Friday, 12 October 2007

Dakwah di Freshies fresher



Dakwah di Freshies Fresher

If you cannot beat them, Joint them!”... seringkali peribahasa Inggeris ini diertikan dalam maknanya yang negatif. Pada hakikatnya, ianya merupakan sesuatu yang neutral dan terbuka kepada konteks mana ianya diaplikasikan. Secara kasarnya, ia mungkin nampak seperti pendirian pragmatik. Mungkin ada kebenarannya, atau juga mungkin itu jugalah niat asal si pelafaznya yang awal. Walau bagaimanapun, di dalam sesetengah suasana, ia mungkin membawa maksud survival yang positif.

Hal ini menggingatkan saya kepada hari Freshies Fresher di Durham. Sepertimana yang telah diceritakan sebelum ini, ianya bagaikan pesta jahiliyah yag menggila. Ya, benar, ianya pesta jahiliyyah di luar pemikiran manusia intelek untuk memikirkannya. Apa yang berlaku merupakan lambng keruntuhan moral dan kepincangan nilai di kalangan masyarakat barat. Mungkin saya mempunyai nada yang hampir dengan Syed Qutb ketika memberikan kritikan terhadap kebobrokan masyrakat Amerika dan kejatuhan moral mereka lewat buku “Amarika, Rukyah Minal Dakhil” (Amerika: Pandangan dari dalam). Memang tidak dapat dinafikan, itulah hakikatnya, Mana-mana hati yang digenangi nur keimanan, walaupun setitik tidak akan berpuas hati dengan apa yang berlaku. Mana-mana hati yang mempunyai seberat zarah iman dan taqwa tidak akan redha dengan apa yang berlaku. Bukankah dengan membeci maksiat pun adalah tanda keimanan, walaupun selemah-lemahnya...





Kekecewaan dan kejutan tersebut telah menimbulkan inisiatif pro-aktif di dalam jiwa saya. Usaha kelab-kelab gereja memberikan satu inspirasi kepada diri saya untuk melakukan sesuatu. Kedunguan dan kebakuan pelajar-pelajar Arab di dalam mempromosikan Islam telah mengundang reaksi dari diri saya.

Teringatkan cerita pengislaman Alex Goh, pereka kasut primavera dan juga mantan penyanyi gereja telah membuatkan saya lebih yakin. Kata-kata rayuan bercampuran kekesalan Shah Kirit lewat album lagu-lagu hadis Xifu Nasir dan Muadz menambahkan lagi kejituan dan kebulatan tekad saya. Kata-kata sinis Lim Jui Soon bernada cabaran dan gesaan di setiap ceramah-ceramah beliau terus membakar semangat muda yang inginkan sesuatu untuk dibawa bertemu Tuhan di Mahsyar kelak.

Buku-buku kecil (booklet) dan juga liflet-liflet terbiar tidak bercuit di atas meja persatuan pelajar Islam saya ambil. “Jika golongan gereja mempunyai keberanian, kita umat Islam juga lebih utama untuk berani!!!”. Saya berusaha menjelajah di setiap meja kelab-kelab dan persatuan-persatuan. Memulakan perbualan, sehingga kemesraan terjalin, saya hulurkan buku dan liflet sebagai hadiah kepada mereka.

Selepas beberapa ketika, saya merasakan kejanggalan taktik tersebut. Mereka mungkin tidak berminat. Saya mula ke pintu keluar dan masuk, lagak aktivis-aktivis gereja menyebarkan liflet mereka. Kepada sesiapa yang keluar dan masuk, saya bertanyakan: “Do you want to know about Islam?” atau “Would you like to know about Islam?”... sambil tangan saya mempamerkan booklet dan liflet penerangan mengenai Islam.

Reaksi agak positif. Bagi sesiapa yang tidak berminat, mereka tidak akan melayan, ataupun akan mengucapkan “Thank You” sambil berlalu. Bagi yang berminat pula, mereka akan mengambilnya. Tiada paksaan. Tiada pujuk rayu.

Agak menarik, ada di antara merka yang ditanyakan mengatakan : “No, not any more”. Seolah-olah memberikan gambaran kekecewaan mereka terhadap Islam yang kini telah dicalarkan imejnya dengan parah sekali oleh media-media yang tidak bertanggungjawab.

Di antara yang lalu lalang juga ada yang meminta dan bercerita dengan lebih lanjut. Ada yang bersemangat menceritakan bahawa mereka sedang mengkaji tentang Islam. Ada yang bersemangat menceritakan bahawa topik Islam adalah sebahagian daripada kajian mereka. Malah ada yang mengatakan, mereka selalu dengar tentang Islam, tetapi ingin tahu lebih mendalam. Bermacam-macam reaksi.

Gambar Cathedral Durham dari udara
Pada ketika itulah, seorang aktivis gereja Emanuel yang kebetulan berdiri di hadapan saya mula menghampiri dan memperkenalkan dirinya. Sambil menceritakan tentnag aktiviti mereka dan juga gereja baru yang telah mereka bina, beliau meminta satu buku mengenai Islam yang diberikan secara percuma tersebut. Sepertimana warga British lain yang suka berterus terang tetapi dengan cara yang berlapik, beliau terus bertanyakan kepada saya: “Are you a born Muslim or a converted Muslim?

Saya dapat rasakan kesangsian beliau. Mana tidaknya, Imej Muslim sering disinonimkan dengan wajah Arab ataupun Asia Selatan. Tidak terlintas di dalam benak kepada British tipikal, seorang berwajah Cina beragama Islam. Jawapan saya tentang keaslian Islam warisan saya mengundang soalan yang lebih berani dari beliau. Beliau terus bertanyakan: “What did you find so special in Islam?”...

Sebagai seorang yang mewarisi Islam dari kedua ibu bapa, jarang sekali kita dididik untuk menghargai apa yang ada di dalam Islam. Apatah lagi untuk merasakan sesuatu yang istimewa di dalam Islam.Segalanya telah disediakan kepada kita, jika tidak dipaksakan ke atas kita. Atau mungkin banyak sangat yang terlalu istimewa di dalam Islam buat diri kita...

Bagi mereka yang masuk Islam dan berasal dari latar belakang bukan Islam, mungkin mereka mempunyai jawapan yang lebih spesifik. Banyak sudut tertentu yang mereka cari telah mereka temukan di dalam Islam.

Di kala kami sedang enak berbual, ketenangan perbualan kami dikejutkan dengan gelak ketawa sekumpulan siswa dari kelab pembaca komik manga Jepun. Masing-masing mengenakan kostum ala karikatur di dalam komik-komik manga. Secara fizikalnya, kostum mereka yang ganjil tersebut telah berjaya menarik perhatian ramai untuk mengunjungi gerai atau meja mereka. Rakan dari gereja Emanuel terus berkata kepada saya, “If we wear costume like them, we will manage to attract more people...”

Perjuangan harus diteruskan...demi Islam yang tercinta.
Jalan Dakwah tiada Short cut!

1 comment:

  1. saya amat tertarik dgn taktik yg digunakan oleh ustaz :

    Kepada sesiapa yang keluar dan masuk, saya bertanyakan: “Do you want to know about Islam?” atau “Would you like to know about Islam?”... sambil tangan saya mempamerkan booklet dan liflet penerangan mengenai Islam.

    terimbau pgm dakwah to non-muslim for public (approach & distribute pamplet. Kini tak dijalankan lagi kerana ramai pihak merasakan approach sedemikian kurang berkesan. alasannya: tiada follow up.lebih baik ditumpukan kepada mereka2 yang benar2 berhajat & senang di follow up.

    Apapun, bukankah hanya Allah shj yang mampu membuka pintu hati manusia? Wallahua'lam
    -atiq zain-

    ReplyDelete