Ramadhan di Durham
Ditakdirkan Allah bulan Ramadhan tahun ini jatuh pada musim luruh (autumn). Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, kebanyakan Ramadhan jatuh pada musim sejuk (winter). Maknanya, waktu siangnya lebih pendek dari waktu malam. Puasa menjadi leih singkat. Tahun ini, kaum Muslimin di UK terpaksa berpuasa dengan waktu yang agak panjang sedikit, hatta lebih panjang dari waktu berpuasa di Malaysia.
Ramadhan di Durham tidak serancak Ramadhan di London, Leceister, Conventry dan lain-lain bandar yang mempunyai komuniti Muslim yang ramai. Faktor kurangnya masyarakat Islam, kurangnya masyarakat British yang Muslim, dan juga faktor ketiadaan masjid di dalam erti kata masjid yang sebenar menjadi penyebabnya. Jangan dibandingkan dengan Malaysia, masyarakat Malaysia mempunyai versi Ramadhan mereka yang tersendiri. Jualan raya, lagu raya, more, tarawih dan juga bazaar Ramadhan merupakan trademark bagi sambutan Ramadhan di Malaysia. Teringat saya, sewaktu berada di Jordan apabila pihak televisyen Jordan mengadakan temuramah dengan beberapa pelajar Malaysia di Mafraq mengenai sambutan Ramadhan di Malaysia. Mereka agak terkejut apabila kami menceritakan tentang psta makan-makan dan juga pesta makanan di Malaysia pada bulan Ramadhan.
Di kebanyakan kawasan di Timur Tengah suasana Ramdhan begitu bermakna. Selain daripada meriahnya masjid-masjid, terutamanya di malam 27 Ramadhan, bacaan al-Quran kedengaran di kebanyakan pelusuk pekan dan bandar. Suasana “Ramadhan” dapat dirasakan kewujudannya di dalam hati-hati mereka yang beriman. Mungkin contoh Mekah dan Madinah terlalu ideal buat tempat-tempat lain di timur tengah, namun pengalaman berpuasa di Jordan, Mesir dan Lubnan agak berbeza dengan Malaysia.
Di sesetengah tempat di UK pun kemeriahan dan ruh Ramadhan dapat dirasakan. Masjid-masjid penuh di luar kebiasaannya. Juadah berbuka puasa yang dihadiri oleh ramai kaum Muslimin dari pelbagai bangsa juga menyerikan lagi suasana. Malam-malam tarawih, terutamanya pada 10 malam terakhir begitu dapat dirasakan “kehidupan”nya di masjid-masjid besar di UK. Di kawasan majoriti Muslim pula, suasana Ramadhan masih dapat dirasakan. Sayang sekali hal seperti ini tidak berlaku di Durham. Sebagai sebuah kampung orang putih, Ramadhan hanya berlaku di dalam rumah-rumah kaum Muslimin sahaja. Di luar, Ramadhan bukanlah sesuatu yang diketahui oleh makhluk bernama manusia yang melata di bandar Durham.
Bagi masyarakat Malaysia, inisiatif sendiri dilakukan untuk menjadikan Ramadhan lebih bermakna. Solat tarawih yang diadakan di masjid agak sulit bagi majoriti rakyat Malaysia menyertainya. Kedudukannya di tengah bandar, di belakang pub dan juga suasana masjid yang kecil menjadi antara faktor yang tidak memungkinkan majoriti rakyat Malaysia menyertai tarawih di masjid tersebut. Jika di masjid-masjid lain di UK, bilangan jamaah yang berbuka puasa dan bersolat tarawih begitu ramai dan meriah, ianya tidak berlaku di Durham.
Fenomena ini telah menyebabkan rakyat Malaysia yang majoritinya di Bowburn mengambil inisiatif pro-aktif. Solat tarawih diadakan di rumah saya untuk masyarakat Malaysia yang mendiami Bowburn. Suasana ini paling dihargai oleh anak-anak yang seronok dapat bertemu dengan rakan-rakannya. Tazkirah di antara tarawih juga menjadi santapan kerohanian bagi para jamaah. Nasib masyarakat Muslim Melayu di sini agak beruntung kerana JAIS mahupun para pegawai JAIS tidak wujud di bumi Bowburn. Jika tidak, pastinya slot tazkirah akan diharamkan.
Kaum ibu lebih pro-aktif. Menjelang Ramadhan, tadarus al-Quran telah pun mereka mulakan demi menghidupkan suasana “bulan al-Quran”. Kaum lelaki juga melakukan tadarus setelah masuknya Ramadhan. Bagi anak-anak, sessi sekolah Melayu Bowburn digantikan dengan kelas tadarus dan hafalan al-Quran. Kanak-kanak di berikan surah-surah tertentu untuk dihafal dan dilatih untuk menghafalnya pada sessi-sessi persekolahan Melayu Bowburn. Adalah penting untuk menghidupkan suasana “Ramadhan” di dalam jiwa anak-anak sewaktu mereka kecil lagi. Kasihan jika dilihat mereka yang telah mencapai umur senja baru berusaha untuk kembali kepada al-Quran dan juga penghayatan Islam. Di atas kesedaran inilah anak-anak Muslim Melayu di Bowburn ini cuba dilenturkan. Kehidupan di bumi kafirun bukanlah alasan untuk mereka tidak maju di dalam penghayatan Islam.
Bak kata Rasulullah SAW, “Akan sampai waktunya, sesiapa yang berpegang kuat dengan agamanya, akan menjadi seperti seorang yang menggenggam bara api” (H.R. al-Tarmidhi)
Ramadhan di Masjid al-Aqsa
No comments:
Post a Comment