Apabila Queen menjadi orang kebanyakan
Sue Townsend bukanlah seorang penulis novel yang terkenal seperti Rowling, Tolkien, Grisham, Clancy dan lain-lain. Beliau hanya mungkin terkenal di kalangan rakyat British yang taksub dengan novel mengenai kehidupan mereka. Beliau menjadi terkenal selepas novel pertamanya yang bertajuk The Secret Diary of Adrian Mole, Aged 13 ¾ . Novel tersebut pada asalnya adalah skrip drama di radio di BBC 4 pada tahun 1982 yang bertajuk The Secret Diary of Nigel Mole. Novel tersebut kemudiannya menjadi siri mengenai kehidupan Adrian, seorang remaja yang hidup di zaman 80’an.
Tema utama novel tersebut adalah suasana politik dan sosial di UK di zaman Margaret Thatcher, dengan penumpuan yang lebih kepada politik golongan kiri. Townsend juga telah berjaya mengikuti perkembangan politik dunia semasa yang berkaitan dengan kerajaan Britain dan menterjemahkannya melalui pemikiran naif Adrian. Siri novel-novel beliau berkisar Adrian, keluarganya dan juga masyarakat Britain. Novel Townsend lebih berbentuk satira politik dan sarat dengan bahasa yang sinis (sarcastic). Maklumat mengai novel-novel tersebut bolehlah didapati di www.adrianmole.com.
Di dalam subjek British Culture and Literature di Universiti of Durham, kami diberikan peluang untuk berkenalan dengan Sue Townsend. Pendedahan tersebut lebih untuk kami memahami cara pemikiran orang-orang British, atau lebih spesifik lagi orang-orang English melalui letrasi mereka. Mungkin di kalangan British bukan English, novel-novel Townsend bukanlah sesuatu yang diminati, tetapi di kalangan masyarakat terpelajar mereka, novel tersebut merupakan antara bahan bacaan keminatan mereka. Bak kata pensyarah kami, “The English people like to make funny of themselves”.
Memang ada kebenarannya. Tidak terbayang saya perbincangan di Radio 4 BBC baru-baru ini akan berlaku di mana-mana negara lain, hatta di Malaysia. Perbincangannya adalah mengenai layakkan Gordon Brown (PM UK sekarang) menjadi Perdana Menteri kerana beliau kurang humor dan tidak tahu berjenaka. Sememangnya perawakan Brown nampak serius, tegas dan kurang berseloroh, lebih kepada penampilan seorang pemimpin Jerman daripada seorang pemimpin UK. Bukanlah bermakna seorang PM bagi UK hendaklah menjadi selawak Rowan Atkinson @ Mr Bean, tetapi seorang PM bagi rakyat Britain hendaklah mencerminkan watak rakyat Britain. Rakyat Britain terkenal sebagai warga yang minat humor dan berseloroh. Mereka ada kelas, tetapi minat berjenaka. Jenaka merekalah yang menentukan kelas masing-masing.
Novel Townsend yang menjadi kajian kami adalah novel yang bertajuk “The Queen and I”. Novel tersebut adalah mengenai khayalan beliau jika People’s Republican Party memenangi pilihanraya umum di UK secara majoriti. Parti yang terkenal dengan perjuangan pro-Republik dan anti-Monarki itu pastinya akan menghapuskan sistem monarki secara total di bumi UK. Maka novel tersebut membawakan kisah keluarga di raja, terutamanya Queen sebagai protagonisnya. Bayangkan malapetaka yang bakal mereka hadapi apabila kehilangan segala keistimewaan dan kelebihan sebagai keluarga di raja. Itulah paksi novel tersebut.
Beliau membayangkan keluarga di raja tersebut terpaksa mengharungi kehidupan baru mereka sebagai warga biasa. Mereka terpaksa mengosongkan istana Buckingham dan tinggal di rumah-rumah council seperti rakyat kelas bawahan di UK. Lebih malang, memandangkan mereka tidak mempunyai kemahiran untuk bekerja, terutamanya Queen, maka mereka terpaksa hidup dengan biayaan social benefit. Sememangnya wrga Uk yang tinggal di rumah milik Council dan juga menikmati social benefit adalah di kalangan warga yang bermaslaah. Kebanyakan mereka mengganggur, mempunyai rekod buruk, OKU, ataupun para pelarian yang mendapat suaka politik di bumi bertuah tersebut. Maka itulah kehidupan baru sang Queen.
Townsend membayangkan rumah Queen dipotong talian telefon kerana tidak membayar bil. Beliau terpaksa membeli-belah di kedai-kedai biasa. Beliau dan keluarganya terpaksa menunggu giliran dan barisan untuk mendapatkan rawatan di hospital NHS. Mereka terpaksa makan makanan orang kebanyakan, sehinggakan suaminya jatuh sakit kerana hilang selera makan. Malangnya, katil di hospital penu dan beliau terpaksa menunggu ke hari berikutnya walaupun sedang sakit kuat. Malang anjing mereka pun terkesan dengan kehidupan “zuhud” serba baru mereka yang jauh seperti langit dengan bumi jika dibandingkan dengan kehidupan di istana.
Novel tersebut memang lucu dan patut dibaca oleh sesiapa yang ingin mengenali lebih rapat dengan keluarga di raja dan juga masyarakat UK. Walau bagaimanapun pengetahuan asasi mengenai masyarakat UK perlu ada agar para pembaca nanti tidak kehilangan pedoman mengenai topik perbincangan dan juga baha-baha sindiran yang penulis novel tersebut gunakan. Amazon merupakan tempat sesuai untuk mencari buku tersebut.
Antara perbincangan kami di dalam kelas ialah mengenai kedudukan keluarga di raja (Royal Family) di hati rakyat Britain, terutamanya warga English. Apakah kehidupan liberal majoriti rakyat UK masih lagi dapat menerima kewujudan mereka sebagai simbol tradisi dan warisan sejarah empayar British?, apakah warga UK masih lagi memerlukan kewujudan mereka?, juga kami sentuh tentang kedudukan mereka didalam perlembagaan tidak bertulis Great Britain. Pensyarah subjek tersebut menyimpulkan, hubungan rakyat dengan keluarga di raja adalah hubungan “love-hate”. Beliau tidak menafikan majoriti rakyat Uk tidak ambil pusing pun mengenai hal tersebut.
Hal ini mengingatkan saya kepada buku tulisan Prof Abd Aziz Bari mengenai Mjalis Raja-Raja terbitan DBP. Di dalam bab awal buku tersebut, Prof Aziz telah cuba menekankan tentang kedudukan raja-raja di dalam masyarakat Melayu dan dari kaca mata undang-undang. Beliau telah membawakan contoh UK. Beliau juga telah berjaya memaparkan kekuasaan yang dimiliki oleh raja-raja Melayu di sisi undang-undang. Walau bagaimanapun, yang pasti kehidupan keluarga raja-raja Melayu tidaklah dapat menandingi “glamour” kehidupan keluarga di raja Britain. Peranan media amat penting. Medialah yang bertanggung jawab memberikan sensasi kepada sesuatu berita.
Refleksi dari perbincangan mengenai buku “The Queen and I” telah membawa fikiran saya lebih nakal. Saya terbayangkan, apakah novel seumpama itu boleh diterbitkan di Malaysia?, bukanlah temanya keluarga di raja, tetapi temanya mengenai golongan aristokrat politik di Malaysia pada hari ini. Saya terbayangkan, apakah boleh masyarakat kita, ataupun pihak berkuasa mempunyai toleransi dan keterbukaan terhadap bahan sastera yang berbentuk satira, sinis dan bertemakan kritikan? Atau mungkin sahaja bahan sastera seumpama itu akan menjadi bahan terlarang. Penulisnya pula mungkin akan menjadi mangsa pembunuhan karakter oleh media-media. Mungkin juga penulisnya akan menjadi tetamu di Kemunting?
Saya bukan orang sastera. Saya juga tidak minat membaca novel. Saya juga bukanlah seorang yang begitu berjiwa seni. Tetapi saya yakin, seni dan sastera merupakan ruh kepada sesebuah masyarakat. Bahan sastera dan seni banyak merubah suasana masyarakat. Politik perlukan kepada sastera dan bukan sebaliknya. Malangnya jika politik mencerobohi hak satera, ruh milik masyarakat juga akan diperkosa, atau mungkin akan mati...
Cukuplah saya mengulangi ide-ide Muhammad Ahmad Rashid di dalam mukadimah “al-Muntalaq” mengenai kepentingan sastera di dalam dakwah dan Islam seperti burung kakak tua. Cukuplah saya mengulanginya tanpa menterjemahkannya kepada ruang aktivisme...itulah kepompong fikrah yang saya dipaksa untuk difahamkan. Biarlah orang lain yang membuat kerja.
Salam ustaz..
ReplyDeleteKalau ustaz masih ingat lagi, sy Nurdiana (student kelas Bahasa Arab di matrix UIA dulu..). Ustaz masih di UK? Ustazah, Nusaybah, SUmayyah dan Ruraydah (yg sy tak smpat kenal) apa khabar? Dlm dok cari feqah wanita kat Internet tetiba nampak nama yg sgt sy kenal, dh lama nk jumpa ustaz sekeluarga tapi tak berpeluang. Skrg sy dan suami berada di Jerman (sambung MSc. in Mechatronics). Kalau berpeluang, dan diizinkan Allah.. sy teringin sgt nk melawat Ustaz sekeluarga di UK. Nak jumpa ustazah (tringat dulu tolong2 ustazah masak 'maqlubah' sama2.. makan dlm dulang, hehe..). nusaybah, dh besar skrg (ingat lg dulu kalau dlm TV ada lagu Ummi..Ummi.. tu, dia ikut nyanyi sama..) dh siap ada blog sndiri.. kalau ada kesempatan ustaz boleh menerima kunjungan sy nanti.. ni alamat email saya... didie0919@yahoo.com atau didienazrin@gmail.com. dan no. phone sy +492712369559.
Salam buat Ustaz sekeluarga. Moga Allah berikan saya kesempatan berjumpa dengan Ustaz sekeluarga.