Tuesday 29 January 2008

Pemuda Bani Tamim


Pemuda Bani Tamim

(Artikel ini pernah disiarkan di dalam beberapa media bercetak dan eletronik yang lain. Ianya disiarkan lagi di web ini sebagai ulangan bagi mereka yang tidak berkesempatan membacanya)

Pemuda Bani Tamim Dari Rembau

Cerita mengenai Pemuda Bani Tamim di Malaysia dipopularkan oleh para pengikut jamaah al-Arqam. Mereka beriktiqad bahawa Syeikh Suhaimi, pengasas Aurad Muhammadiyah adalah Imam al-Mahdi. Mereka juga meyakin bahawa al-Mahdi tersebut akan dibantu oleh seorang pemuda dari Bani Tamim. Pemuda Bani Tamim adalah satu individu yang merujuk kepada riwayat-riwayat yang mengatakan bahawa Imam al-Mahdi akan dibantu oleh seorng pemuda berketurunan Tamim yang bernama Syuib bin Salih. Walau bagaimanapun riwayat-riwayat tersebut bukanlah riwayat yang masyhur di kalangan para ulama muktabar ketika membicarakan persoalan al-Mahdi.

Menurut Ashaari Muhammad, pengasas jamaah Darul Arqam ataupun al-Arqam, pemuda tersebut adalah dirinya sendiri. Para pengikut beliau pula meyakini juga bahawa Abuya mereka, Ashaari bin Muhammad adalah pemuda tersebut. Menurut mereka juga, Ashaari selaku pembantu Bani Tamim akan dibantu oleh Asoib, iaitu pengikut-pengikutnya dari kalangan ahli jamaah al-Arqam. Hal berkaitan pemuda Bani Tamim ini telah banyak mereka bincangkan semenjak tahun 1992 lagi. (Lihat: Ann Wan Seng, Rahsia al-Arqam, KL: PTS Publication, hal. 84-86)

Antara buku-buku yang bercerita mengenainya ialah buku “Timur dan Khurasan dalam jadual Allah” tulisan Pahrol Mohamad Juoi, buku “Pemuda Bani Tamim Perintis Jalan Imam Mahdi” tulisan Abu Muhammad Atta, buku “Malaysia Daulah Pemuda Bani Tamim” tulisan Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, dan buku “Dakwah Islam dalam Perspektif Ashaari Muhammad” oleh Dr. A. Tasman Ya’cub.

Selepas jamaah al-Arqam diharamkan pada tahun 1994, ramai yang menyangkakan doktrin ini akan terus hilang. Malangnya, walaupun ianya diharamkan di Malaysia, namun di luar negara, para pengikut al-Arqam terus aktif bergerak dan menjalankan aktiviti mereka. Di dalam negara pula, mereka telah bermetamorfosis menjadi Rufaqa. Dengan lebih 500 cawangan di seluruh negara sehingga tahun 2005, Rufaqa meneruskan semula perjuangan al-Arqam. (Lihat: Ashaari Muhammad, Nasihat buatmu bekas kawan-kawan lamaku, hal. 68).

Buku-buku yang dihasilkan selepas pengharaman al-Arqam dengan jelas menunjukkan perkara tersebut. Segala riwayat-riwayat yang berkaitan dengan “Pemuda Bani Tamim” telah cuba diserasikan oleh para pengikut al-Arqam dan kemudiannya Rufaqa dengan Ashaari. Ashaari mengganggap ianya sebagai ijtihad beliau, dan inilah hujah yang diguna pakai oleh para pengikut mereka. Perbincangan lanjut mengenai isu ini telah dikupas dengan baik oleh Dr Abdul Rahman Abdullah di dalam bukunya, “Gerakan Tradisional Islam Di Malaysia: Sejarah Pemikiran Jamaat Tabligh Dan Darul Arqam”, terbitan Karisma Publication, dari halaman 117 sehingga 121.

Kesimpulannya, bagi para pengikut al-Arqam dan juga Rufaqa meyakini bahawa Pemuda Bani Tamim yang akan muncul membantu Imam al-Mahdi adalah Ashaari Muhammad yang dilahirkan di Rembau Negeri Sembilan pada tahun 1938. Mereka juga percaya bahawa, Ashaarilah yang akan membantu Imam al-Mahdi iaitu Syeikh Suhaimi untuk menguasai dunia. Mereka juga percaya, bahawa mereka adalah tentera-tentera al-Mahdi.

Pemuda Bani Tamim dari Tehran

Sepertimana lain-lain kumpulan berteraskan aqidah “Masionic” (menantikan penyelamat atau Messiah), Syiah juga tidak ketinggalan mempunyai iktiqad berkaitan pemuda Bani Tamim. Antara teras aqidah Syiah Imamiyah ialah kedatangan Imam al-Mahdi. Imam ke-12 (Muhammad bin Hassan al-Askari) menurut aqidah Syiah itu akan muncul menjelang akhir zaman untuk mendaulatkan Islam selepas beliau menghilangkan diri berkurun-kurun lamanya. Imam al-Mahdi juga menurut kepercayaan Syiah akan membawa kebahagiaan kepada manusia sedunia (al-Syahrastani, al-Milal wa al-Nihal, hal. 165).

Menurut aqidah Syiah, Imam al-Mahdi yang akan muncul itu akan dibantu oleh Syuib bin Saleh, atau juga yang dikenali sebagai pemuda Bani Tamim. Di dalam buku al-Syiah wa al-Raj’ah, kaum Syiah ada meriwayat kata-kata Ammar bin Yasir yang mengatakan : “Syuib bin Salih akan bersama panji al-Mahdi”. (di dalam “al-Syiah wa al-Raj’ah, j. 1, hal. 211″, rujuk: www.wahamb.spaces.lives.com).

Di dalam riwayat yang lain pula, ada disebutkan: “Yang akan mengetuai tentera al-Mahdi adalah pemuda dari (Bani) Tamim, (beliau) berjanggut jarang dan dipanggil sebagai Syuib bin Salih”. (Lihat Ibn Hammad, al-Fitan)

Menurut riwayat-riwayat yang menceritakan sifat-sifat Syuib bin Salih, ialah: Beliau adalah seorang pemuda yang berkulit sawo matang, berbadan kurus, janggutnya jarang, pemimpin tentera, seorang yang tegas, seorang tentera yang berpengalaman, dan juga beliau berasal dari al-Ray (Iran).

Ciri-ciri tersebut menurut sesetengah golongan Syiah, terdapat pada Ahmadi Nejad ataupun “Ahmadi Nazod”, presiden Iran sekarang. Berdasarkan fakta ini, seorang ulama Syiah, Syeikh Misbah al-Yazdi, yang juga merupakan penasihat spritual kepada Ahmadi Nejad telah menegaskan bahawa Ahmadi Nejad merupakan Syuib bin Salih atau pemuda Bani Tamim tersebut. Beliau telah mengatakan perkara tersebut di dalam akhbar berbahasa Arab, al-Syarq al-Awsat bertarikh 13 November 2005.

Kenyataan beliau dikuatkan lagi dengan jolokan yang diberikan rakyat Iran kepada Ahmadi Nejad. Beliau digelar sebagai “Mard Dimyar” atau “Mard Soleh” yang bermaksud “Pemuda yang salih”. Beliau yang disayangi rakyat juga digelar sebagai “Notijat Sya’bi Salih” yang bermaksud “Syuib bin Salih”. Hal ini telah disentuh oleh seorang penulis Syiah dari Lubnan Syadi al-Faqeh di dalam bukunya, “Ahmadi Nejad Wa al-Thawrah al-Alamiyyah al-Muqbilah” (hal. 75-76).

Sepertimana gurunya, Ahmadi Nejad juga meyakini bahawa umat Islam sedunia sekarang berada di ambang kemunculan Imam al-Mahdi yang mereka nanti-nantikan. Pelbagai ramalan dan tilikan telah dilakukan oleh para ulama Syiah sekarang demi memadankan riwayat-riwayat dari imam-imam mereka tentang al-Mahdi dan peristiwa di zaman kemunculannya agar serasi dengan zaman sekarang. Sepertimana al-Aqam, Syiah yang lebih luas pengaruhnya di serata dunia juga turut mengakui bahawa merekalah tentera al-Mahdi. Peperangan Hizbullah-”Israel”, nuklear Iran dan juga ancaman dari AS dianggap sebagai mukadimah kepada kemunculan al-Mahdi. Kesimpulannya, Syiah juga turut mencalonkan Ahmadi Nejad untuk mengisikan kekosongan jawatan Syuib bin Salih, pemuda Bani Tamim.

Siapakah sebenarnya Pemuda Bani Tamim?

Persoalannya kini, siapakah sebenarnya pemuda Bani Tamim? Adakah beliau seorang Melayu yang dilahirkan di Negeri Sembilan? Ataupun dia seorang pemimpin negara yang berasal dari Ardibil, Iran?

Seperkara yang menarik mengenai kedua-dua calon Pemuda Bani Tamim tersebut ialah kedua-duanya bukanlah orang Arab dan bukanlah berasal dari Bani Tamim. Apa yang menarik juga ialah, kedua-dua calon berkenaan mempunyai Imam Mahdi yang berbeza. Seorang menantikan Imam Mahdi yang berasal dari Indonesia, manakala seorang lagi menantikan Imam Mahdi yang akan muncul dari Sirdabnya di Iraq. Lebih malang lagi nasib buat jawatan Imam al-Mahdi, bukan hanya dua orang calon dari Indonesia dan Iraq itu sahaja yang ada, malah ribuan calon al-Mahdi lain, sejak dari dulu, kini dan masa akan datang bersedia untuk mengisikan kekosongan jawatan tersebut. Setiap tarekat Sufi mempunyai calon masing-masing, setiap firaq (kumpulan) Syiah mempunyai calon mereka yang tersendiri, dan setiap kumpulan ajaran-ajaran sesat yang lain juga mempunyai calon mereka yang tersendiri. Ini bermaksud, jawatan Pmuda Bani Tamim juga bukanlah hanya milik kedua-dua calon dari Malaysia dan Iran. Ribuan lagi para penanti al-Mahdi yang bersedia untuk dinobatkan sebagai “Pemuda Bani Tamim”.

Tidakkah kita belajar dari pengalaman-pengalaman yang lepas. Bukankah ajaran-ajaran sesat dan agama-agama baru banyak yang muncul akibat Mahdi-Mahdi yang pernah muncul. Di kalangan Syiah sendiri pun, ajaran Bahaiyyah, Nusayriyah dan lain-lain lagi merupakan produk kemunculan Mahdi di zaman-zaman lampau dari kelompok mereka. Begitu juga halnya dengan ajaran-ajaran sesat lain yang turut timbul dari kumpulan-kumpulan sufi yang telah disesatkan oleh Mahdi-Mahdi mereka.

Persoalannya, apakah riwayat mengenai al-Mahdi dan Pemuda Bani Tamim benar-benar kuat dan qat’iyy? Kita serahkan kepada pakar-pakar hadith untuk meneruskan perbincangan seterusnya.


Penganut fahaman Syiah di hari Karbala

3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. betul apa yang di katakan helmi gutami , kita yang usag repot cari cari pasukan dan almahdi , yang penting kita semua perbaiki dan terus berpoman kepada al quran dan hadist , soalnya klo terlalu fokus ke kedatangan almahdi nanti muncul oknum2 yang memnfaatkanya dengan memuculkan almahdi almadi ngaco yang mengaku katanya q lah almahdi padahal bukan dia ... jadi ga perlu fokus kesana ... kita semua ga tau dari mana datangnya almahdi hnya allohlah yang mahal mengetahui .. juga tidak perlu cari cari orang , nanti juga akan muncul dengan sendirinya .. mahal bner alloh sengan segala firmannya ..

    ReplyDelete