. Samada perjuangan parti didasarkan di atas ideologi, aqidah, kepercayaan, sentimen, mahupun kepentingan keduniaan, kesemuanya mempunyai matlamat yang sama setiap kali menjelang pilihanraya. Menang undi!!!

Penglibatan parti-parti politik berteraskan Islam merupakan fenomena biasa di dunia pasca kolonialisasi pada abad ke 20 yang lalu. Slogan “negara Islam”, “penegakan Syariah”, “hukum hudud”, “”wakil Allah”, “Islam Adalah Penyelesaian” dan lain-lain lagi menjadi perencah golongan yang terlibat untuk mendapatkan sokongan. Komitmen parti-parti Islam memperjuangkan kepercayaan mereka melalui lapangan demokrasi menjadi satu fenomena pada waktu tersebut.

Dua peristiwa besar telah menghasilkan sintesis kepada penglibatan parti-parti Islam di dalam lapangan demokrasi. Kejayaan FIS di Algeria yang dinafikan, dan juga coup de ta di Turki oleh golongan tentera selepas kemenangan Refah membentuk kerajaan campuran telah merubah lanskap perjuangan parti-parti Islam di lapangan demokrasi. Di satu sudut, suara yang bersikap sinis dan anti-demokrasi telah mula mendapat tempat. Jika dulunya, ia begitu tidak popular, namun selepas kedua-dua peristiwa tersebut, suara ini menjadi diminati semula. Tamimi (2001), menyenaraikan dua kumpulan utama yang begitu mempromosikan pendirian tersebut, Hizbut Tahrir dan juga golongan Salafi Jihadi ala al-Zawahiri. Beliau mungkin mempunyai alasan tersendiri untuk tidak menyenaraikan golongan Salafi tradisional dari Arab Saudi juga mempunyai kecenderungan seperti ini, namun penolakan mereka terhadap demokrasi dan prosesnya bukanlah sesuatu yang asing. Di atas aqidah “haramnya menentang pemerintah”, maka mereka berpendirian haramnya terlibat di dalam pilihanraya.

Di sudut yang lain pula, wujud golongan yang merasakan bahawa penglibatan di dalam pilihanraya bukanlah sesuatu yang syar’i, tetapi ianya adalah di atas dasar darurat. Mereka hanya mengambil peluang yang ada paa demokrasi untuk mencapai tujuan yang mereka sasarkan. Proses demokrasi hanya diibaratkan sebagai batu loncatan sahaja. Abu Faris (1989) telah mengemukan pendapat ini. Beliau mengemukakan pendapatnya itu sewaktu gerakan Ikhwan al-Muslimun di Jordan sedang rancak menceburi alam politik dan menyertai kerajaan Jordan di zaman al-Marhum Raja Hussin. Al-Asyqar (1990) walau bagaimanapun telah mengemukakan dalil-dalil syarak berkaitan keharusan penglibatan gerakan Islam di dalam proses demokrasi. Hatta sewaktu penglibatan beberapa individu Ikwan di Mesir di dalam parti al-Wasat, timbul desas desus di kalangan aktivis Ikhwan yang cenderung untuk memandang sinis penglibatan tersebut. Al-Qaradawi pada waktu itu telah tampil untuk membuat penjelasan dan sokongan beliau di atas keterlibatan para aktivis gerakan Islam di dalam kehidupan demokrasi.

Golongan ketiga pula bersikap lebih realistik. Keadaan persekitaran dan juga perubahan dunia menjadi subjek observasi mereka. Mereka mengambil kira realiti semasa dan juga ruang-ruang ijtihad yang wujud. Akhirnya mereka muncul dengan ijtihad dan pendekatan yang baru. Khan (2002) menamakan generasi ini sebagai generasi kedua gerakan Islam. Mungkin penamaan tersebut agak kurang tepat memandangkan kewujudan generasi kedua gerakan Islam lain yang lebih radikal dan ekstrim. Mungkin istilah yang lebih sesuai dipakai ialah, generasi pro-demokrasi gerakan Islam. Mereka melihat bahawa proses demokrasi, jika tidak kesemuanya, kebanyakannya bertepatan dengan ruh Islam. Mereka juga melihat bahawa penumpuan kepada isi (substance) kepada kehendak Islam itu lebih penting dari slogan retorik dan kulit (form) semata-mata. Tokoh-tokoh seperti Rashid Ghannouchi, Abdul Wahab Effendi, Abdul Wahab el-Messiri, Tariq al-Bishri, Azzam Tamimi, Salim al-Ewwa dan lain-lain merupakan di antara mereka yang tergolong di dalam golongan ini (Lihat: Tamimi, 1997).


Rashid Ghannouchi

Para pelopor AKP di Turki telah menyedari hal ini. Kesedaran hasil pengalaman golongan Islamis Turki terdahulu yang telah mengalami kemenangan dan kejatuhan di dalam arena politik demokrasi telah membentuk nuansa pemikiran baru bagi mantan para aktivis Refah satu waktu dahulu. Sensitiviti dan juga kecerdikan di dalam mengambil peluang yang ada menjadikan mereka lebih licik di dalam berpencak di milenium baru. Maka, di atas dasar demokrasi liberal yang tulin, mereka telah muncul di dalam politik bentuk baru. Mungkin AKP lebih berani, bukan hanya sekadar mereka menjauhi slogan-slogan retorik dan juga pendekatan yang terlalu berwarna “Islam”, mereka terus memunculkan wajah baru.

PKS di Indonesia juga termasuk di dalam golongan ini. Setelah percubaan yang kurang menghasilkan kejayaan pada PRU 1999, mereka mengorak langkah baru di tahun 2004. Tiada lagi slogan Syariat ataupun negara Islam sebagai modal politik. Malah HAMAS di Gaza dan Tebing Barat turut memainkan rentak yang sama. Di Maghribi, Parti Adalah wa Tanmiyah (keadlian dan pembangunan) juga tidak ketinggalan di dalam mempromosikan politik bentuk baru gerakan Islam. Isu negara Islam bukan lagi modal utama, malah ianya menjadi liabiliti kepada kebanyakan parti Islam yang terlibat di dalam proses demokrasi. Kini, isu tadbir urus (governance), pemerintahan yang adil, bersih rasuah dan juga isu-isu ekonomi dan pendidikan menjadi modal parti-parti Islam.

Gelombang perubahan ini turut melanda Malaysia. Kemunculan negara “berkebajikan” sebagai manifesto satu-satunya parti Islam di Malaysia, iaitu PAS adalah buktinya. Jika pada tahun 1990 PAS telah berjaya menjana kemenangan dengan bermodalkan hudud, namun PRU 2004 telah menyaksikan bagaimana isu “negara Islam” yang dipromosikan oleh PAS menjelang pilihanraya telah menjadi satu liabiliti. Kesan Islamphobia yang melanda dunia jelas dapat dirasakan di serata dunia, termasuk di Malaysia. Mungkin di atas kesedaran inilah, PAS di dalam PRU ke-12 ini menampilkan strategi baru untuk mendapatkan sokongan. Jika diamati, tidak langsung disebutkan pun isu negara Islam ataupun hukum hudud di dalam manifesto PAS pada PRU kali ini. Apakah formula yang telah membuahkan hasil di Turki, Indonesia dan juga Palestin akan memberikan impak yang sama juga di Malaysia?

Persoalan yang timbul ialah, apakah pendekatan baru PAS ini bersikap “genuine” berdasarkan keputusan “bottom-top” ataupun sekadar modal pilihanraya semata-mata?

Apakah golongan pro-Negara Islam dan golongan ulama di dalam PAS benar-benar telah bersedia untuk mengambil pendekatan baru ini? Atau ianya hanya sekadar sesuatu yang sementara sahaja?

Sebuah buku yang amat menarik berhubung isu negara Islam ini telah diterbitkan oleh Malaysia Think tank London. Buku tulisan Dr Abd Wahab Effendi mantan aktivis gerakan Islam di Sudan ini amat bermanfaat untuk para pembaca. Beliau yang juga aktivis gerakan Islam pro-Demokrasi yang kini berada di Westminster University, UK. Komen dari pengerusi Malaysian Think tank London, saudara Wan Saiful Wan Jan juga amat bermanfaat.

Sila dapatkannya melalui: www.my-islamic-state.com.

7 comments:

  1. Salam.Wah,menarik!
    Ana ada sedikit persoalan ketika membaca tulisan ustaz tentang 'Belajar Islam di Barat' mengenai Hasan al-Banna. Agak ramai juga penulis yang menyenaraikan Hasan al-Banna adalah tokoh yg mndpt suntikan pembaharuan dari tokoh Muhammad Abduh.Cuma ingin memohon kepastian sekiranya terdapat sumber, sejauh mana Hasan al-Banna boleh dianggap tokoh yang lahir dari idea pembaharuan Abduh, atau dianggap sebagai anak muridnya.Jazakumullah.

    ReplyDelete
  2. Hassan al-Banna anak murid Rashid Redha. Redha anak murid Abduh.

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. Rasanya di Malaysia golongan ketiga ini tidak wujud dan tiada sokongan. Melaungkan slogan mempopularkan syariah pun suatu anjakan daripada tuntutan penegakkan negara Islam yang tidak kreatif. Dikhuatiri usaha menyemai bibit-bibit politik warga akan terbantut dengan slogan-slogan ini.

    Apakah golongan-golongan ini ada kredibiliti di kalangan rakyat? Mungkin tiada kelayakan sama sekali?

    ReplyDelete
  5. A'kum wbt,

    menarik artikel nie ustaz.soalan saya, adakah perlu manifesto Negara Berkebajikan itu diputuskan secara bottom-top, dan adakah ustaz pasti pendekatan yang diambil oleh gerakan Islam di Sudan dan Turki itu juga berdasarkan bottom-top,bukannya diputuskan oleh pimpinan?

    Jazakallah

    ReplyDelete
  6. Sudan?

    Turki (AKP), yes!

    Maszlee

    ReplyDelete
  7. Demokrasi Malaysia mungkin memiliki ciri-cirinya yang tersendiri. Mengakui Malaysia sebagai negara Islam meskipun belum secara sepenuhnya dengan dibuktikan bahawa terdapat peruntukan dalam perlembagaan adalah suatu yang perlu digunakan sebaiknya.Usaha-usaha penjelasan bahawa Islam amat mementingkan keadilan&kebajikan rakyat perlu lebih agresif dijalankan dan dibuktikan dengan tindakan. Saya suka idea Dr Abd Aziz Bari. Mengambil iktibar dari luar dan melihat kekuatan dan peluang yg ada dalam konteks Malaysia amatlah diperlukan. Apapun pemikiran politik Islam perlu bersedia berhadapan dengan'trial&error' dan tidak salah untuk mencuba selagi prinsip2 asas dalam Islam masih terjaga.

    ReplyDelete