Saturday 15 September 2007

Mafraq dan Durham

Kesunyian Durham dan Mafraq

Semenjak kecil saya dibesarkan di Johor Bahru. Sepertimana anak-anak JB yang lain, kami lebih berbangga dengan JB berbanding bandar-bandar lain di Malaysia. Tidak keterlaluan juga ada di kalangan orang JB yang menyangkakan JB lebih hebat dari KL. Mungkin kesan dekatnya JB dengan Singapura yang maju dan pesat pembangunannya. Selesai pengajian, saya bermukim di Kuala Lumpur. Dari JB ke KL, mungkin tajuk yang menarik untuk novel, cerpen, atau sahaja filem pendek (short). Tapi, topik yang ingin saya kemukakan ini tiada kaitan dengan JB mahupun KL. Ianya mengenai kota London.

Sebagai anak bandar, kali pertama saya merasakan diri ini tertekan adalah ketika Kementerian Pengajian Tinggi Jordan memeutuskan saya bersama lapan belas orang rakan tajaan JPA dan Kementerian Pendidikan (di waktu itu) ke daerah Mafraq, utara Jordan. Selepas berada di bandar Amman yang menjadi kebangaan rakyat Jordan selama lebih lapan bulan, akhirnya saya terpaksa ke padang pasir. Saya ditakdirkan untuk menjadi siswa generasi pertama universiti Al al-Bayt di Mafraq, Jordan.

Daerah Mafraq merupakan kawasan padang pasir. Bandar Mafraq merupakan nadi kepada daerah padang pasir tersebut. Berdebu, berpasir, berbatu, sejuk di malam hari, panas di siang hari. Itulah keadaan di Mafraq. Lebih menyayat hati, bangunan universiti Al al-Bayt merupakan bekas kem tentera darat Jordan. Di hadapannya pula merupakan kem tentera udara tentera Jordan. Malah bandar Mafraq itu sendiri pun dihuni oleh ramai tentera, terutamanya di kawasan Hayy Dhubbat (yang bermaksud perumahan pegwai tentera).
Bayangkan, di hari pertama kami dimasukan ke dalam asrama penuntut, hanya trak-trak tentera dan para anggota tentera sahaja yang wujud di kawasan tersebut. Malah bulan-bulan pertama kami di universiti, trak-trak tentera sibuk keluar dan masuk mengosongkan bangunan-bangunan di dalam kawasan unversiti untuk digunakan oleh penghuni-penghuni yang baru. Debu-debu yang berterbang dan ditiup angin malam musim panas sering menjadi perisa tambahan memilukan hati saya terguris. Lolongan anjing-anjing liar di malam hari menjadi penghibur hati yang lara.

Dari bandar ke kampung...mungkin lebih tepat, dari bandar ke padang pasir...Seramai 200 pelajar tajaan JPA, KP dan juga Yayasan Pahang menjadi teman berkongsi hiba. Mungkin bagi mereka yang baru datang agak terkejut dengan suasana yang baru tetapi redha menerimanya, tetapi tidak bagi kami yang 18 orang ini. Setelah lebih lapan bulan di Amman, ibu kota Jordan, kami dicampakkan ke padang pasir. Seperkara yang lebih mendukakan kami ialah nasib 18 orang penuntut ini. Saya dan rakan-rakan saya yang 18 ini pada awalnya dijadualkan ke Maghribi pada tahun 1993. Hatta borang perjanjian kami dengan JPA dan KP pun ialah untuk pengajian ke Maghribi. Dua minggu sebelum penerbangan, kami diberitahu bahawa Maghribi tidak mahu menerima ramai pelajar Malaysia. Selama lebih setahun kami tersadai di Malaysia sehinggalah kami diminta untuk ke Jordan pula. Setelah ke Jordan, ketibaan kami agak terlewat dua minggu, hari pendaftaran telah selesai, maka selama lapan bulan kami terpaksa menunggu semester yang baru pula di Amman. Apabila semester yang baru dibuka, kami dipindahkan pula ke Mafraq dan bukannya ke University of Jordan di Amman. Hari-hari di mafraq yang pilu telah memaksa kami menubuhkan “Kelab Jiwa Luka”.

Segalanya cepat berlalu, selepas lima tahun setengah berada di Mafraq, sedar-sedar saya telah pun berjaya menghabiskan pengajian di peringkat B.A (ijazah dasar) dari universiti Al al-Bayt. Kini setelah hampir 13 tahun berlalu, kenangan tersebut masih segar di benak fikiran saya. Saya berterima kasih kepada Mafraq, universiti, para pensyarah dan juga para masyaeikh yang telah membimbing kami pelajar Malaysia di sana. Kunjungan terakhir saya ke Mafraq tahun 2006 yang lepas ke universiti tersebut, ia telah banyak berubah. Jauh lebih baik berbanding 13 tahun yang lalu. Tiada siapa lagi di kalangan penuntut Malaysia sekarang yang mengetahui bahawa tempat berkenaan asalnya merupakan sebuah kem tentera.

Kini, sekali lagi saya terpaksa menjadi penduduk kampung pendalaman. Jika dulu di padang pasir, kini di kampung orang putih. Mungkin keadaan kampung di UK tidak seperti kampung di Jordan, tetapi norma-norma kekampungan masih ada pada warganya. Pada awal kedatangan saya ke Durham, saya agak kurang menghargai irama kesunyian yang sering berkumandang menjelang pukul lapan malam. Sehinggalah saya keluar dari kampung untuk ke London, barulah saya mula merindui kesunyian tersebut. Jalan-jalan di Durham tersusun kemas, bersih dan kecil. Orang-orang di Durham, walaupun tidak kesemuanya, tetapi kebanyakannya masih menjaga etika dan lagak English. Pengguna jalan raya tidak stress, tiada kesesakan lalu lintas, tiada mat rempit, tiada bunyi setero kereta yang kuat, dan mereka masih menghormati pengguna jalanraya yang lain.

Kebersihan merupakan sesuatu yang paling berharga di daerah Durham. Ibarat kata rakan saya, Hj Kamin panel rujukan fiqh laman web al-Ahkam, Durham adalah bandar Draculla. Bukan kerana banyak nyamuk, tetapi kerana bangunan-bangunan lamanya yang masih terpelihara sehingga kini.Mercu tanda Durham adalah cathedral (gereja besar) lama yang tersergam indah di tengah-tengah nadi bandar Durham. Tanpa Cathedral tersebut, mungkin Durham tidak akan dikenali orang. Selain daripada ianya sebuah bandar universiti, ianya juga adalah bandar pelancongan. Pendekata, dua faktor ini menyumbang kepada ketamadunan dan juga kebersihan yang terdapat di bandar dan juga seluruh daerah Durham.

Berlainan halnya di tempat-tempat lain yang dihuni oleh masyarakat majmuk. Tidak perlu pergi jauh, cukuplah ke Newcastle yang jauhnya tidak melebihi 20 km dari Durham. Di kawasan bandarnya dan juga kawasan yang dihuni oleh ramai imigran, samda dari Asia Selatan mahupun Asia Barat, kawasannya amat kotor. Pemandu-pemandunya lagak para pemandu di Kuala Lumpur yang mempunyai piawaian “berhemah” mereka yang tersendiri. Kereta-kereta yang dipandu oleh anak-anak muda pastinya sering memecah kesunyian dengan bunyi ekos yang gegak gempita, dan juga kelajuan yang tiada tandingannya. Bunyi muzik dari setero kereta yang bising juga sering menghiasi kereta-kereta tersebut. Amat malang, jika dilihat para pemandunya kebanyakannya adalah generasi kedua atau ketiga imigran dari Asia Selatan dan Asia Barat.

Lebih dahsyat lagi jika anda ke London. Tidak pernah terbayangkan di dalam benak pemikiran saya, akan dihon apabila lampu hijau dan tanpa ada alasan yang munasabah. Malangnya di London, pemandu-pemandu yang masih lagi cuba mengekalkan jatidiri kePakistanan, atau keIndiaan, atau juga ke Araban dan keafrikaan akan bijak menggunakan hon mereka di waktu-waktu yang tidak diperlukan. “Selamat datang ke kota London yang majmuk dan berserabut”, ucap Dr Azzam Tamimi ketika saya menziarahi beliau di pejabatnya. Kota London bukanlah kota orang putih tambah beliau. Kemajmukan penduduknya telah menghilangkan identiti orang putih kota tersebut. Lima hari di London telah menyebabkan saya rindu kepada kesunyian, kebersihan, keselamatan dan juga ketenangan di Durham.

Seperti dahulu, saya menikmati kesunyian malam di padang pasir Mafraq, kini saya sekali lagi akan menikmati kesunyian kampung orang putih di Durham. Apakah nanti kepulangan ke Kota Damansara akan menyebabkan saya sekali lagi bernostalgia tentang kesunyian?

3 comments:

  1. Alhamdulillah ustaz.. Kekampungan kawasan ana masih terjaga.. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. KAMI SEKELUARGA TAK LUPA MENGUCAPKAN PUJI SYUKUR KEPADA ALLAH S,W,T
      dan terima kasih banyak kepada AKI atas nomor yang AKI
      beri 4 angka [8895] alhamdulillah ternyata itu benar2 tembus AKI.
      dan alhamdulillah sekarang saya bisa melunasi semua utan2 saya yang
      ada sama tetangga.dan juga BANK BRI dan bukan hanya itu AKI. insya
      allah saya akan coba untuk membuka usaha sendiri demi mencukupi
      kebutuhan keluarga saya sehari-hari itu semua berkat bantuan AKI..
      sekali lagi makasih banyak ya AKI… bagi saudara yang suka PASANG NOMOR
      yang ingin merubah nasib seperti saya silahkan hubungi KI DARSA,,di no (((085-321-606-847)))
      insya allah anda bisa seperti saya…menang NOMOR 770 JUTA , wassalam.


      Delete
  2. Salam pergenalan ustaz.. Saya jalalboy tertarik dengan cara penyebaran ustaz melalui alam maya. Saya juga menyampaikan dakwah melalui alam maya melalui laman Web http://jalalboy.blogspot.com/.. Harap jika ada salah silap dapat ustaz perbetulkan. http://jalalboy.blogspot.com/2012/01/salam-pergenalan.html

    ReplyDelete