Thursday 20 September 2007

Menyapu khuf, rukhsah di musim sejuk




Menyapu Khuf




Dalam artikel kali ini, saya akan membawa satu persoalan yang merupakan “hadiah” dan juga “rukhsah” (keringanan) yang Allah telah berikan kepada umat Islam, tetapi tidak begitu diamalkan di Malaysia. Tidak keterlaluan jika dikatakan ianya adalah sesuatu yang ganjil bagi mereka. Penulis berharap agar tidak ada yang menuduh rukhsah yang dibawa pada kali ini sebagai sesuatau yang bid’ah ataupun tidak terdapat di dalam Islam. Bagi mereka yang pertama kali mendengar tentang rukhsah ini diharap dapat meluaskan pembacaan mereka agar ilmu mereka bertambah dan sifat “pengkajian” dan ilmiah akan terus subur di dalam masyarakat Islam Malaysia. Rukhsah yang ingin dibawa oleh penulis pada kali ini ialah rukhsah “menyapu khuf” ketika berwudhuk.


Apakah Khuf?

Khuf adalah stokin yang diperbuat daripada kulit yang berfungsi sebagai stokin dan digunakan untuk perjalanan jauh. Ianya digunakan secara meluas di kalangan orang Arab di zaman Rasulullah S.A.W. untuk memudahkan mereka bermusafir kerana ketahanannya untuk perjalanan yang jauh berbanding stokin.

Di atas fenomena pemakaiannya inilah syariat Islam telah membawa satu keringanan untuk pemakainya yang dapat memudahkan mereka untuk melakukan ibadah solat. Bagaimana?, iaitu Islam membenarkan mereka yang memakai khuf untuk menyapu air ke atasnya tanpa membukanya terlebih dahulu dan membasuh kaki ketika berwudhu dengan syarat-syarat tertentu! , ya, pemakai khuf hanya perlu menyapu air ke atasnya tanpa perlu membasuh kaki mereka, dan tanpa perlu membuka khuf tersebut! Alangkah indahnya Islam. Walau bagaimanapun untuk membuat penyapuan tersebut ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi dan hanya boleh dilakukan dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja.


Dalil keharusan menyapu khuf

Sebelum kita melihat lebih lanjut mengenai syarat-syarat dan cara-cara menyapu khuf, adalah lebih baik jika kita melihat apakah dalil yang membolehkan seseorang itu menyapu khuf. Antara dalil bagi keharusan menyapu khuf ialah: hadis Rasulullah S.A.W. yang telah diriwayatkan oleh Jarir bin Abdullah al-Bajili, katanya: Saya telah melihat Rasulullah S.A.W. mengambil wudhuk setelah menunaikan qadha hajat. Baginda telah berwudhu dan kemudiannya meyapu kedua khuf (yang dipakai oleh) baginda” (H.R. al-Bukhari, hadis no. 1478, Muslim, hadis no. 272).

Al-Mughirah bin Syu’bah juga ada meriwayatkan, katanya: “Ketika saya berada bersama Rasulullah S.A.W. ketika bermusafir, saya ingin membukakan khuf baginda, tetapi baginda melarangnya untuk baginda menyapunya”. ( H.R al-Bukhari, hadis no. 203, H.R. Muslim, hadis no. 274)

Syuraih bin Hani, pernah bertanyakan kepada Aisyah tentang cara baginda memakai khuf, beliau menceritakan: “Pergilah kepada Ali, beliau lebih tahu (daripadaku) tentang hal ini!, beliau pernah bermusafir dengan Rasulullah S.A.W”, lalu Syuraih pun bertanyakan kepada Ali, Ali menjawab: “Rasulullah S.A.W. membenarkan (kaum muslimin) menyapu khuf untuk tempoh tiga hari bagi mereka yang bermusafir, dan sehari semalam untuk mereka yang bermukim”. (H.R. Muslim, hadis no. 276)

Banyak lagi hadis-hadis lain yang menceritakan perihal menyapu khuf ini daripada riwayat para shabat yang berlainan. Boleh dikatakan periwayatan tentang keharusan menyapu khuf mencapai bilangan “mutawatir maknawi”. Ini menjadikan sesetengah golongan Hanabilah (pengikut mazhab Ahmad bin Hanbal) menjadikan kepercayaan harus menyapu khuf sebagai sebahagian daripada aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Majoriti umat Islam juga beriman dengan keharusan menyapu khuf, kecuali golongan Syiah Imamiyyah yang menafikan bahawa Rasulullah S.A.W. mengharuskan menyapu khuf. Pandangan mereka dalam hal ini ditolak oleh umat Jumhur ulama kaum muslimin.



Syarat Menyapu khuf

Untuk seseorang itu boleh menyapu khuf, dia mestilah menepati beberapa syarat. Antaranya ialah:

a) Dia hendaklah memakai khuf hanya selepas dia telah mengambil wudhuk yang sempurna (dan telah membasuh kedua kakinya terlebih dahulu).
Selepas berwudhuk barulah beliau boleh memakai khuf. Jika wudhuknya terbatal selepas memakai khuf tersebut, jika beliau ingin mengambil wudhuk yang baru, beliau tidak perlu membasuh kakinya lagi, malah cukup dengan menyapu bahagian atas khuf nya sahaja”. Dalil untuk syarat ini ialah tegahan Rasulullah terhadap Mughirah bin Syu’bah dari membuka khufnya, kerana baginda telah berwudhuk secara sempurna sebelum memakai khuf tersebut. (Telah diterangkan sebelum ini)

b) Khuf tersebut hendaklah menutupi bahagian kaki yang dibasuh ketika wudhuk. (Hendaklah ia menutupi kaki sehingga paras buku lali). Dalilnya ialah khuf yang dikenali sebagai khuf ialah yang menutupi kaki sehingga buku lali. Jika ada stokin kulit yang menutupi kaki tetapi tidak menutupi buku lali, maka ianya tidak dipanggil khuf oleh orang Arab.

c) Hendaklah ia menghalang air dari menembusinya.
Ini merupakan syarat yang diletakkan oleh mazhab Syafi’i. Bagi sesetengah mazhab lain, mereka tidak meletakkan syarat ini. Oleh sebab itu, menurut sesetengah mazhab, harus bagi seseorang untuk menyapu stokinnya sebagai menggantikan khuf seperti yang akan kita perbincangkan nanti.

d) Hendaklah ia diperbuat daripada kulit yang suci dan telah melalui proses penyucian.
Ini kerana kulit yang najis tidak boleh dibawa bersolat.


Tempoh menyapu ke atas khuf

Tiada khilaf di kalangan ulama muslimin berkaitan tempoh diharuskan menyapu ke atas khuf. Bagi mereka yang bermusafir, mereka boleh menyapu khuf tanpa membukanya selama tiga hari tiga malam. Bagi mereka yang bermukim pula (sperti mereka yang berada di dalam rumah dan menyapu khuf kerana cuaca yang sejuk), tempoh mereka diharuskan menyapu khuf hanyalah satu hari satu malam sahaja. Jika habis tempoh tersebut, orang yang memakai khuf tersebut hendaklah membuka khuf nya dan mengambil wudhuk yang sempurna seperti biasa dan jika dia ingin, dia boleh memakainya kembali dengan tempoh yang baru pula.


Cara menyapu khuf

Ali R.A. yang telah berkata: “Jikalaulah urusan agama hanya berdasarkan akal semata-mata, nescaya tapak kaki khuf lebih utama untuk disapu daripada atasnya. Dan daya pernah melihat Rasulullah S.A.W. menyapu telapak khufnya juga kadang-kadang”. (H.R. Abu Daud, hadis no. 162).

Berdasarkan hadis tersebut dapatlah kita fahami bahawa cara menyapu khuf ialah dengan menyapu air ke atas lapisan atas khuf, iaitu dasar atas kaki dan bukannya telapak bawah kaki. Walau bagaimanapun, berdasarkan hadis itu juga dapat kita fahami bahawa tiada kesalahan juga untuk menyapu bawah telapak khuf. Dalam mazhab Syafi’i perbuatan tersebut dianggap sunat. Maknanya, selain daripada menyapu air di bahagian atas khuf dengan sebelah tangan, sebelah tangan yang lain pula menyapu bawah telapak khuf (Lihat: al-Bugho, Mustafa, al-Fiqh al-Manhaji, j. 1, h. 67)



Perkara yang membatalkan penyapuan khuf

Terdapat tiga perkara yang membuatkan seseorang itu tidak boleh lagi menyapu khuf dan terpaksa mengambil wudhuk secara normal.

a) Jika si pemakainya membuka khuf tersebut.
Maknanya, jika seseorang itu telah memakai khuf dengan wudhu yang sempurna dan ingin menyapu khuf selepas itu, beliau tidak boleh membukanya. Jika beliau membuka khuf tersebut, beliau tidak boleh lagi menyapu khuf itu kecuali selepas wudhuk sempurna yang baru.

b) Habis tempoh penyapuan.
Jika cukup tempoh tiga hari tiga malam pemakaian khuf bagi orang yang bermusafir dan juga sehari semalam bagi mereka yng bermukim, mereka tidak lagi boleh menyapu khuf lagi. Sebaliknya mereka hendaklah mengambil wudhuk yang baru untuk memakainya semula dengan tempoh yang baru.

c) Berlaku hadas besar .
Jika seseorang yang memakai khuf berhadas besar ketika memakai khuf, beliau hendaklah menanggalkan khufnya untuk mandi wajib. Beliau tidak boleh mandi wajib dengan memakai khuf dan sekadar menyapunya sahaja. Safwan bin ‘Asal telah meriwayatkan dari Rasulullah S.A.W. : “Sesungguhnya baginda telah menyuruh kami menyapu ke atas khuf ketika kami bermusafir, dan tidak menanggalkannya selama tiga hari berturut-turut. (Tidak kiralah) kerana kencing ataupun buang air besar, kecuali jika kami berjunub (maka kami wajib menanggalkannya dan mandi)”. (H.R. al-Tarmidhi, hadis no. 96)




Di musim sejuk di UK, ataupun bagi mereka yang berkerja di UK, rukhsah ini amat praktikal. Tidak perlulah kita membasahkan tandas pejabat, perpustakaan dan universiti akibat hendak membasuh kaki. Agak ganjil jika kita membasahkan lantai kerana lantai di tandas-tandas UK kebanyakannya dijaga agar kering dan bersih.




Persoalan yang timbul, di mana hendak mendapatkan khuf?




Jika anda di bandar-bandar yang terdapat ramai orang Islam seperti London, Leceister, New Castle, Bradford dll., mungkin kedai-kedai buku Islam ada menjualnya. Jika anda berada di tempat-tempat yang tidak ramai umat Islam, mungkin e-bay boleh membantu.




Timbul satu persoalan, bagaimana pula jika kita memakai stoking tebal. Bolehkah kita hanya sekadar menyapunya sepertimana kita menyapu khuf?




Kita bersambung lagi...

4 comments:

  1. SALAM ustaz,

    maklumat tambahan, kalau nak beli khuff ni boleh dapatkan di http://www.islamicgoodsdirect.co.uk/advanced_search_result.php?keywords=leather+sock

    wassalamu. fauzi

    ReplyDelete
  2. DIPANJANGKAN DARI SURATCINTARABIAH.BLOGSPOT.COM
    PERLUASKAN ILMU AGAMA MANA TAU RUPA-RUPA NYA DENGAN TIDAK DISANGKA-SANGKA
    ALLAH HANTARKAN KITA DITEMPAT DIMANA BUMINYA SEJUK. JADI BERWUDHUK TAK PAYAH
    PAKAI AIR!!

    ReplyDelete
  3. http://baraqahmart.blogspot.com
    ada menjual khuff di Malaysia..

    ReplyDelete
  4. Kalau kita pakguard, Rela, atau polis bantuan (yg bermukim dan mustautin) ketika bertugas, bolehke kita anggap 'but askar ' kita sbg khuf dan berwuduk dgn nya?

    ReplyDelete