Al-Quds Day Rally
Di dalam iklan yang disebarkan di milis-milis, masjid-masjid dan poster-poster, satu perbarisan memperingati hari al-Quds pada 7 Oktober 2007 akan berlangsung di London. Perbarisan yang bermula di Marble Arch itu akan berakhir di Trafalgar Square, tempat perhimpunan rasmi mana-mana demonstrasi di London. Di dalam iklan itu disebutkan beberapa pertubuhan Islam yang terkenal di UK akan turut serta. Antara nama yang disebutkan termasuklah MAB (Muslim Association of Great Britain) yang sinonim dengan usaha kempen isu Palestin di bumi UK.
Ketika dihubungi oleh rakan-rakan di London mengenai rally tersebut, saya berasa agak skeptik. Perhimpunan di minggu terakhir Ramadhan ini kebiasaannya dianjurkan dan disertai oleh kaum Syiah. Hal ini selaras dengan seruan Khomeini agar hari Jumaat di minggu terakhir Ramadhan dijadikan hari memperingati al-Quds. Walau bagaimanapun, setelah melihat senarai nama-nama mereka yang akan berucap, saya tertarik untuk menyertai buat pertama kalinya rally sedemikian rupa di bumi UK. Angin segar demokrasi dan juga kebebasan hak bersuara rakyat yang bertiup segar di UK perlulah saya gunakan sepenuhnya. Udara sedemikian tidak selalu bertiup di bumi Malaysia.
Seperti yang telah dijadualkan, pada hari Ahad, 7 Oktober 2007 bersamaan 25 Ramadhan 1428 saya bersama dengan Hj Azman Rashid dan Zolkarnain telah bergegas ke Trafalgar Square. Memandangkan kami bukanlah dari spesis yang tahan lasak, maka destinasi terakhir itulah tempat pertemuan kami dan bukannya Marble Arch untuk berjalan bersama-sama para demonstran yang lain. Kami terpaksa menunggu selama lebih daripada 2 jam untuk menantikan kehadiran para demonstran ke medan tersebut. Mujurlah Yvonne Riddley telah awal sampai, dan boleh dijadikan teman berborak. Yvonne, mantan wartawan Daily Mirror yang telah memeluk Islam setelah diculik oleh Taleban lima tahun lalu begitu mudah untuk berkomunikasi. Rakyat Malaysia bukanlah asing bagi Yvonne yang telah dua tiga kali ke Malaysia untuk menghadiri program-program anjuran al-Khadeem dan juga Saba Islamic Media.
Menemuramah Yvonne
Semangat dan juga kegigihan beliau jelas terserlah walaupun ketika berbicara santai. Banyak yang kami bualkan, termasuklah niat beliau untuk menetap tinggal di Malaysia. Beliau telah dijemput oleh pihak penganjur untuk menyampaikan ucapan di dalam demo tersebut. Seperti biasa, gandingan beliau pastinya ahli politik dan juga ahli House of Common UK, George Galloway. Cuma hati saya terdetik, di manakah Dr Azzam Tamimi yang merupakan jaguh isu Palestin? Mengapa nama beliau tidak tersenarai di kalangan penceramah di demo tersebut seperti kebiasaannya.
Di dalam kebosanan menunggu, Allah mentakdirkan kami untuk bertemu dengan Dr Daud Abdullah dari Palestine Return Centre. Dr Daud yang pernah hadir ke Malaysia atas jemputan Alumni ADNI untuk program Remmemberance of al-Aqsa pada tahun lalu masih lagi mengenali saya. Kali pertama bertemu beliau ialah sewaktu persidangan European Palestineans di Vienna tahun 2005 yang lalu. Menariknya beliau berbaju Melayu yang telah dibelinya lewat ziarahnya ke Kuala Lumpur pada tahun 2006. Agak menarik, sebagai seorang warga Carribean, beliau menjadi pakar sejarah Palestin dengan mendapat PhD dalam bidang tersebut dari Univerisit Khartoum di Sudan. Ustaz Hamidon, Timbalan Rektor UIAM merupakan teman rapatnya sewaktu di Sudan.
Bersama Dr Daud dan seorang penyokong kuat Hizbullah
Setelah hampir 3 jam lebih berada di medan Trafalgar, akhirnya kelompok demonstran mula muncul. Dengan alunan laungan pro-Palestin dan anti Zionis mereka muncul dari arah jalan Picardly. Kami terus bergegas untuk bersama dengan kumpulkan tersebut. Di hadapannya, para demonstran dari kumpulan Yahudi Ortodoks anti-Zionis, Naturei Karta berjalan seiringan dengan para ulama Syiah yang lengkap berjubah dan berserban. Bendera kuning Hizbullah mewarnai barisan para demonstran yang turut sama mengikuti laungan pro-Palestin dan anti-Zionis. Ganjil sekali, mengapakah bendera Palestin agak tidak kelihatan?
Lebih ganjil, para demonstran Arab dari MAB juga tidak kelihatan. Gambar wira-wira Palestin seperti Syeikh Ahmad Yassin dan Abdul Aziz al-Rantissi juga tidak kelihatan. Bendera HAMAS juga tiada. Apa yang tidak kena?
Naturei Karta
Hanya bendera-bendera Hizbullah, gambar Syed Nasrullah, gambar Khomeini, bendera Iran, gambar Khamnei sahaja yang melata. Lebih terkesan hati saya ialah apabila laungan-laungan pro-Palestin itu ditenggelami dengan laungan memuji Nasrullah, Hizbullah dan juga perjuangan mereka. Ke manakah laungan pro-al-Aqsa sepeti yang telah dicanangkan? Apakah demo ini untuk mempromosikan Hizbullah, Syed Hassan Nasrullah, Khomeini, Iran dan juga Syiah?
Lebih terkejut apabila saya mendapati hanya para demonstran dari kumpulan Yahudi Ortodoks Naturei Karta sahaja yang memegang bendera Palestin. Siapakah yang lebih memperjuangkan isu Palestin dan Masjid al-Aqsa?
Di dalam banyak laungan dan alunan sorakan tersebut, satu bait laungan mereka begitu mencuit hati saya. Berdasarkan rentak lagu “Who lets the dog out??!!!”, mereka tukarkan kepada “Who drops the bomb down???!!!”, dijawab dengan “Blair, Bush, Sharon!!!”...
Terjawab sudah kemusykilan saya mengenai kehilangan tokoh-tokoh Palestin UK yang sepatutnya mewarnai keindahan mana-mana perarakan dan demo pro-Palestin. Mungkin mereka pernah dikenakan oleh kumpulan ini pada tahun-tahun yang lalu... seperti kecewanya seorang yang membeli baju Nike dengan harga yang mahal, tetapi mendapati ianya barang tiruan buatan Thailand, begitulah perasaan kami.
Walau bagaimanapun kekecewaan kami terubat dengan ucapan penuh humor dan penuh sakastik oleh George Galloway. Tanpa George, demo tersebut tidak akan membawa apa-apa erti. Seperti kebiasaannya, George akan muncul dengan ucapan-ucapan yang berbisa menghentam AS, Israel dan juga para diktator Arab. Beliau memulakan ucapanya dengan membawa kata-kata Che Guevera yang sentiasa menjadi ikon dalam perjuangannya sebagai seorang Leftist.
“Any retreat of any Imperialist in any part of the world is a defeat for Imperialist all over the world, and the victor of any freedom fighter in any oart of the world is a victory for all free man all over the world”...
George Galloway
Akhirnya kami meninggalkan medan Trafalgar menuju ke MSD untuk berbuka puasa. Masing-masing tidak berpuas hati dengan demo yang kononnya untuk al-Aqsa itu lebih dimanipulasi oleh sesetengah pihak untuk mempromosikan Hizbullah, Iran dan juga Syiah...
Apakah yang anda akan terfikir jika bendera-bendera Hizbullah lebih banyak dan lebih dominan dari bendera Palestin, malah lebih banyak dari bendera HAMAS, malah lebih banyak dari gambar al-Quds sendiri?
Siapa pegang bendera Palestin?
Mungkin kami terpaksa menunggu tarikh 21 Ogos pula untuk menyambut “Hari memperingati al-Quds sedunia” yang lebih bermakna kepada umat Islam di seluruh dunia.
Adakah ini demo untuk al-Aqsa, atau?...
No comments:
Post a Comment