Dilemma Islamis menjelang Pilihanraya Presiden Mesir
Dr Maszlee Malik
Bagi rakyat
Mesir pilihanraya (PR) presiden Mesir pada 23 Mei yang akan datang merupakan
detik bersejarah negara berkenaan. Ia bakal menentukan masa depan dan juga
bentuk Mesir moden pasca-revolusi 25 Januari. Jawatan presiden mempunyai kuasa
yang mutlak yang tidak dimilki oleh parlimen. Pihak berkuasa tentera (SCAF)
juga telah berjanji untuk menyerahkan kuasa kepada rakyat selepas PR presiden
tersebut. Makanya, pemilihan presiden merupakan kemuncak kepada perjuangan
kebebasan rakyat Mesir. Ia akan menjadi kayu ukur untuk melihat samada revolusi
25 Januari benar-benar mencapai matlamat ataupun sebaliknya.
Selepas pintu
penamaan calon ditutup untuk bertanding di pusingan pertama PR presiden pada 23
Mei nanti, seramai 13 calon terkahir dikenal pasti akan bertanding. Agak
menarik, dari 23 orang pada asalnya yang akan bertanding, 10 orang telah
ditolak pencalonannya kerana isu-isu berkaitan undang-undang dan kelayakan
mereka. Di antara 10 orang tersebut, nama-nama heavyweight seperti calon Ikhwan Muslimun (IM), Khayrat Shater;
mantan ketua perisikan tentera Mesir, Jen. Omar Sulaiman; dan juga calon Salafi
paling popular, Hazem Abu Ismail merupakan di antara mereka yang ditolak
pencalonannya. Selapas tamat tempoh rayuan, ternyata kesemua mereka terpaksa
menerima keputusan muktamad pihak suruhanjaya pilihanraya yang menolak kesemua
rayuan tersebut.
Kini, di antara
13 calon yang berbaki, kebanyakan mata tertumpu kepada beberapa nama heavyweight mewakili dua kelompok di
dalam politik Mesir. Kelompok pertama diwakili oleh tiga nama utama, iaitu
mantan pemimpin IM yang dipecat, Dr Abdel Mon’em Abul futouh; tokoh akademik
dan intelektual, Dr Muhammad Salem al-Ewa dan calon dari IM dan juga presiden
parti FJP, Dr Muhammad Morsi. Kelompok ini dilabel oleh para penganalisis
politik sebagai kelompok Islamis. Kelompok yang bertentangan pula adalah mantan
setiauasaha Liga Arab, Amr Mousa; ketua parti al-Karamah dan lambang golongan
sosialis, Dr Hamden Sabahi dan juga mantan Perdana Menteri Mesir di zaman Mubarak,
Ahmad Syafiq. Nama-nama tersebut pula dilihat mewakili kelompok sekular. Dari
kelompok sekular tersebut, Amr Mousa dilihat lebih berpeluang berbanding
Sabahin yang agak kurang popular di kalangan rakyat luar bandar dan Ahmad
Syafiq yang dilihat sebagai saki baki (fuloul)
rejim Mubarak. Bagi kelompok Islamis pula, pilihan mereka terbahagi kepada tiga
nama yang telah disebutkan.
Dr Mohammad Morsi calon presiden Ikhwan Muslimun |
Menyedari
keperluan suara kelompok Islamis perlu disatukan agar undi mereka tidak pecah
lantas memberikan kemenangan mudah kepada Amr Mousa, satu pertemuan di antara
kumpulan-kumpulan Islamis telah diadakan di Kaherah pada 22 April yang lalu.
Perbincangan yang gagal mencapai kata sepakat itu telah menyaksikan bagaimana
dua kelompok terbesar kelompok Islamis, iaitu IM dan kumpulan-kumpulan Salafi
telah bertegang urat leher untuk mencapai kata sepakat. Selepas pihak
suruhanjaya PR Presiden menolak pencalonan Hazem Abu Ismael, majoriti kumpulan
Salafi dan juga kepimpinan atau ulama mereka menyatakan sokongan kepada Abul
Futouh. Walaupun ideolog kumpulan Dakwah
Salafiyah (iaitu jamaah induk kepada parti Nour yang mewakili kumpulan
berkenaan), Syeikh Yasir Borhami bahawa golongan Salafi masih lagi mempertimbangkan
di antara Abul Futouh dan Dr Salem al-Ewa, namun kebanyakan golongan muda dan
aktivis politik mereka lebih memilih Abul futouh. Pertamanya, al-Ewa tidak
mempunyai sokongan yang kuat dari akar umbi Salafi yang melihat beliau dengan
penuh prejudis kerana hubungan rapat beliau dengan Iran dan juga sikap lunaknya
kepada penganut mazhab Syiah; keduanya, kerana tipisnya peluang beliau untuk
memenangi PR Presiden berdasarkan kurangnya pengaruh beliau di kalangan rakyat
Mesir. Melihat kepada nisbah demografi kewujudan golongan Salafi di Mesir,
sokongan yang bakal mereka berikan kepada mana-mana calon presiden akan
memberikan kesan terhadap peluang calon tersebut untuk memenangi PR tersebut.
Apa yang pasti,
golongan Salafi bersatu untuk tidak menyokong calon presiden IM yang baru, Dr.
Mohamad Morsi, walaupun sewaktu pencalonan Shater, terdapat ramai di antara
mereka yang lebih memilih untuk menyokong Shater berbanding Hazem Abu Ismail
yang merupakan seorang Salafi. Keputusan mereka agak memeranjatkan ramai
pemerhati memandangkan Morsi telah meletakkan slogan lama pihak IM, ‘al-Islam huwal Hal’ (Islam adalah
penyelesaian) yang telah sepi semenjak revolusi 25 Januari dan digantikan
dengan ‘Nahmilul khayr li Masr’ (Kami
membawa kebaikan kepada Mesir) yang dijulang oleh parti FJP milik IM sekarang.
Morsi juga telah menegaskan pada pelancaran kempennya di Kaherah bahawa beliau
adalah ‘satu-satunya calon mewakili golongan Islamis’ berbanding Abul futouh
dan al-Ewa. Dr Morsi juga menolak penamaan Mesir sebagai ‘negara Sivil’, dan
menggantikannya keapda ‘negara demokratik beridentitikan Islam’ selari dengan
aspirasi kebanyakan golongan Salafi. Malangnya, walaupun beliau menggunakan sentimen
Islam yang lebih dekat dengan aspirasi kumpulan Salafi, namun majoriti kumpulan
Salafi menolak pencalonan beliau.
Antara isu utama
yang menyebabkan mereka menolak Morsi ialah keperibadian Morsi yang pada
pandangan ramai, tidak sesuai dan tidak mempunyai kelayakan untuk menjadi
presiden negara Mesir. Bagi kelompok Salafi dan para pemerhati politik, Morsi
terdesak untuk menggunakan slogan-slogan tersebut untuk meraih sokongan
kumpulan Salafi kerana beliau tidak mampu untuk meletakkan dirinya sebagai
calon yang paling sesuai untuk jawatan presiden kerana ketiadaan karismatik dan
keperibadian yang boleh menarik sokongan majoriti. Pendirian ini bukan hanya
terhad kepada golongan Salafi sahaja. Malah ramai di kalangan golongan pemuda
dan rakyat kebanyakan yang telah memberikan undi kepada IM sewaktu PRU yang
lalu melahirkan pandangan yang sama. Melalui survey yang dilakukan oleh pihak
media dan juga badan-badan kajian politik di Mesir, kebanyakan rakyat
pro-Islamis merasakan bahawa kehadiran Morsi di peringkat ini (selepas Shater
ditolak pencalonannya) disifatkan hanya sebagai pemecah undi golongan Islamis,
sekaligus menjejaskan peluang untuk calon berlatar belakangkan Islamis untuk
memenangi kerusi Presiden. Natijahnya, ia akan membuka peluang lebih kepada Amr
Mousa untuk memenangi jawatan tersebut.
Rasional
tersebut juga dikongsi oleh ramai anggota di peringkat bawahan IM, terutamanya
dari kalangan para pemuda IM. Pihak kepimpinan IM turut mengakui bahawa mereka
menerima tekanan yang kuat dari kalangan para pemuda IM yang menggesa agar
pihak kepimpinan menggugurkan Morsi dari pencalonan tersebut lantas membuka
jalan agar Abul futouh mendapat peluang yang lebih untuk menjadi presiden. Bagi
kebanyakan para pemuda IM yang dahulunya memberikan sokongan tidak berbelah
bagi kepada Shater, kini menyedari bahawa peluang Morsi amat tipis untuk
memenangi pilihanraya tersebut. Faktor kemampuan Morsi juga dipertikaikan.
Sebagai seorang yang sering muncul di kaca televisyen dengan emosional dan
kurang kemampuan untuk menjawab soalan-soalan yang diutarakan kepadanya sebagai
seorang ahli politik, Morsi kini hanya meletakkan peluangnya pada undi anggota
IM semata-mata. Bagi majoriti anggota IM yang telah dididik untuk mentaati
keputusan kepimpinan tanpa berbelah bagi, mereka pastinya akan menyokong Morsi.
Persoalan yang timbul, apakah jawatan nombor satu negara Mesir itu hanya
memerlukan sokongan anggota IM semata-mata? Di sinilah ramai pengkritik politik
menempelak IM.
Menurut ramai
penganalisis politik di mesir, dan juga pendapat mantan kepimpinan dan anggota
IM yang telah meninggalkan kumpulan tersebut, pencalonan Morsi menggantikan
Shater dan juga keengganan IM untuk menyokong Abul Futouh sebenarnya datang
dari kumpulan konservatif di dalam IM. Kumpulan konservatif tersebutlah yang
menguasai Maktab Irshad (kepimpinan
tertinggi) IM dan keputusannya. Golongan konservatif ini juga dikenali oleh
para pengkaji dan pengamat gereakan Islam di Mesir sebagai golongan ‘Qutbiyun’ (kerana kecenderungan mereka
terhadap ide radikal Syed Qutb berbanding ide moderat al-Banna) ataupun ‘Tarbawiyun’ (kerana sering mendakwa kepentingan
tarbiyah berbanding aktiviti dakwah dan politik). Mereka disifatkan oleh ramai
pihak sebagai batu pengahalang kepada usaha pencapaian kata sepakat antara
kumpulan-kumpulan Islam untuk menyokong Abul Futouh. Bagi mereka, dosa besar
Abul Futouh kepada jamaah IM tidak boleh dimaafkan. Maka apa-apa sokongan
kepada Abul Futouh, menurut dakwaan mereka hanya akan menghalalkan tindakan
Abul Futouh yang tidak mengikuti arahan kepimpinan tertinggi yang telah
menyebabakan ramai di antara kepimpinan lapisan pertengahan dan juga dari
kalangan pemuda dan pemudi IM berbondong-bondong meninggalkan IM sebagai protes
kepada pendominasian golongan Qutbiyun
ke atas hala tuju IM. Hubungan dingin di antara kumpulan Qutbiyun dengan Abul Futouh yang pernah mengepalai kumpulan
reformis (digelar sebagai Islahiyun)
di dalam kepimpinan IM sememangnya telah diketahui umum. Malah kemenangan
golongan Qutbiyun menguasai
kepimpinan IM dapat dilihat pada pemilihan anggota Maktab Irshad pada tahun 2009 yang telah menyaksikan Abul Futouh
dan rakan-rakan beliau dari kumpulan Islahiyun
terkeluar dari kepimpinan IM.
Bagi golongan IM
pula, mereka mempunyai alasan tersendiri untuk mencalonkan Morsi yang pada
asalnya merupakan pengganti jika Shater ditolak pencalonannya. Bagi mereka,
kerajaan Mesir yang akan ditubuhkan dan bakal dikuasai oleh FJP tidak akan
dapat menjalankan tugasnya dengan efektif jika presiden bukan dari parti yang
sama. Hal seumpama ini dapat dilihat kepada pengalaman Palestin yang mempunyai
parlimen dikuasai HAMAS dan presiden dari FATAH. Kesefahaman di antara
kedua-dua kuasa eksekutif dan presiden amat diperlukan untuk membina Mesir yang
baru. IM juga meletakkan harapan bahawa pihak yang telah menyokong FJP untuk
memenangi 49% dari kerusi parlimen juga pastinya akan memilih presiden FJP
untuk menjadi presiden mereka. IM juga meletakkan harapan kepada aktivis dan
anggota mereka yang ramai untuk dimobilisasikan sepanjang tempoh berkempen
nanti. Kehadiran lebih 50,000 anggota IM sewaktu pelancaran kempen Morsi juga
telah memberikan harapan kepada IM untuk bertegas meyakini bahawa keputusan
mereka mencalonkan Morsi adalah keputusan yang bijak, tepat dan selari dengan
inspirasi serta disiplin perjuangan mereka.
Abul Futouh bersama golongan Salafi Mesir |
Walau
bagaimanapun, adalah terlalu awal untuk meletakkan apa-apa ramalan ataupun
jangkaan terhadap PR presiden Mesir ini. Keadaan politk Mesir pasca revolusi 25
Januari terlalu dinamik dan jauh dari pesimisme. Setiap hari pastinya ada
perubahan yang berlaku. Apa yang pasti, perbincangan golongan Islamis Mesir ini
bukanlah yang terakhir, menurut kenyataan para ahli politik dari
kumpulan-kumpulan yang terlibat, pertemuan-pertemuan akan diteruskan di
masa-masa akan datang, dan akan melibatkan lebih ramai wakil sehinggalah detik
terakhir pencalonan muktamad pada penghujung bulan April. Persoalannya,
sejauhmana pihak Wisma Putra dan juga Kementrian Luar Malaysia mengikuti perkembangan
PR presiden Mesir dan bersikap pro-aktif? Sewaktu keberadaan saya di bumi
Mesir, pihak kedutaan dan kerajaan-kerajaan dari barat dan timur jauh tidak
jemu menziarahi parti-parti utama di Mesir, terutamanya FJP dan parti Nour.
Mereka juga aktif bertemu dengan calon-calon presiden untuk mengikuti
perkembangan dengan lebih dekat. Di samping itu, media-media barat dan juga
Jepun tidak ketinggalan mengikuti perkembangan politik Mesir dengan dekat. Mana
tidaknya, masa depan politik Mesir mempunyai kesan langsung terhadap isu
Palestin di masa hadapan. Tidak boleh dilupakan juga, usaha pembangunan semula
negara Mesir dengan pendapatan negara yang lebih baik berbanding zaman Mubarak
juga menjanjikan peluang pelaburan dan perniagaan yang luas bagi negara-negara
luar, terutamanya negara-negara Islam…
http://www.guardian.co.uk/world/2012/jun/12/muslim-brotherhood-share-power-egypt
ReplyDeleteDr Maszlee, a good article from the Guardian. Azizul