Sunday 27 January 2008

Kevin Keegan Tuhan Mereka!




Kevin Keegan tuhan mereka!

Tahun 2008 telah disambut dengan gembiranya oleh penduduk Timur Laut (North East) England. Kawasan yang dikenali sebagai “Geordie land” ini bagaikan diberikan hadiah krismas pada tahun baru 2008. Kevin Keegan, lagenda bolasepak UK kembali ke Newcastle. Beliau kembali untuk menjadi pengurus kelab bola sepak yang telah malap buat beberapa ketika. “King Keegan”, Keegan the Messiah, Keegan is the god, dan bermacam-macam tajuk utama akhbar-akhbar tempatan di kawasan Geordie. Seperkara yang pasti, kehadiran beliau amat bermakna buat penggila bolasepak di kawasan utara England ini.

Sebagai salah satu tugasan untuk anak-anak di Sekoalh Melayu Bowburn, saya telah meminta mereka untuk melakukan sedikit survey. Demi melahirkan bakat pengkaji dan menanam sikap kritis dan berhujah berdasarkan fakta, mereka didedahkan kepada budaya pengkajian. Di dalam menelaah bab “Nabi-nabi dan Rasul-rasul”, mereka telah diminta untuk melakukan survey ke atas rakan-rakan di sekolah. Survey tersebut amat mudah, mereka diminta menambil serba sedikit maklumat mengenai rakan-rakan tersebut, umur, tempat tinggal, dan agama. Kemudiannya mereka ditanyakan soalan yang amat mudah, “namakan nabi-nabi yang kamu tahu”.

Dari sekecil Nusaybah yang berumur lapan tahun, sehinggalah kepada rakan sekelasnya yang berumur dua belas tahun, kesemuanya seronok melakukan tugasan berkenaan. Hasil kajian tersebut amat menarik. Pertamanya, bukan semua anak-anak warga UK ini beragama Kristian. Malah perkataan Kristian hanya digunakan untuk menggelar sesiapa yang ke gereja sahaja. Bila ditanyakan mengenai nabi-nabi, kebanyakannya lebih mengenali Moses berbanding dengan bai-nabi lain. Kemungkinan juga kartun animasi karya Spielberg, “Prince of Egypt” memainkan peranan besar di dalam hal ini. Nabi kedua yang agak popular ialah Joseph, juga mungkin pengaruh kartun animasi Prince of Dream terbitan Walt Disney. Ternyata media mempunyai pengaruh yang amat kuat.

Di sudut yang lain pula, kebanyakan mereka hanya mengetahui bahawa nama-nama yang mereka sebutkan adalah nabi-nabi dan rasul-rasul, tetapi mereka tidak percaya dan tidak beriman dengannya. Pelik bukan?, namun itulah realiti majoriti warga Eropah, kecuali di negara-negara Katolik yang masih kuat beragama di kawasan timur Eropah. Jika di UK, mungkin golongan Jehovah Witness lebih beragama dan lebih berilmu berbanding kebanyakan warga lain yang rata-ratanya tidak beragama. Sebab itulah jika ditanyakan apakah agama mereka, kebanyakannya lebih selesa untuk menjawab mereka adalah agnostic. Tidak kurang juga yang mengatakan agama mereka adalah football dan gereja mereka adalah pub dan stadium.

Kami agak terkejut juga apabila mendapati beberapa anak-anak warga UK mengakui bahawa Nabi Muhammad SAW juga merupakan seorang nabi. Namun, seperti nabi-nabi lain, mereka hanya tahu beliau seorang nabi, tetapi tidak mempercayai dan beriman dengannya. Hal ini menarik perhatian saya kepada kajian seorang orientalis di University of Durham ini, Dr Collin T.P. Di dalam thesis beliau, beliau membezakan Islam (dengan I), dan juga islam (dengan i). Menurutnya Islam, memberikan erti, penyerahan seseorang kepada Allah dan hukum-hakamnya. Manakala islam pula lebih membawa kepada makna penyerahan seseorang terhadap ketuhanan Allah, tetapi tidak mengikuti hukum-hakamnya. Beliau bersetuju bahawa islam merupakan agama fitrah di dalam dada setiap manusia. Pendapat beliau itu telah mendapat persetujuan dari simpatisan Islam dari kalangan warga barat yang mengkaji dan kritis.


Kembali kepada kajian anak-anak sekolah Melayu Bowburn. Natijah tersebut bukanlah sesuatu yang sigkifikan sangat, namun ia mencerminkan fenomena umum sikap warga UK terhadap agama. Ketika saya berdebat dengan presiden kelab UN di universiti, seorang siswa pra-siswazah warga Norway mengenai sikap Islam terhadap agama lain, isu ini telah ditimbulkan. Beliau mengatakan bahawa Islam bersikap kejam dan tidak memberikan peluang kebebasan kepada agama lain. Saya tidak pasti di atas dasar apakah beliau berhujah. Beliau tidak pernah mengunjungi mana-mana negara umat Islam mahupun menetap di sana. Sandarannya hanyalah pendapat rakan-rakan Muslim beliau yang rata-ratanya digelar sebagai Muslim esktrimis.

Saya katakan kepada siswa yang saya namakan sebagai Barry sahaja, beliau perlu bersikap objektif dan kritis. Dari pengalaman cetek saya menetap di Jordan dan menziarahi beberapa negara Islam seperti Mesir, Lubnan, UAE, Qatar, Bahrain, Yaman, Indonesia dan lain-lain lagi , hal yang sebaliknya berlaku. Saya tidak memaksudkan Arab Saudi yang mungkin mempunyai kes yang tersendiri dan tidak mewakili keseluruhan umat Islam. Tambah saya lagi kepada beliau, Malaysia juga merupakan negara majoriti umat Islam, dan Islam merupakan agama rasmi yang dijamin oleh perlembagaan persekutuan. Realitinya, apa yang beliau katakan itu hanyalah prejudis dan prasangka.

Jika dibandingkan pengunjung gereja pada hari Ahad di negara-negara umat Islam dengan negara-negara Eropah, amat ketara sekali perbezaannya. Saya hanya berpengalaman ke negara-negara Eropah seperti UK, Jerman dan Austria. Mengikut pengamatan saya, gereja-gereja di Malaysia, Indonesia, Jordan dan Mesir jauh lebih penuh pada hari Ahad berbanding di negara-negara berkenaan. Malah di UK sendiri pun,amat ketara kekosongan gereja-gereja di pagi Ahad. Jika ada pengunjungnya pun, hanyalah di kalangan warga emas sahaja. Malah salah seorang rakan kami warga Poland yang beragama Katolik menyokong pendapat saya. Beliau amat pelik melihat sikap orang UK yang tidak beragama.

Barry tidak berseorangan, beliau merupakan salah seorang dari jutaan mangsa kempen Islamiphobia yang begitu hebat dijaja di seluruh dunia barat, malah di Malaysia sendiri pun. Pemikiran beliau telah dikaburkan dengan sihir media dan tidak berfikir kritis untuk melihat realiti. Seperti yang sering saya katakan kepada rakan-rakan di UK, “If you go to the USA and Ireland, you’ll find the people there are worshiping Jesus, if you go to the UK, you’ll find the people are worshiping Beckham, and if you come to the Geordie land, you’ll find the people worship Keegan!”.

No comments:

Post a Comment