Thursday 22 December 2011

AUKU, bendera dan ludah...

‎1) Tindakan menurunkan bendera atau gambar pemimpin mana-mana kumpulan di ibu pejabat mereka adalah satu perbuatan yang tidak bertamadun. Ia memberikan isyarat 'hostility', merendahkan maruah pihak lawan, ataupun memalukan mereka sepertimana halnya di dalam peperangan, perlawanan ataupun pergaduhan.

2) Adalah tidak beradab bagi seorang warga Malaysia, apatah lagi Melayu dan Muslim untuk melakukan perbuatan sedemikian, lebih-lebih lagi apabila bertamu di kawasan orang lain di atas tujuan yang murni, iaitu penegakan kebenaran, keadilan dan juga menyuburkan budaya demokrasi melalui kebebasan berhimpun dan bersuara.

3) Sungguhpun yang demikian, reaksi pihak yang diturunkan bendera atau gambar pemimpin mereka juga hendaklah bertamadun. Perbuatan menggugut, memaki, meludah atau mengancam untuk melakukan kekerasan juga adalah tidak beradab, tidak beretika dan tidak bertamadun. Api tidak boleh dilawan dengan api, ia tidak akan membantu. Lebih malang, jika perbuatan yang tidak beradab itu dirakamkan untuk umum, ia hanya akan memalukan si pelaku dan juga pertubuhan mereka.

4) Di samping itu, di pihak lain pula, sentimen kepartian, kebencian kepada sesuatu kumpulan janganlah sampai membutakan mata kita dari melihat kebenaran, adab, etika dan akhlak. Moral perlu menjadi panduan tetap, dan akhlak perlu menjadi penyeri kepada proses demokrasi yang sihat. Apalah erti demokrasi dan kebebasan jika kehidupan manusia dikotori dengan perlakuan tidak bermoral, jauh dari etika dan kesusilaan.

5) Perlu diingat juga, perbuatan menurunkan bendera atau gambar itu juga tidak perlu dijadikan awan untuk melindungi atau menutupi tujuan asal perhimpunan dan tuntutan suci anak-anak siswa, iaitu penghapusan akta yang merencatkan ruh demokrasi, ruh kebebasan, ruh rasional dan juga keluhuran minda warga bertamadun. Tuntutan anak-anak siswa perlu didengari, dihormati dan diiktiraf sebagai suara warga yang mempunyai hak, kebebasan, minda yang matang, ketinggian nilai ilmu dan juga harga diri.

6) Bagi individu dan pihak yang telah menurunkan bendera, silalah merendahkan diri dan mengangkat ketinggian moral dan akhlak anda dengan memohon maaf. Ia mungkin merugikan politik anda, tetapi mengangkat ketinggian hemah diri dan keintelektualan. Siapa yang tidak melakukan silap?, tetapi penegasan terhadap pemansuhan AUKU tetap diteruskan. Zeitgeist bersama anda.

7) Bagi pihak yang biadap mengugut, memaki, meludah dan bersuara lancang, tarik baliklah kata-kata anda. Jika benar anda dipihak yang teraniaya, tuntutlah hak anda dengan cara yang bertamadun. Berbicara dengan bahasa orang berakhlak dan beretika, bukan cara samseng jalanan.

8) Bagi pihak yang seolah mewakili suara Islam, nilai kembalilah pendirian anda. Apakah kiranya gambar Tuan Guru tersayang ataupun bendera kesayangan anda di Taman Melewar diturunkan atau dimalukan, apakah anda akan berdiam diri? saya yakin label 'kafir' akan berlegar, dan 'jihad' akan dilaungkan oleh individu yang sama. Maka silalah bersikap konsisten!

9) Bagi rakyat Malaysia, janganlah kita dilarikan dari isu sebenar, iaitu tuntutan jiwa bebas dan merdeka para siswa agar minda, harga diri dan intelektual mereka tidak dikongkong dan tidak dijajah oleh mana-mana pihak di atas alasan yang tidak munasabah. Sudah sampai masanya kita bersikap seperti warga negara maju jika Malaysia ini kita sayangi...

1 comment:

  1. http://2.bp.blogspot.com/_4Oc9M9-Zlw0/SxY4oKLJ0pI/AAAAAAAABN4/WPKDw_S2KsY/s400/kencing+banner+Tuan+Guru.jpg

    ReplyDelete