Thursday 25 October 2007

Solat Jumaat Tak Cukup 40 Orang???


Bilangan untuk sah solat Jumaat


Bagi rakyat Malaysia yang beragama Islam, menunaikan solat Jumaat bukanlah suatu kepayahan. Pergilah ke mana sahaja di Malaysia, kecuali ke pendalaman hutan Borneo pasti kita akan terdengarkan laungan azan pada hari Jumaat dan juga suara khatib sedang membaca teks khutbahnya yang menggantukkan. Itulah nikmat menjadi rakyat Malaysia yang masih lagi didominasi oleh majoriti umat Islam.

Bayangkan pula jika anda sebagai seorang lelaki muslim mukallaf berada di negara yang didiami oleh majoriti bukan Islam. Di tempat tersebut pula bilangan umat Islamnya sedikit, contohnya di Jepun, Finland, Burkina Faso, Lesoto, Korea Selatan, Venazuela dan mana-mana lagi ceruk di dunia yang umat Islamnya tidaklah seramai di kota London, Belanda, Peranchis dan lain-lain lagi. Bayangkan pula jika anda bertugas atau belajar di sana dan bukannya dalam keadaan musafir. Bagaimanakah anda boleh menunaikan solat Jumaat ?

Sudah pastinya “mental block” di dalam kepala kita mengatakan, jika tiada 40 orang jamaah, tidak wajib solat Jumaat. Walhal solat Jumaat merupakan syiar, ianya merupakan wadah untuk umat Islam setempat bertemu seminggu sekali dan merapatkan ukhuwwah mereka. Di situ jugalah mereka boleh mendapatkan maklumat tentang dunia Islam dan apa-apa informasi terkini berkaitan umat Islam. Bayangkan jika anda terpaksa tinggal di sana selama lima tahun atau enam atau mungkin lebih dari itu! Jangan sampai apabila pulang ke Malaysia sudah lupa tata cara solat Jumaat pula.

Pelajar-pelajar Malaysia di Jepun (AMIR), 2004.

Apakah penyelesaiannya ?

Merujuk kepada penyelesaian, penulis teringatkan satu penyelesaian mudah yang telah diberikan oleh dua orang ustaz dari Malaysia kepada para pelajar kita di Jepun. Penyelesaian untuk persoalan ini menurut dua orang ustaz tersebut ialah: tidak perlu bersolat Jumaat. Jika ada orang Islam yang menunaikan solat Jumaat di tempat mereka, jika jumlah jemaahnya kurang dari 40 orang, jangan bersolat dengan mereka, kerana solat tersebut tidak sah. Lebih menarik lagi ada cadangan lucu lagi menggelikan perut para pendengar, iaitu jika perlu hendaklah para pelajar Malaysia yang bermazhab Shafi’i itu bersolat Jumaat bersama para jamaah yang lain, selepas itu wajiblah mereka menunaikan solat Zuhur pula. Alangkah sukar, payah lagi membebankan Islam yang dibawa oleh ustaz-ustaz tersebut dan juga usatz-ustaz yang sewaktu dengan mereka!

Bagi penulis, untuk mendapatkan penyelesaiannya kita perlu merujuk dahulu kepada beberapa perkara penting berkaitan dengan solat Jumaat. Yang pertama, adakah solat Jumaat wajib ditunaikan secara berjemaah ?, yang keduanya pula, berapakah pula bilangan yang membolehkan kita untuk menunaikan solat Jumaat ?



Adakah Wajib Berjemaah Untuk Solat Jumaat

Menurut Imam al-Nawawi, salah seorang tokoh dalam mazhab Syafi’i, para ulama muslimin telah berijmak bahawa “jamaah” adalah syarat sah solat Jumaat. Solat Jumaat tidak boleh ditunaikan secara berseorangan, jika ianya ditunaikan secara berseorangan maka ianya tidak sah. Walau bagaimanapun, Ibn Hazm al-Zahiri telah menukilkan pendapat sesetengah golongan yang disandarkan kepada Daud al-Zahiri mengatakan solat Jumaat boleh ditunaikan secara berseorangan. Pendapat yang sama juga telah disandarkan kepada al-Qashani, seorang ulama Zaidiyyah.

Merujuk kepada khilaf ini, walau bagaimanapun, baik al-Nawawi, mahupun Ibn Hazm, kedua-duanya telah bersepakat bahawa pendapat tersebut amat lemah dan bertentangan dengan ijmak mujtahidin muslimin. Antara dalil mereka ialah, Rasulullah S.A.W. dan juga para sahabat tidak pernah menunaikan solat Jumaat secara berseorangan, tambah mereka lagi, perkataan Jumuah (Jumaat) bagi hari Jumaat sendiri terbit dari perkataan “Jamaah” (nama asal hari Jumaat sewaktu Jahiliyyah ialah ‘Arubah dan kemudian ditukar kepada Jumaat setelah diwajibkan solat Jumaat: Lihat: al-San’aani, Subul al-Salaam. Kaherah: Maktabah al-Imaan, j. 2, hal. 78) kerana pada hari itulah umat Islam diwajibkan berkumpul untuk mendengar khutbah dan menunaikan solat Jumaat menggantikan solat fardhu Zohor. Kesimpulannya solat Jumaat tidak boleh ditunaikan secara bersendirian dan wajib ditunaikan secara berjemaah.


A must have companion for travellers!

Bilangan Jemaah

Walau bagaimanapun para ulama Islam berselisih pendapat mengenai bilangan tertentu yang membolehkan umat Islam menunaikan solat Jumaat mereka. Dalam persoalan ini, mereka terbahagi kepada beberapa pendapat seperti berikut:

1. Pendapat Imam Syafi’i dan juga mazhab Syafi’i: Bagi mazhab Syafi’i, mereka mengatakan bilantgan yang membolehkan umat Islam menunaikan solat Jumaat ialah 40 orang yang bermukim termasuk imam. Jika bilangan para jemaah kurang dari 40, hatta jika bilangan mereka 39 orang ataupun 40 orang tetapi salah seorang dari yang 40 itu bertaraf musafir dan tidak bermukim, maka mereka tidak wajib menunaikan solat Jumaat, malah wajib bagi mereka untuk menunaikan solat Zuhur. Jika mereka menunaikan solat Jumaat sekalipun, solat mereka adalah tidak sah dan wajib digantikan dengan solat Zuhur. (Lihat: al-Nawawi, al-Majmu’. Kaherah: Dar al-Tiba’ah, j. 4, hal. 373)

Dalil mereka ialah hadis riwayat Jabir Bin Abdullah: “Dan pada setiap 40 orang ke atas diharuskan solat Jumaat”. (Hadis ini diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan al-Daraqutni (Lihat, al-Daraqutni, Sunan al-Daraqutni. J. 1, hal. 164) dan al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra. J. 3, hal. 177) .

Hadis ini walau bagaimanapun dikategorikan sebagai dhaif kerana ianya diriwayatkan melalui seorang perawi yang bernama Abdul Aziz bin Abdul Rahman. Perawi tersebut telah disepakati kedhaifannya oleh para ulama hadis kerana dituduh sebagai seorang penipu dan juga memalsukan hadis. (Lihat: Hasyim, al-Fiqh al-Muqaran. Baghdad: Universiti Baghdad, j. 1, hal. 131)



2. Pendapat Mazhab Hanbali dan kebanyakan ulama: Bagi mereka, bilangan yang membolehkan kaum muslimin menunaikan solat Jumaat ialah 50 orang. Jika sesuatu kawasan yang didiami oleh kurang dari 50 orang yang layak untuk menunaikan solat Jumaat, mereka tidak wajib menunaikannya. (Lihat: Ibn Qudamah, al-Mughni. Kaherah: Dar al-Hijr, j. 2, hal. 172)

Dalil mereka ialah hadis: “Solat Jumaat wajib ke atas 50 orang lelaki, jika kurang dari 50, maka tidak wajib solat Jumaat”. (Hadis ini diriwayatkan oleh al-Daraqutni, lihat: Sunan al-Daraqutni. J. 1, hal. 164, dan juga al-Tabrani, lihat: al-Haithami, Majma’ al-Zawaid. J. 2, hal. 176).

Hadis ini pun telah dikategorikan dhaif oleh para ulama hadis kerana terdapat seorang perawi bernama Jaafar bin al-Zubair yang mana hadis-hadis yang diriwayatkan oleh beliau tidak diterima oleh para ulama hadis. (Lihat: al-Haithami, ibid.)


3. Menurut Syiah Imamiyyah pula: Umat Islam hanya boleh menunaikan solat Jumaat jika bilangan jamaah mencukupi lima orang. Jika bilangan mereka kurang dari lima orang, maka tidak wajib bagi mereka solat Jumaat. Sesetengah mereka pula mengatakan tujuh orang. (al-Qummi, Man Laa Yahduruhu al-Faqih.j. 1, hal. 130)

Mereka berdalilkan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh para imam-imam terkemuka Syiah yang didakwa sebagai maksum dan hujah kedua selepas al-Quran. Berhubung dengan hadis-hadis tersebut, Ahli Sunnah Wal Jamaah bersepakat untuk tidak menerima hadis-hadis yang diriwayatkan oleh golongan Syiah kerana kebanyakan hadis-hadis tersebut tidak mempunyai sanad yang diperakui oleh majoriti ulama kaum muslimin.


4. Bagi Imam Abu Hanifah: Bilangan yang mewajibkan solat Jumaat ialah empat orang. (Hasyim Jamil, Ibid)

Dalil yang digunakan oleh golongan ini dalam menyokong hujah mereka ialah hadis riwayat Umm Abdullah al-Dawsiyyah: “Solat Jumaat adalah wajib ke atas setiap penduduk sesuatu kampung, jika mereka mempunyai tiga orang sebagai makmum dan yang keempatnya sebagai imam” (Hadis ini telah diriwayatkan oleh al-Daraqutni dari pelbagai sanad yang kesemuanya kembali kepada seorang perawi yang bernama al-Zuhri. Kesemua perawi yang meriwayatkan daripada al-Zuhri tidak boleh diterima hadisnya. Lihat: Hasyim Jamil, ibid.). Maknanya dalil mereka adalah lemah dan tidak boleh dibawa berhujah.


5. Menurut Abu Yusuf, pengikut dan anak murid utama Imam Abu Hanifah, bilangan yang membolehkan umat Islam menunaikan solat Jumaat ialah tiga orang. Pendapat ini juga disokong oleh mazhab Zaidiyyah. (Lihat: al-Azhari, al-Bahr al-Zakhar. j. 3, hal. 11 dan al-Daraqutni, ibid.)

Golongan ini juga berdalilkan hadis yang sama yang diriwayatkan dari al-Zuhri daripada Umm Abdullah al-Dawsi. Maknanya mereka juga berdalilkan hadis yang lemah.


Masjid Otsuka, Jepun, 2002.


Penyelesaian

Persoalan yang timbul di sini selepas pembentangan sebahagian daripada pendapat mazhab-mazhab Islam dalam persoalan bilangan yang membolehkan solat Jumaat ialah berapakah bilangan muktamad yang membolehkan umat Islam menunaikan solat Jumaat?. Jika dilihat, kesemua pendapat-pendapat sebelum ini adalah berdasarkan hadis-hadis yang lemah dan tidak boleh dibawa berhujah.

Untuk menjawab persoalan ini kita hendaklah merujuk kepada dalil yang paling asas berkaitan dengan solat Jumaat. Dalam kes ini dalil yang paling asas ialah ayat sembilan dalam surah al-Jum’ah yang berbunyi: “Wahai orang-orang yang beriman jika dilaungkan azan memanggil kamu untuk bersolat Jumaat, maka bersegeralah untuk menunaikannya dan tinggalkan jual-beli” (Surah al-Jum’ah (62): ayat 9).

Apa yang tersirat disebalik ayat ini ialah: Jika kamu mendengar azan memanggil untuk solat Jumaat, dan bilangan kamu cukup untuk berjemaah, maka tunaikanlah solat Jumaat. Bilangan untuk berjemaah ialah dua orang yang mukallaf, maknanya jika cukup bilangan untuk solat berjemaah, iaitu dua orang maka wajiblah untuk menunaikan solat Jumaat. Pendapat ini merupakan pendapat golongan Zahiriyyah yang dipopularkan oleh Ibn Hazm al-Zahiri (Lihat: Ibn Hazm, al-Muhalla. J. 5, hal. 46). Pendapat ini juga disokong oleh para ulama hadis yang menegaskan bahawa tidak terdapat satu riwayat yang sahih pun menetapkan bilangan yang tertentu untuk membolehkan solat Jumaat didirikan (Lihat: al-Zayla’i, Nusb al-Rayah. Beirut: Dar al-Fikr, j. 1, hal. 197 ; dan al-Syawkaani, Nayl al-Awtar. J. 3, hal. 265). Perlu diingat solat Jumaat yang sah ialah solat Jumaat yang didahului dengan dua khutbah. Maknanya jika hanya dua orang sahaja pun yang menunaikan solat Jumaat, maka wajiblah ia menuruti tatacara solat Jumaat yang sah, ada khutbah dan ditunaikan sebanyak dua rakaat. Inilah jawapan kepada kaum muslimin minoriti yang hanya mempunyai bilangan yang kecil kaum muslimin di lokaliti mereka untuk menunaikan solat Jumaat.

Pendapat ini jugalah yang didokong oleh kebanyakan ulama di zaman moden dalam menanggani masalah umat Islam yang bermukim di negara bukan Islam jika mereka ingin menunaikan solat Jumaat. Antara alasan mereka ialah, solat Jumaat merupakan syiar Islam dan di situlah tempat untuk umat Islam berhimpun dan bertemu setiap minggu untuk mengeratkan ukhuwwah dan mendengarkan khutbah, peringatan dan juga perkembangan terkini umat Islam. Adalah tidak logik untuk taksub dengan pendapat mazhab-mazhab tertentu sehingga terpaksa meninggalkan solat Jumaat yang merupakan syiar Islam. Lebih serius lagi, pendapat yang ditaksubkan itu hanyalah pendapat yang bersandarkan hadis lemah yang tidak boleh dibawa berhujah.

Walau bagaimanapun timbul satu kekeliruan. Jikalaulah solat Jumaat boleh ditunaikan oleh dua orang adakah ianya membawa makna sesiapa sahaja boleh menunaikan solat Jumaat di mana sahaja mereka berada. Ada yang di rumah, ada yang di pejabat, ada yang di kedai, malah lebih teruk lagi ada yang di dalam bilik sahaja ?. Untuk menjawab persoalan ini ada beberapa persoalan berkaitan dengan solat Jumaat yang mesti dijelaskan, seperti tempat untuk menunaikan solat Jumaat, syarat keizinan pemerintah, persoalan hanya satu solat Jumaat dalam satu kampung dan pelbagai soalan lagi yang perlu para pembaca merujuk kepada buku-buku rujukan fiqh yang muktabar dan berdasarkan hadis-hadis yang sahih. Artikel yang serba ringkas ini hanyalah membicarakan persoalan bilangan yang membolehkan solat Jumaat sahaja dan bertindak sebagai picu untuk menggerakkan para pembaca sekelian agar melakukan pengkajian yang lanjut dan tidak hanya bertaklid buta sahaja.

Bagi umat Islam yang minoriti di luar negara yang berhadapan dengan persoalan bilangan untuk solat Jumaat diharap dapatlah membuka fikiran dan melakukan pengkajian lanjut. Rujuklah buku-buku fiqh perbandingan seperti buku: “Ensiklopedia Fiqh Perundangan Islam” tulisan Dr. Wahbah al-Zuhayli terbitan DBP, buku: “Fiqh Sunnah” tulisan Syed Sabiq, buku: “Nayl al-Awtar” tulisan al-Syawkani, buku: “al-Fiqh al-Muqaran” tulisan Omar al-Asyqar dan Uthman Syubair dan juga buku-buku fiqh perbandingan yang lain. Semoga Allah memberikan petunjuk kepada kita bersama, Wallahua’lam.


al-Marhum Said Sabiq.

10 comments:

  1. salam,
    dulu saya buat A-level di london. kami menghadapi persoalan yg agak sama mengenai solat jumaat. Bukan tiada jamaah, bahkan ada masjid lagi di tempat kami. Cumanya masjid agak jauh dari sekolah dan waktu kelas menghalangi kami dari pergi ke masjid. Apa yg kami buat ialah buat solat jumaat bertiga, kadang2 berempat di antara waktu kelas. Kami dulu rapat dgn jamaah minhajus-sunnah (Jimas) di london. tak tahulah kenapa kami mudah sahaja menerima pandangan yg agak asing dari shafiyyah malaysia, mungkin sebab kami 'tak kuat agama' masa kat malaysia dulu...
    Amir Effendy, la ni dok Penang

    ReplyDelete
  2. Akhi,

    Tak sepatutnya saudara menyindir mereka yang menunaikan solat jumaat dengan jamaah yang lain kemudian menunaikan solat zuhur dengan perkataan "cadangan lucu lagi menggelikan perut". Saudara sendiri mencadangkan supaya tidak taksub kepada mana-mana pandangan, tetapi dengan perkataan seperti ini bukankah menunjukkan ketaksubab kepada pandangan saudara.

    Saya adalah salah seorang yang beramal dengan pandangan tersebut. Ada banyak nas-nas yang boleh mengisyaratkan bilangan ahli-ahli solat jumaat, walaupun tidak menyebutnya secara jelas seperti hadith yang berkaitan dengan ganjaran orang yang datang awal, disebut sehingga orang kelima. Demikian juga pertanyaan Kaab terhadap Anas bin Malik tentang berapa jumlah mereka semasa mendirikan solat Jumaat. Malah sekiranya kita berpandukan kepada zahir ayat Surah al-Jumaah itu sendiri perintah itu sendiri dengan lafaz jama' iaitu tidak kurang daripada tiga tidak termasuk muazzin. Hadith bukanlah bidang pengkhususan saya, tetapi seperti yang kita maklum antara para ulama mazhab yang paling hampir masanya dengan Rasulullah ialah Abu Hanifah.

    Saya bermazhab Syafie, disebabkan saya berada ditempat yang orang Islamnya tidak ramai maka saya memilih pandangan Abu Hanifah berdasarkan beberapa hujah yang tidak perlu saya kemukakan. Oleh kerana saya talfik dalam masalah solat Jumaat ini, maka saya mengambilnya secara cermat. Maka saya dirikan solat Jumaat diikuti solat Zuhur, kerana solat Jumaat itu tidak menggugurkan solat zuhur. Saya berpendirian sekiranya saya hendak memilih sesuatu pandangan mazhab, perlulah diambil pandangan itu secara sempurna. Wallahu'alam.

    Yang penting saya menghormati pandangan-pandangan yang lain, dan saya rasa mereka yang lain juga perlu menghormati pandangan seperti saya pegangi. Janganlah pandangan orang lain yang tidak sealiran dengan pandangan kita dihina seumpama sindiran saudara di atas.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya sangat setuju dgn pandangan, hujah dan pengamatan amalan sdra..

      Delete
  3. Dr. saya minta cpy utk share dgn kwn2... from sharif shafeme...song sarawak..

    ReplyDelete
  4. salam sy nak tny...ayah sy ada belajar dengan seorang ustaZ..bru2 ini ayah sy tak pegi ke masjid untuk melakukan solat jumaat...malah dye melakukan di dlm sebuah dewan yg tertutup dengn ustaz dan adik sy..sedangkan dlm kwasan tempat sy ade masjid..dan bila ditny dye perkatakan bilah solat di masjid..sb cara mereka menunaikan solat jauh dari sunnah..dn sah ke solat mereka

    ReplyDelete
  5. salam sy nak tny...ayah sy ada belajar dengan seorang ustaZ..bru2 ini ayah sy tak pegi ke masjid untuk melakukan solat jumaat...malah dye melakukan di dlm sebuah dewan yg tertutup dengn ustaz dan adik sy..sedangkan dlm kwasan tempat sy ade masjid..dan bila ditny dye perkatakan bilah solat di masjid..sb cara mereka menunaikan solat jauh dari sunnah..dn sah ke solat mereka

    ReplyDelete
  6. In a nut shell, no affirmative conclusion.

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum para pembaca
    Pemahaman saya. Jika sesuatu mukim itu berpenduduk yang ramai (contoh 200 orang) tapi yang hadir solat Jumaat hanya 39 orang ianya tidak sah mengikut mazhab Syafie disebabkan penduduknya ada ramai tapi tidak hadir.
    Jika penduduknya memang kurang dari 40 orang apakah selama² tidak boleh bersolat Jumaat.
    Islam itu mudah
    tepuk dada tanya selera
    Kita tidak atau belum merasa tinggal dengan penduduk yang kurang dari 40 orang. Bila sudah merasa baru tahu Islam itu mudah

    ReplyDelete
  8. Lani musim covid19, 12 org pun cukup jemaah

    ReplyDelete