Thursday 18 December 2008

Politik Umat Islam di UK



Politik Umat Islam di United Kingdom: Wawancara majalah Islamism Digest bersama Yvonne Ridley.

Yvone Ridley bukanlah nama yang asing lagi di kalangan umat Islam antarabangsa umumnya dan masyarakat Islam di UK secara khusus. Julukan ‘wartawan Taliban’ sering diberikan kepadanya kerana beliau pernah ditawan Taleban dan akhirnya membawa kepada Islam beliau. Di lahirkan pada tahun 1958 di Stanley, Durham, UK pada tahun 1958. Beliau telah memulakan karier sebagai wartawan pada tahun 1976. Pada tahun 2001 beliau telah menyusup masuk ke Afghanistan untuk membuat laporan bagi akhbar ‘Express Newsweek’. Di sana beliau telah ditangkap oleh kerajaan Taleban pada 28 september 2001, dan kemudiannya dibebaskan. 30 bulan selepas pembebasannya beliau telah memeluk Islam. Kini beliau bekerja dengan Press-TV sebagai pengacara program berbahasa Inggeris mereka. Wawancara yang dilakukan oleh Mahan Abiden (ketua editor) ini dipetik dari majalah ‘Islamism Digest’ terbitan Centre for the Study of Terrorism milik Dr Kamal el-Helbawy, tokoh Ikhwanul Muslimun di UK bilangan 3/10, bertarikh Oktober 2008.

Islamism Digest (ID): Pada hemat anda, mengapakah kerajaan British beriya-iya hendak menubuhkan pertubuhan-pertubuhan Islam yang boleh mereka biayai untuk menyaingi pertubuhan-pertubuhan Islam yang sedia ada di bumi UK?

Yvonne Ridley (YR): Kerajaan British ingin memusnahkan Islam di dalam bentuknya sekarang ini. Mereka ingin mencipta Islam mengikut acuan mereka dan akan mengikut telunjuk mereka. Seperti mana kerajaan-kerajaan lain, kerajaan British juga membenci suara-suara kritikan, dan mereka mengganggapnya sebagai ancaman. Apa yang mereka lakukan pada mulanya ialah memilih beberapa individu dari Muslim Council of Britain (MCB) untuk menjadi suara atau agen mereka untuk menguasai umat Islam, malangnya MCB gagal melaksanakan misi tersebut seperti yang mereka ingini. Selepas itu kerajaan British mula mengubah strategi mereka.

ID: Adakah uamt Islam di UK menghadapi maslaah ketandusan pemimpin yang berkaliber; jika yang demikian bagaimanakah cara untuk mengatasinya?

YR: Saya tidak merasakan masalah tersebut wujud. Umat Islam di UK terlalu majmuk dan pelbagai, tiada satu pertubuhan pun yang boleh mengatakan bahawa mereka menjadi ‘suara’ rasmi bagi umat Islam.

ID: Memandangkan umat Islam terlalu majmuk, pelbagai dan tidak bersatu di bawah satu kumpulan, tidakkah anda merasa keepntingan untuk umat Islam mempunyai satu suara di dalam isu-isu yang berkaitan dengan mereka?

YR: Yang sebaiknya ialah jika umat Islam mempunyai individu-individu lelaki dan wanita yang boleh berbincang secara ikhlas dan telus di dalam menyampaikan pandangan mereka tanpa kepentingan peribadi, ataupun tanpa dibiayai atau ditaja oleh kerajaan untuk memperkatakan sesuatu mewakili umat Islam seperti Quiliam Foundation ataupun Sufi Muslim Council. Kumpulan-kumpulan seperti ini tidak mempunyai kredebiliti ataupun terlalu kecil pengaruhnya di kalangan umat Islam.

ID: Adakah anda merasakan bahwa ‘Islamophobia’ merupakan masalah budaya dan sosial yang semakin meruncing di UK?

YR: Islamophobia merupakan tempat berselindung yang paling efektif unutk sikap perkauman (racist). Walaupun sikap perkauman menjadi semakin sukar untuk dizahirkan di UK kerana undang-undang yang sedia ada mengawalnya, namun apabila ianya berkaitan dengan umat Islam, ianya dilakuakn secara terbuka. Golongan pelampau perkauman mungkin mengatakan mereka tidak meniupkan semangat perkauman apabila ianya berkait isu umat Islam memandangkan umat Islam datang dari seluruh pelusuk dunia. Namun kebenarannya, majoriti umat Islam adalah mereka yang berkulit gelap!

ID: Maka, adakah anda mengganggap pengacara sosial seperti Rod Liddle, yang amat kritis tentang Islam itu didorong oleh sikap perkauman?

YR: Orang seperti Rod Liddle tergolong di dalam kumpulan yang lain. Orang-orang seperti Rod Liddle menyangka bahawa kritikan dan kejian terhadap Islam merupakan trend dan fesyen terkini. Orang seperti Rod Liddle, jika diberikan peluang seharian untuk bersama Abu Hamza al-Misri (individu yang dikaitkan dengan pengganas di UK), dia akan mengatakan al-Misri sebagai orang yang baik.

ID: Bagaimana pula dengan Melaine Phillips?

YR: Saya merasa pelik bagaimana orang seperti Melaine Phillips boleh diberikan kredebiliti seperti sekarang ini di dalam dunia media. Beliau merupakan orang yang telah diracuni pemikirannya oleh pihak Zionis. Seperti mana golongan perkauman (racist), begitu jugalah golongan Zionis dan juga para sekularis kiri (secularist leftist). Kumpulan yang lebih ekstrim dan teruk lagi ialah sekularis muslim.

ID: Mengapa?

YR: Mereka (Muslim sekular) ingin memaksakan budaya dan sikap mereka ke atas semua orang. Mereka tidak boleh menerima hakikat bahawa gadis berkulit putih yang gila berparti boleh memeluk Islam, mereka ini sering menghasut saya tanpa henti (untuk meninggalkan Islam). Saya berkata dengan tegas terhadap mereka, “Jika kamu ingin mengambil dadah, bermabuk-mabukan, dan berzina semahumu, pergilah lakukannya, saya tidak kisah, jangan kamu memaksa saya mengikuti gaya hidup kamu!”

ID: Ramai bersetuju bahawa Islamophobia di UK adalah disebabkan oleh media. Sebagai wartawan veteran, anda lebih memahami perihal media di bumi UK ini. Pada pendapat anda, apakah yang boleh dilakukan untuk menangani masalah tersebut?

YR: Ini memerlukan usaha yang gigih dan payah memandangkan para wartawan di UK sememangnya bersikap sinis dan anti agama. Mereka bukan sahaja bersikap kritikal dan sinikal terhadap Islam, malah juga terhadap agama Kristian. Sungguhpun demikian, mereka agak berhati-hati di dalam mengkritik agama Yahudi dan kaum Yahudi, walhal di dalam media-media Yahudi sendiri mereka saling mengkritik dan menghentam sesama sendiri.

ID: Kerajaan British menafikan kaitan di antara polisi luar mereka (terhadap Afghanistan dan Iraq) menjadi penyebab kepada masalah pengganas dan ekstrimis di UK. Apakah mereka terpedaya?

YR: Polisi luar kerajaan British telah menyebabkan golongan muda di UK menjadi radikal. Bukan sahaja orang muda, malah golongan tua, dan semua orang menjadi radikal kerana polisi tersebut tanpa mengira agama, bangsa dan gender. Barangsiapa yang membenci penjajahan dan peperangan menjadi radikal kerana dasar-dasar luar kerajaan. Sebagai contohnya, sikap saya terhadap dasar-dasar luar dan polisi-polisi luar kerajaan British tidak berubah sebelum saya Muslim sehinggalah saya menjadi Muslim pada hari ini. Pendirian saya mengenai isu Palestin tetap sama dari dulu sehingga kini. Bezanya hanya, dulu saya tidak mengenakan hijab, dan kini oleh kerana hijab yang saya pakai, pandangan yang sama dilabel sebagai radikal, fundamentalis dan ekstrimis.

ID: Adakah anda bersetuju bahawa maslaah ekstrimisme di kalangan warga muda Muslim British semakin membarah?

YR: Ya, tetapi punca utamanya adalah kerajaan, kerja-kerja jahat golongan Muslim sekular, aktivis Pro-Israel, golongan perkauman dan juga golongan kiri ekstrim yang tidak jemu memberikan wajah buruk dan rupa yang hodoh kepada Islam. Malang sekali, ulama-ulama yang boleh membendung gejala ekstimis dipenjarakan, termasukalh di negara-negara umat Islam seperti di Algeria, Mesir dan Arab Saudi. Begitu juga para intelek yang menjadi suara umat Islam juga ditangkap dan dipenjarakan. Hal ini hanya menjadikan keadaan lebih parah di masa hadapan.

ID: Adakah anda percaya peristiwa 7/7 (pengeboman London) adalah disebabkan oleh masalah dalaman? Dalam kata lain, jika kerajaan British tidak terlibat dengan perang di Afghanistan dan Iraq, peristiwa tersebut boleh dielakkan?

YR: Peristiwa 7/7 tidak akan berlaku jika tentera-tentera British tidak dihantar ke Iraq. Bukan sekadar itulah yang dikatakan oleh mereka yang terlibat dengan pengeboman tersebut, malah fakta yang sama juga diakui oleh MI5! Setiusaha Agung persatuan sekerja Rail, Maritime and Transport (RMT), Bob Crowe sendiri mengatakan, “Jika kita telah mengebom negara orang lain, apakah kita tidak menjangkakan serangan balas dari pihak negara terbabit?”. Seperti mana kita mengkritik dan mengutuk serangan 7/7, 9/11, Madrid dan Bali, kita juga sepatutnya mengutuk penajajahan di Palestin, Iraq, Afghanistan, Kashmir, Sudan dan Chechnya dan mengiktiraf perjuangan rakyatnya untuk memerdekakan negara mereka. Kita tidak sepatutnya orang seperti Melanie Phillips memberikan pendapatnya sesuka hati di dalam hal seperti ini.

4 comments:

  1. Pendedahan yang baik. Syukran, ustaz.

    ReplyDelete
  2. Salam Ma'al Hijrah Ustaz,

    Seronok dapat interview Yvonne kan? Dia tak sombong malah very helpful in instances where we do not understand the full picture.

    InsyAllah, kalau ada peluang bila dia datang ke Malaysia, memang nak interview dia lagi.


    ps. Ustaz, mina your views on this blog windows into palestine di http://windowintopalestine.blogspot.com/2008/12/lies-pretexts-and-actual-motives.html. JazakAllah khair.

    ReplyDelete
  3. Alamak tuan, lama tak dengar berita...ni saya tengah berdemo utk hari kedua dgn Yvonne dan rakan2 lain di hadapan kedutaan Israel..insha Allah artikel akan muncul.

    ReplyDelete
  4. ckp psl politik umat islam ni, teringat wawancara mingguan malaysia dgn Tun Dr. Mahathir ahad lps. dia ckp psl bgmana penduduk Islam yg minoriti di US bleh menjadi penentu dlm politik US, sekiranya mereka bersatu. tp di sana umat islam bnaung di bawah lbh 1000 organisasi.

    ReplyDelete