Sunday, 4 November 2007

Bonfire night di UK


Bonfire Night di UK


Remember remember

the fifth of November


Gunpowder, treason and plot.

I see no reason why

gunpowder, treason

Should ever be forgot...



Antara perkara yang menambahkan kejanggalan kami beraya di UK ialah ghaibnya bunyi dentuman mercun dan kilauan cahaya bunga api. Anak-anak Melayu Muslim di UK terpaksa menggunakan imiginasi mereka untuk bermain bunga api dan mercun menjelang hari raya di perantauan. Banyak positifnya, terutamanya dari segi ekonomi dan perkembangan mental mereka.

Walau bagaimanapun, pada 5 November, kami semua dikejutkan dengan dentuman mercun di sana sini. Seolah-olah suasana Tahun Baru Cina atau Hari Raya dijelmakan di bumi penjajah. Cahaya bunga api yang dibakar mewarnai langit dengan lukisan-lukisan yang indah. Apakah sempenanya ini?


Bagi kami yang masih baru di UK, ianya merupakan satu kejutan. Mujurlah rakan karib paling rapat manusia intelek Malaysia di perantauan ada untuk membantu. Internet yang sering menjadi sahabat intim setiap pengkaji di bumi UK selepas isteri-isteri mereka memberikan 1001 jawapan kepada kemusykilan yang dihadapi. Bermula dari masalah kehidupan, kekeluargaan, agama, peribadi, pelajarn, malah kepada urusan PhD dapat dibantu oleh internet. Bayangkanlah, bagaimanakah kehidupan manusia moden dari Malaysia yang ingin menyiapkan thesis PhD mereka di UK tanpa internet?

Tarikh 5 November setiap tahun menandakan hari sambutan “Bonfire Night” yang disambut secara besar-besaran di seluruh UK. Mercun, bunga api dan unggun api menjadi hiburan pada malam tersebut semenjak tahun 1605 lagi. Hal ini selari dengan arahan King James I (1566-1625) agar ianya dijadikan acara tahunan untuk diadakan di seluruh negara. Malam tersebut juga dikenali dengan nama-nama lain seperti “Guy Fawkes Day” dan “Fireworks Night”.



Apakah cerita di sebalik 5 November tersebut?


Ianya bermula dengan kematian Queen Elizabeth I (1533-1603) pada tahun 1603. Kaum Katolik yang tersiksa dan dizalimi sepanjang pemerintahan beliau mengharapkan agar penggantinya, King James I akan bersikap lebih lunak terhadap mereka. Harapan kaum Katolik adalah berdasarkan pada keturunan James I. Ibu James I merupakan seorang penganut Katolik. Logiknya, beliau akan mempunyai perasaan belas terhadap penganut Katolik yang lain. Malang sekali, harapan mereka hancur berkecai apabila James I bertindak lebih kejam daripada Elizabeth I. Kekejaman beliau terhadap kaum Katolik telah menimbulkan reaksi yang agresif dari kalangan penganut Katolik yang berpengaruh di England pada waktu itu.


13 orang pemuda Katolik di bawah pimpinan Robert Catesby telah bertindak merencanakan usaha penggulingan kuasa. Pembunuhan James I telah dirancang oleh mereka melalui percubaan meletupkan House of Parliament yang akan dibuka oleh James I pada 5 November tahun 1605. Impian mereka, letupan tersebut akan berupaya membunuh semua pimpinan England, termasuk Prince of Wales (putera Mahkota) dan juga para pembesar yang bermazhab Protestant. Gereja England yang bermazhab Protestant sememangnya terkenal dengan kekejaman mereka terhadap golongan Katolik pada zaman tersebut. Mereka juga bercadang untuk merancangkan perkahwinan anak James I, Elizabeth dengan bangsawan beragama Katolik. Jika perkara tersebut berlaku, maka penindasan terhadap gereja Katolik juga akan berakhir.

King James I

Perancangan tersebut berjalan dengan licin sehingga mereka (konspirator) berjaya membawa masuk 36 tong berisi bahan letupan (gun powder) dan diletakkan di bawah House of Lords. Komplot tersebut walau bagaimanapun akhirnya terbongkar. Terdapat sejarawan yang mengandaikan bahawa salah seorang di kalangan anggota komplot telah menjadi pembelot dan telah membocorkan rahsia kepada salah seorang anggota House of Lord.

Gambaran para konspirator yang ditangkap
Natijahnya, Raja James I telah mengerahkan tenteranya agar menyerbu lantai bawah House of Lords di mana terdapatnya 36 tong bahan letupan tersebut. Ketika mereka menyerbu, Guy Fawkes, salah seorang konspirator tersebut berada di sana bersama rakan-rakannya yang lain di dalam usaha menjayakan komplot yang telah dirancang.


Persoalan yang timbul, mengapakah nama beliau yang menjadi lebih popular?


Beliau menjadi tumpuan kerana beliaulah yang telah dipertanggung jawabkan untuk menyalakan sumbu pada bahan letupan tersebut. Pengalamannya sebagai tentera upahan di Belanda telah menjadikan Guy individu yang amat penting di dalam percubaan untuk meletupkan bangunan berkenaan.


Guy Fawkes

Akibat kegagalan komplot tersebut, mereka yang terlibat semuanya telah dihukum bunuh. Ada di antara mereka yang telah dibunuh tanpa dibicarakan lagi, manakala sesetengah yang lain dibunuh selepas dibicarakan. Guy Fawkes sendiri telah dibunuh setelah didapati bersalah. Beliau dihukum bunuh pada 31 Januari 1606 di taman St Paul Cathedral (gereja) di Westminster. Kesan daripada kegagalan komplot berkenaan juga telah membawa beberapa implikasi perundangan. Antaranya, pada hun 1606 parlimen British telah meluluskan akta agar kesemua rakyat mengangkat sumpah (Oath of Allegiance). Sumpah tersebut adalah penafian kuasa Pope (yang beragama Katolik) ke atas Raja England.


Antara tradisi yang muncul juga selepas peristiwa tersebut ialah tradisi raja memasuki parlimen. Semenjak tarikh tersebut (5 November 1605), mana-mana pemerintah monarki British yang ingin memasuki parlimen UK akan didahului dengan satu prosedur yang khusus. Para pegawai di raja akan memastikan lantai bawah parlimen tersebut bersih dari bahan letupan. Kebiasaannya Ratu Elizabeth atau mana-mana raja British akan memasuki parlimen setahun sekali untuk upacara “The State Opening of Parliament”. Sehingga kini, adat atau tradisi tersebut masih dilakukan. Pada setiap tahun, tarikh 5 November pula dirayakan untuk memperingati kegagalan komplot tersebut. Perayaan tersebut dirayakan selama lebih 400 tahun sehingga kini.


Di dalam perayaan Bonfire Nights, selain bermain mercun dan bunga api, rakyat British juga membuat unggun api. Patung-patung yang kononnya mewakili para konspirator akan dibakar. Kebiasaannya patung yang paling utama, ialah patung “The Guy”, iaitu Guy Fawkes. Kebiasaannya diletakkan juga pada patung berkenaan rayuan derma satu pence untuk "The Guy". Duit tersebut kemudiannya akan digunakan untuk membeli mercun dan bunga api. Di sesetengah tempat pula, patung Pope juga dibakar bersama dengan patung-patung lain sebagai manifestasi penolakan mereka terhadap dominasi mazhab Katolik. Pada zaman moden ini, kadangkala patung ahli politik yang dibenci juga sering dibakar bersama.


Seperkara yang menarik dari perayaan ini, ianya melambangkan kejayaan golongan diktator dan Oligarki fanatik terhadap golongan minoriti. Walaupun komplot tersebut tidak wajar, dan dan berhak menerima kutukan, namun perlu diingat, komplot tersebut muncul dari perasaan tidak puas hati golongan yang ditindas. Komplot tersebut merupakan manifestasi para pelakunya sebagai perjuangan menuntut kebebasan. Kezaliman pemerintah hanya akan mengundang reaksi ganas dari rakyat jika mereka tidak tahan lagi dengan kezaliman tersebut. Sifir yang sama jugalah berlaku pada hari ini. Dunia yang hanya dikaburi dengan keganasan yang berlaku gagal melihat kepada punca bagaimana keganasan tersebut boleh lahir.


Imperialisme, penjajahan, pencabulan hak, diktatorisme, kezaliman dan juga perkauman. Kesemuanya merupakan akar punca keganasan yang timbul pada hari ini. Jika kita mengecam dan mengutuk keganasan yang timbul, kita juga wajib mengecam dan mengutuk para Imperialis, penjajah, diktator dan juga rejim-rejim yang telah berjaya melahirkan “para pengganas” tersebut!

4 comments:

  1. SALAM ,
    ust dah tgk cerita V for vendetta , cerita tu berkait rapat dengan peristiva bonfire

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum. Saya akan ke Durham January 08 ni bersama isteri. Sedang mencari rumah untuk di sewa. Bantuan amat dialu-alukan. Faizal @ kaptain_@hotmail.com

    ReplyDelete
  3. Salam Maszlee,

    Ana ambik idea sedikit dari penulisan enta dan tulis sajak mengenai Surah Al Asr.

    Please visit
    www.kerissilau.blogspot.com

    Bakhtiar, Penang.

    ReplyDelete
  4. Salam Ustaz.
    Lama tak bertemu enta, rupanya sudah di UK.
    Banyak manfaat yang ana gali dr blog enta ini. Terima kasih.

    zaid.

    ReplyDelete