Wednesday, 19 October 2011

Berhimpun untuk HIMPUN...




1. Adalah menjadi hak untuk mana-mana warga untuk berhimpun dengan aman demi menyatakan pendapat dan pandangan mereka. Hal ini dijamin oleh perlembagaan persekutuan, dan termasuk di dalam kategori Amar Maruf Nahy Munkar yang digalakkan di dalam Islam.

2. Oleh yang demikian, Kerajaan dan pihak keselamatan perlu bersikap adil di dalam membenarkan rakyat untuk berhimpun sebagai mengamalkan sebahagian dari hak mereka. Jika HIMPUN diberikan izin dan diberikan gambaran yang positif, hal yang sama sepatutnya diberikan kepada BERSIH dan lain-lain himpunan yang membawa mesej keamanan dan keadilan.

3. Perhimpunan solidariti umat untuk menyatukan umat Islam sewajarnya diadakan di atas dasar dakwah, perpaduan, kasih sayang dan juga berpaksikan keadilan. Islam yang ditegakkan di atas landasan kasih sayang, hujah dan juga keadilan akan lebih utuh, berbanding dengan Islam yang ingin dipaksakan atau ditegakkan di atas penggunaan kuasa dan ancaman.

4. Perhimpunan untuk menyampaikan mesej dakwah tidak sepatutnya diadakan sebagai rantaian reaksi terhadap sesuatu peristiwa yang mempunyai unsur politik di dalamnya. Jikalaulah isu murtad yang ingin dibawa, mengapakah sekarang ini? mengapa menjelang PRU-13? mengapakah di Selangor? mengapa pulakah ide perhimpunan tersebut diputuskan di dalam mesyuarat yang melibatkan aktor yang mempunyai kepentingan politik?

5. Umat Islam perlu memperbaiki diri sendiri dengan merubah keadaan pentadbiran agama yang sering menjadi penyebab utama Islam dipandang sebagai jumud, ketinggalan zaman dan juga terikat dengan pandangan politik tertentu; Umat Islam juga perlu memanfaatkan sistem zakat dan wakaf untuk pembangunan ekonmi umat Islam agar pintu kemurtadan kerana himpitan ekonomi tidak lagi berlaku; Pentadbiran birokrat zakat yang ternyata kurang efisien membendung isu kemiskinan dan akhirnya mengeheret sesetengah pihak untuk murtad, perlulah diperbaiki; Di samping itu, usaha untuk menswastakan zakat ataupun memasyarakatkan zakat dan wakaf agar diberikan kuasa kepada pihak NGO untuk menguruskan zakat dan wakaf perlu dipandang serius dan diberikan peluang.

6. Usaha dialog berterusan di antara pihak autoriti agama Islam dengan wakil-wakil agama lain, begitu juga badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan Islam dengan pihak agama lain perlu dirancakkan, sebelum bahasa prejudis dan bahasa permusuhan dilaungkan di atas nama ketuanan ataupun kemuliaan. Konsep saling menghormati, saling memahami dan cuba untuk menyelesaikan sesuatu perkara melalui dialog, shura dan persepakatan perlu didahulukan sebelum bahasa sentimen dan emosi dijadikan mantra keramat.

7. Pihak media perlu bertanggungjawab untuk membina jambatan di antara penganut agama pelbagai di Malaysia ini, dan bukannya sebagai batu api ataupun bara dalam sekam demi menjaga kepentingan politik golongan tertentu. Etika kewartawanan perlu dipegang teguh, apatah lagi oleh para editor Muslim dan juga wartawan Muslim. Fitnah, sentimen dan juga adu domba adalah perbuatan keji yang bukan sahaja menyalahi etika kewartawanan, malah juga menghancurkan akhlak Islami.

8. Golongan ulama perlu menjadi suara umat Islam kepada pihak pemerintah dan juga pihak bukan Islam. Para ulama tidak sepatutnya hanya menjadi jaguh kampung semata-mata dan tidak mampu untuk keluar dari zon selesa untuk menjadi jurucakap ummah kepada pihak agama lain. Kegagalan para ulama untuk bersikap terbuka, profesional dan juga menjadi jurubicara ummah yang rasional, hanya akan membuka ruang yang luas kepada aktor lain yang mempunyai kepentingan, samada kepentingan peribadi, mahupun kepentingan kumpulan.

9. Jika umat Islam inginkan perhimpunan yang lebih substantif, mungkin himpunan ala GPU (Global Peace and Unity) yang diadakan di UK setiap tahun boleh dijadikan model. Mesej kasih sayang, hormat menghormati, bantu membantu dan juga prinsip keadilan perlu menjadi tema utama. Di kala agama lain menghulurkan bantuan, menghulurkan kasih sayang, menghulurkan tangan untuk saling menghormati, apakah kita hanya mampu untuk mengecam, mengutuk, menggunakan ancaman dan juga mengugut, demi menyebarkan agama 'Islam' yang salah satu makna literalnya ialah 'kedamaian'?

10. Umat Islam di Malaysia perlu mempromosikan Rasulullah SAW secara komprehensif, moden, mesra-pengguna, mesra-kanak-kanak, mesra-remaja, kreatif dan juga membawa mesej kesejagatan demi menyelamatkan aqidah umat yang didakwa semakin rapuh. Usaha bersepadu, bukan hanya di pihak ahli agama sahaja, malah dari seluruh sektor masyarakat adalah diperlukan. Dengan kecintaan hakiki kepada Rasulullah SAW dan juga penghargaan terhadap jasa-jasa baginda, diharapkan umat Islam akan dapat kembali mengenali agama mereka.

Dr Maszlee Malik
UIAM

2 comments:

  1. mungkin kempen akhlak Rasulullah dalam berdepan dengan masyarakat kosmopolitan di zaman baginda perlu dipergiatkan lagi mahupun secara individu ataupun jama'i, media masa juga memainkan peranan yang sangat penting

    ReplyDelete
  2. pemikiran ilmuan islam beginilah yang sentiasa ditunggu-tunggu, syabas Dr.

    ReplyDelete