Wednesday, 31 October 2007

Cukuplah Kematian Sebagai Satu Peringatan




Cukuplah kematian sebagai satu peringatan
“And from Allah we came, alas to Him we return!!!”

Kali pertama saya memikirkan bumi manakah yang akan menerima jasad saya jika mati nanti adalah sewaktu di Sri Lanka. Misi bersama dua orang aktivis kemanusiaan JIM, Hj Azhari Kadir dan juga Muhammad Slyvester ke kawasan Mutur begitu mendebarkan. Kawasan yang didiami bersama oleh golongan minoriti Islam Sri Lanka dan juga golongan Tamil yang kebanyakannya merupakan anggota Tamil Eelam (Tamil Tiger) itu bukanlah satu destinasi pelancongan yang menarik. Permusafiran kami adalah sebahagian daripada aktivisme Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) untuk membantu mangsa tsunami di sana yang agar terbiar.


Bersama salah sebuah keluarga Muslim Sri Lanka

Berita terbunuhnya seorang wartawan barat yang telah ditembak secara rambang oleh para pengganas Tamil sehari sebelum ekspedisi kami, amat menggerunkan. Dari Kinnya yang terletak di pulau utama Sri Lanka, kami terpaksa menaiki bot laju untuk ke muara Mutur. Walaupun Mutur boleh diakses melalui jalan darat, namun tiada siapa yang berani melalui jalan tersebut. Jalan darat ke Mutur dikuasai sepenuhnya oleh para pengganas Tamil. Banyak insiden konvoi pertubuhan kemanusiaan disamun dan diserang apabila cuba memasuki Mutur melalui jalan darat. Perjalanan melalui jalan laut mengambil masa hampir sejam untuk sampai ke Mutur. Mutur yang terletak di kawasan timur utara Sri Lanka itu merupakan kawasan yang penuh dengan pergolakan.Pertempuran di antara tentera kerajaan dengan pengganas Tamil sering berlaku. Seringkali yang menjadi mangsa ialah kaum minoriti Islam di sana. Ibarat kata pepatah, gajah sama gajah bertarung, pelanduk mati tersepit di tengah.


Bersama Mudir Kolej Tahfiz di Kinnya
Sepanjang kami berada di atas perut botlaju yang kecil saiznya, Muhammad atau Nicholas tidak putus berzikir dan membaca al-Quran. Beliau tidak dapat mengelakkan pemikirannya dari mengingatkan kecelakaan yang menimpa wartawan malang pada malam sebelumnya. Destinasi kekawasan tersebut bagaikan destinasi kembali ke zaman-zaman 70’an di Malaysia. Melihat kepada jalan berpasir dan rumah yang sederhana dan daif di kawasan yang didiami minoriti umat Islam di Mutur mengimbau kenangan saya di kampung Skudai Kiri, Johor Bahru pada zaman-zaman 70’an. Apa yang penting, perjalanan hampir sejam ke Mutur mengingatkan kami bertiga tentang kematian dan di manakah bumi yang akan menerima jasad kami jika terbujur kaku nanti. Apakah Mutur merupakan permukiman kami nanti?...alhamdulillah pengalaman dua tahun lalu itu hampir hilang dari kotak ingatan Hippocampus dan Amygdala saya.


Peta Sri Lanka

29 Oktober 2007, ingatan tersebut kembali semula. Kematian suami kepada rakan isteri saya di Conventry memanggil semula ingatan tersebut. Beliau yang cukup saya namakan sebagai Mr M telah kembali ke Rahmatullah pada 28 Oktober 2007 akibat kanser (barah) esofagus, di hospital Conventry. Setelah berbulan-bulan beliau gigih melawan penyakit, akhirnya beliau telah meninggalkan alam yang serba menipu ini. Beliau kini sedang meneroka alam barunya, yang mana kita juga akan mengikuti beliau ke destinasi tersebut. Bagaikan baru semalam, beliau menziarahi kami di Durham bersama isteri dan anak-anaknya. Bagaikan baru semalam juga kami ke pantai Hartlepool berhampiran dengan Durham. Bagaikan bermimpi, kali terakhir kami menziarahi beliau ialah pada awal Ramadhan yang lalu. Pada waktu itu beliau telah dimasukkan ke hospital setelah disahkan menghidap kanser di tahap paling kritikal.


Agak menarik, beliau tidak putus-putus bertanyakan persoalan cara menunaikan ibadat di dalam keadaan sakit. Mr M amat risau keadaannya yang uzur itu tidak memungkinkan beliau beribadat secara normal. Syukurlah, Islam yang difahami secara syumul dan betul akan membentangkan solusi kepada seseorang di dalam keadaan seperti Mr M. Rukhsah atau kelonggaran merupakan tunjang utama bagi para pesakit di dalam menunaikan ibadat. Beliau risau jika amal ibadat secara rukhsah tidak akan diterima. Tanggapan seperti itu merupakan kerisauan lazim bagi ramai orang dalam masyarakat kita. Lebih malang, kadangkala kerisauan tersebut membuatkan mereka terus meninggalkan ibadat-ibadat wajib dan fardhu semata-mata takut amalan rukhsah tidak diterima. Keadaan lebih parah jika terdapat ustaz-ustaz yang mempromosikan Islam yang sukar, payah dan juga berat untuk diamalkan. Kejahilan para ustaz tersebut membawa kepada kepayahan ummah yang turut sama tenggelam di dalam kejahilan.

Saat-saat nazak Mr M disaksikan oleh ahli keluarganya dan beberapa rakan Muslim dari keturunan Pakistan. Menurut kata bapa beliau, Mr M cuba mengikuti setiap ayat yang dibacakan oleh beberapa anggota keluarga yang berada di hospital pada ketika itu. Kedaaan itu berterusan sehingga beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Menurut Yusuf Bayyat, warga UK berketurunan Pakistan yang bersama Mr M pada waktu tersebut, Mr M sempat menunaikan solat Maghrib sebelum saat-saat nazak menjelang tiba. Beliau juga sempat menyatakan hasrat beliau untuk menunaikan haji jika beliau sembuh dari sakit. Beliau juga ingin keluar berdakwah dengan jamaah tabligh selama empat bulan jika dikurniakan nikmat kesihatan sekali lagi...


Pengekebumian Mr M

Yusuf Bayyat, pendakwah Tabligh dari Conventry tersebut sempat memberikan tazkirah kepada kami selesai pengkebumian Mr M. Selepas menceritakan tentang detik-detik terakhir di dalam hayat Mr. M, belia membawa kami untuk memuhasabah diri masing-masing. Mr M telah selesai episodnya. Sekurang-kurangnya, khatimah (kesudahan) beliau telah diketahui...(husnul khatimah). Persoalannya, bagaimana pula kita?, bagaimanakah kesudahan kita?,apakah husnul khatimah, ataupun suul khatimah? Dan , di bumi manakah pula jasad kaku kita akan bertamu nanti?....


Allahummaghfir lahu warhamhu wa ‘afihi wa’fu ‘anhu.

No comments:

Post a Comment