Sunday, 21 October 2007

Aidilfitri di Durham



Selamat Hari Raya dari kami sekeluarga

Eid di Kampung Durham

Lagu-lagu raya, ketupat, lemang, kad raya, duit raya adalah di antara mercu tanda hari raya di bumi Malaysia. Takbir raya yang mendayu-dayu, dan juga pakaian baju melayu dan baju kurung serba baru menjadi syarat sah hari raya di Malaysia. Itulah cara membayar puasa sebulan di bulan Ramadhan, menurut kebanyakan masyarakat umum Islam di Malaysia. Jika berpuasa sebulan, maka beraya pun mestilah sebulan juga. Ibarat kata pepatah Inggeris “tit for tat”.

Jika di Johor, ianya lebih meriah, acara hari raya bagaikan pakej. Bukan sekadar baju baru, langsir, alas meja, kerusi setti, cat rumah, dan lain-lain perhiasan rumah, semuanya serba baru. Di sesetengah tempat pula, acara marhaban akan berlangsung dari rumah ke rumah, selama sebulan. Adat tersebut sebenarnya sebahagian daripada pakej ziarah menziarahi di bulan Syawal. Keunikan ini tidak terdapat di tempat-tempat lain di Malaysia.


Sayangnya, kemeriahan tersebut tidak dapat dirasakan di bumi Joddies (gelaran bagi orang-orang North Eastern di UK) ini. Komuniti Islam di Durham mempunyai cara yang tesendiri untuk merayakan hari raya. Bagi masyarakat Muslim Malaysia, tahun ini merupakan kali pertama hari raya disambut dengan bilangan rakyat Malaysia yang ramai. Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini yang hanya menyaksikan sedikit sahaj bilangan penduduk Malaysia di bumi Durham. Tahun ini terdapat lebih 100 orang warga Malaysia di bumi Durham termasuk kanak-kanak yang berumur lebih daripada satu hari. Bila sudah ramai, sudah tentu terubat sedikit kerinduan terhadap kampung halaman.







Khutbah 'Eid




Solat sunat ‘Eid diadakan di dewan Howland Farm bersebelahan Ustinov College (kolej untuk penuntut pasca siswazah). Lebih kurang 300 para jamaah berbilang bangsa menghadiri solat tersebut. Wajah-wajah yang tidak pernah kelihatan sewaktu solat Jumaat juga muncul lewat solat tersebut. Takbir ala Arab bergema di dewan tersebut dan menerobos angin pagi yang sejuk membawanya ke kawasan sekitar dewan. Jika di Malaysia, takbir yang dialunkan adalah takbir versi Imam al-Shafii seperti mana yang beliau riwayatkan di dalam kitab al-Umm, takbir di Durham ini saya tidak pasti versi yang mana ia. Berbeza dari apa yang biasa saya dengarkan di Jordan, Saudi, malah di mana-mana tempat lain. Mungkin hanya rentak alunan Arab yang bersemangat dan sunyi dari lenggokan kesenian sahaja yang sama.



Hal ini mengimbau kenangan saya di Jordan. Ketika saya menuntut di Universiti Al al-Bayt, kemajmukan kaum Muslimin dari timur dan barat menyerikan suasana Aidilfitri. Keadaan kami yang masih bujang juga memberikan signifikan kepada sambutan hari saya di perantauan. Sewaktu takbir, kami diperdengarkan dengan alunan takbir versi Turki, takbir versi Jordan, takbir versi Bosnia, takbir versi Albania, takbir versi Nusantara, takbir versi Iraq dan bermacam-macam versi lagi. Antara takbir yang paling lucu ialah takbir versi Afrika. Kepelbagaian alunan takbir ini mencerminkan tahap kesenian dan keperibadian setiap kaum. Ada yang keras, ada yang berlagu, ada yang berlenggok, ada yang sedih, tidak kurang juga ada yang senada sahaja.



Kullu 'Aam Antum Bikhayrin


Di Durham, mungkin kerana tekong takbirnya Arab Badwi yang saya tidak pasti mana asal usulnya, alunan takbirnya tidak begitu serasi dengan selera kebanyakan rakyat Malaysia. Bagi mereka yang pertama kali merayakan hari raya di perantauan, ramai yang terkejut (beruk) dengan suasana tersebut. Lagi terkejut mereka melihat solat ‘Eid dilakukan di dalam dewan dan bukannya di dalam masjid. Sememangnya menurut sunnah, Rasulullah SAW dan para sahabat melakukan solat ‘Eid di tengah padang dan bukannya di dalam masjid Nabawi. Malah Rasulullah SAW menggalakkan perempuan yang uzur (haid) sekalipun untuk datang menghadiri khutbah ‘Eid dan bertemu sesama komuniti untuk menzahirkan kegembiraan hari yang mulia tersebut.




Taqabballallah minnaa wa minkum



Menurut sunnah juga, para sahabat akan mengucapkan tahniah sesama sendiri. Rasulullah SAW sendiri akan memilih jalan pulang yang berbeza dari jalan datangnya selesai khutbah ‘Eid demi menemui masyarakat Madinah. Laungan takbir bergema di jalan-jalan seperti athar yang diriwayatkan tentang Ibnu Umar yang bertakbir sehingga di atas katilnya hendak tidur.Begitulah kegembiraan dan agungnya syiar hari raya. Takbir dab tahmid untuk memuji kebesaran Allah dan merayakan kemenangan zahir dan batin pada bulan Ramadhan. Takbir dan tahmid juga adalah untuk mengagungkan Allah SWT yang telah memberikan hadiah Ramadhan bagi seluruh umat Islam untuk meningkatkan ketaqwaan mereka. Takbir dan tahmid juga untuk mengenang kemenangan umat Islam pada peperangan Badar.
Selesai khutbah ‘Eid, para jamaah pelbagai bangsa di Durham bangun bersalaman dan berpelukan ala-Arab mengucapkan selamat hari raya sesama sendiri. “Kullu ‘Am Antum BiKhairin”, “Kullu Sanah We Enta Tayyeb”, “’Eidukum Mubarak”, “’Eid Mubarak”, “Taqabballah minnaa wa minkum”, dan pelbagai lagi ucapan bertukar di mulut-mulut para jamaah. Tidak ketinggalan ucapan “Selamat Hari Raya”, “Maaf Zahir Batin”, “Jalok Ngapuro” dan lain-lain lagi di antara warga Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia yang turut sama menghadiri solat dan khutbah ‘Eid.


Bagi kanak-kanak pula, hari raya di Durham amat bermakna apabila hadiah-hadiah diberikan kepada mereka semua. Hal ini tidak berlaku di Malaysia. Mungkin pendekatan ini untuk menggantikan hadiah-hadiah Krismas yang sentiasa diagihkan kepada anak-anak Kristian oleh ibu bapa mereka. Pelbagai mainan dari pelbagai jenis diberikan kepada anak-anak.Kegembiraan jelas terbayang di wajah-wajah kecil mereka.



Hadiah Raya untuk kanak-kanak Muslimin Durham

Malangnya bagi keluarga kami, suasana ‘Eid tahun ini agak muram. Bukan kerana kami di perantauan, tetapi kerana cirit birit yang melanda Nusaybah, anak sulung keluarga Maszlee dan Hamidah. Cita-cita Nusaybah untuk berpuasa penuh tidak tercapai apabila beliau diserang “Salmonella” pada hari ke 28 Ramadhan. Hari ke-29 Ramadhan hanya menyaksikan beliau terpaksa berulang-alik ke tandas dan mengerang kesakitan. Abdomennya kempis dan tegang kerana sakit yang tidak terhingga. Dalam tempoh seminggu, beliau terpaksa dimasukkan ke dalam wad sebanyak dua kali. Beliau kehilangan empat kilo dari berat badan asalnya. Seperti yang saya ungkapkan kepada doktor yang merawatnya, “She is not what she was before...what left is only skin and bone”.



Nusaybah dan Sumayyah hari raya 2005



Hari raya kedua kami adalah di hospital. Bagi Nusaybah, hari saya beliau hanyalah di atas katil dan di dalam tandas. Begitu juga ummi Nusaybah terpaksa berkongsi nasib dengan memikul beliau berulang-alik ke tandas. Alhamdulillah selepas seminggu beliau diserang “Salmonella”, beliau kembali pulih. Kini dengan semangat yang baru. Sejarah telah berjaya dicatatkan di dalam diari kehidupan beliau. Nusaybah telah berjaya berpuasa sebanyak 28 hari di bumi Durham, UK. Masih terngiang di telinga kami kata-kata Nusaybah: “Raya kat UK tak best, nak balik Malaysia!!!”

6 comments:

  1. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin untuk Ustaz sekeluarga.
    :)

    ---

    Khairulfaizie & Norizan.

    ReplyDelete
  2. salam.. dah besar dah nusaybah kan.. lama tak jumpa..
    ustaz, kirim salam kat ustazah ye.. assalamu'alaika wa 'alaihassalam...


    wardah, uia gombak

    ReplyDelete
  3. salam..ustaz, selamat hari raya. sampaikan salam pada ustazah dari saya yang datang umah ustaz masa sebelum puasa hari tu bersama aisyah dundee... suke tgk gambar rufaidah (btol ke?) yg kecik tu...

    ReplyDelete
  4. Salam Ustaz. Selamat Hari Raya. alhamdulillah Nusaybah dah pulih dan tahniah untuk puasa 28 hari!

    Azam

    P/S : Saya dah jumpa uztaz Wan Rusli, IIUM

    ReplyDelete
  5. salam ustaz...
    dah lama tak jenguk ke blog ust...
    cerita2 menarik dari UK buat ana hilang rindu kat adik2 yg comel n ustzah skali...
    sampaikan salam pada mereka...
    btul kot kata nusaybah, di malaysia raya lagi sronok... especially di johor.. :P

    kesian dia sakit, tp hebat juga dpt puasa smp 28 hari... takpe, lepas ni gain semula 4 kilo yg tlh hilang tu...

    sekarang tgh musim exam... doakan kami semua...

    ili, uia kuantan...

    ReplyDelete
  6. Salam ustaz,apa khabar ustaz sekeluarga?abg azam dan kak lin juga apa khbar?still kt durham lg ke?

    ReplyDelete