Thursday 31 January 2008

It's Not Fair!!!


It’s Not Fair!!!

Ketika salah seorang pensyarah UIAM di Durham menziarahi rumah kami, Rufaydah (4 tahun) telah mengatakan “It’s not fair!!!”. Argumentasi si kecil itu timbul di atas rasa tidak puas hati dengan tindakan kakak-kakaknya. Nizam, seorang pakar ekonomi dan pengkaji lapangan ekonomi beretika (ethical economy) terkejut. Beliau berkata, “Wah, baru masuk nursery dah tahu pasal human rights???”

Hakikatnya memang kanak-kanak mempunyai hak mereka yang perlu dihormati. Bukan hanya selepas UN Convention on the rights of child, tetapi semenjak awal kewujudan kanak-kanak di dunia lagi. Seawal wahyu diterima oleh Nabi Adam A.S. Islam, sebagai wahyu sepanjang zaman telah memperjuangkan hal ini selama bekurun-kurun lamanya. Syariat Nabi Muhammad, sebagai Syariat penutup kepada agama Illahi juga menekan perkara ini berkali-kali.

Ketika Nabi Muhammad SAW muncul di Mekah, antara perjuangan Islam ialah untuk memperjuangkan hak anak-anak perempuan untuk hidup dan mendapat layanan serupa dengan anak lelaki. Islam juga memperjuangkan nasib anak-anak agar dinasabkan kepada sesuatu keturunan melalui ikatan yang sahih. Maka Islam telah mengharamkan segala jenis perhubungan haram di antara lelaki dan wanita yang diamalkan oleh masyarakat Jahiliyyah.Islam juga menjamin hak kanak-kanak untuk dijaga, diberikan perlindungan, diwariskan harta dan juga dihormati oleh semua.

Nabi Muhammad SAW juga telah mengatakan: “Bukanlah dari kalangan kami mereka yang tidak menyayangi kanak-kanak dan tidak menghormati orang tua” (Hadis riwayat al-Tarmidhi dan Abu Daud dengan lafaz yang berbeza). Malah kanak-kanak mendapat layanan istimewa dari Rasulullah Saw hatta ketika sedang beribadat (bersolat). Layanan baginda terhadap cucu-cucunya dijadikan tauladan kepada kaum Muslimin untuk mencontohinya.

Malah hak untuk mendapatkan pelajaran juga diterangkan oleh baginda. Di dalam sebuah hadis sahih riwayat al-Tarmidhi, baginda mengatakan: “Barangsiapa yang mempunyai tiga anak perempuan dan mendidik mereka dengan baik akan masuk syurga”. Apa yang dapat difahami melalui hadis tersebut ialah, hatta kanak-kanak perempuan pun mempunyai hak untuk belajar dan diberikan pelajaran.Amat sedih pada hari ini melihat hak perempuan untuk mendapatkan pelajaran dinafikan oleh sesetengah kaum Muslimin yang jahil dan mengamalkan Islam berdasarkan adat kuno bangsa mereka.

Hal ini mengingatkan saya kepada seorang rakan sewaktu bersekolah di Maahad Johor. Beliau yang dinobatkan sebagai Tuan Guru kerana berkeluluasan pondok dan mahir dengan pelbagai kitab kuning mempunyai pandangan yang skeptik kepada pendidikan kaum wanita di zaman moden. Seringkali para ustaz dicabar berdebat dan cuba ditonjolkan kejahilan mereka di dalam kelas. Apatah lagi para ustazah!

Beliau pernha mengatakan kepada saya, “Orang perempuan tidak perlu bersekolah tinggi-tinggi”, tambah beliau, “Ilmu yang wajib dipelajari oleh kaum wanita hanyalah ilmu mengenai fardhu ain dan juga mengenai darah yang keluar darikemaluan mereka sahaja!”...Alangkah luasnya dunia yang beliau huni!

Di satu sudut lain pula, seorang Syeikh berkelulusan dari Arab Saudi juga mempunyai pandangan skeptik yang hampir sama. Agak ironik, kedua-duanya saling memusuhi satu sama lain. Bagi sang Tok Guru tadi mengkafirkan Syeikh berketurunan Saudi kerana dituduh sebagai Wahabi dan Mujassimah. Si Tok Syeikh pula membid’ahkan Tok Guru kerana bersikap taksub mazhab dan memperjuangkan tarekat. Anehnya, di dalam hal pendidikan wanita, mereka sealiran!

Tok Syeikh mengatakan, “Anak perempuan ana, selepas umur 9 tahun ana akan berhentikan sekolah. Nanti mereka ikhtilat. Lagi pula belajar di sekolah tu banyak yang bid’ah!”.

Saya yakin mereka bukanlah pejuang “home schooling”, tetapi mereka mempunyai tafsiran tersendiri mengenai hak kanak-kanak dan wanita.

Di satu sudut yang lain pula, pihak yang terlalu liberal juga mempunyai doktrin yang ekstrim mengenai kanak-kanak. Di UK, kanak-kanak mempunyai hak untuk menghadapkan ibu bapa ke mahkamah jika mereka memukul kanak-kanak tersebut, walaupun atas tujuan mendidik. Malah ditengking dan diherdik pun boleh dijadikan isu. Kanak-kanak menjadi tidak hormat dan biadap kepada ibu bapa di atas nama freedom dan rights.

Kembali kepada Rufaydah dan perjuangan hak asasi beliau. Saya tidak pasti apakah hak beliau sebagai kanak-kanak dihormati seperti yang sepatutnya di Malaysia. Saya tidak memperkatakan tentang hak pendidikan dan juga hak untuk hidup, tetapi saya risau melihat jenayah yang semakin menjadi-jadi di Malaysia. Jenayah ke atas kanak-kanak menjadi sesuatu yang biasa di Malaysia. Penculikan, bunuh, rogol, dera, buang bayi dan pelbagai jenayah lain yang menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa menjadi berita utama di dada-dada akhbar.

Jika dulu, kanak-kanak mempunyai ruang geografi yang luas untuk mereka nikmati di dalam kehidupan mereka, hal ini tidak dapat dikecapi lagi oleh kanak-kanak zaman ini. Hendak keluar rumah pun sudah tidak selamat lagi. Hatta ke sekolah pun tidak selamat lagi untuk berjalan bersendirian, terutamanya kanak-kanak perempuan. Penjenayah berleluasa di serata pelusuk Malaysia. Malang lagi, sehingga kini para penjenayah tersebut ada yang masih bebas dan gagal ditangkap oleh pihak keselamatan kita yang amat cekap seperti di dalam drama gerak khas.

Hak kanak-kanak tiada ertinya di mata penjenayah. Apakah persoalan menghormati hak orang lain tidak diajarkan di sekolah-sekolah?, atau apakah hukuman tidak cukup keras?, atau apakah pihak keselamatan kita tidak efisien?, atau mungkin tahap keselamatan di tempat awam kita amat lemah?

Seperkara yang pasti Malaysia bukanlah tempat yang selamat lagi seperti 30 tahun yang lalu. It is really not fair!


No comments:

Post a Comment