Wednesday 26 September 2007

Beli Kereta Dan Goreng Pisang






Van Serena dan pengalaman jual beli kereta




Sebelum saya bertolak ke UK, rakan saya, Hj Khairul Amin aka KAMIN, memebritahu saya bahawa jual beli kereta di UK adalah ibarat membeli goreng pisang di Malaysia. Harga kereta terpakai yang murah, kereta yang elok dan juga urusan yang mudah menjadikan urusniaga kereta tidak sukar. Perkara yang sama jugalah saya dengari dari rakan-rakan lain yang pernah tinggal belajar di UK. Jika anda ada duit tunai di dalam poket, anda boleh terus membeli kereta samada dengan tuan empunya yang ingin menjual ataupun dari kedai. Selesai membayar, kereta tersebut menjadi milik anda secara rasmi. Si penjual hanya perlu menghantarkan borang jual beli dan tukar hak milik melalui pos ke DVLA (ibarat JPJ). Selang seminggu, anda akan menerima geran hak milik kereta tersebut.



Kereta di UK diwajibkan untuk dihantar ke bengkel untuk diservis dan diuji demi mendapatkan sijil boleh pandu di jalan raya (MOT). Mana-mana kereta yang tidak mempunyai sijil MOT tidak akan laku jika dijual. Maka, secara konsepnya, setiap kereta yang berada di atas jalan raya UK adalah selamat untuk dipandu. Walau bagaimanapun orang jahat berada di mana-mana sahaja. Terdapat di kalangan warga UK yang tidak jujur membuat sijil MOT palsu untuk dijual dengan harga yang murah. Bengkel-bengkel seperti ini beroperasi secara haram dan sering berunding dengan para penjual kereta terpakai. Bagi para penjual kereta terpakai, terutamanya yang mempunyai kereta-kereta yang bermasalah, mereka tidak mahu mengeluarkan duit lebih untuk pembaikan kereta yang ingin dijual. Kebiasaannya mereka inilah yang akan berpakat dengan tuan empunya bengkel yang tidak jujur.



Malang sekali kebanyakan penjual kereta seperti ini terdiri dari kalangan warga UK dari keturunan Asia. Lebih malang lagi terdapat dari kalangan umat Islam sendiri membuat kerja-kerja terkutuk ini. Islam merupakan agama yang indah dan menitik beratkan persoalan kejujuran, kebenaran dan keadilan.Malangnya umat Islam tidak semuanya menghayatinya. Sistem bukan Islam nampaknya lebih islamik berbanding sesetengah umat Islam yang tidak jujur ini. Lebih malang, uamt Islam yang tidak jujur ini mengkhianati sistem yang dibuat oleh bukan Islam yang terlalu Islamik ini.



Pengalaman saya membeli dan menjual kereta berlaku amat pantas. Setelah dua minggu menumpang kereta orang lain, akhirnya saya berjaya menemukan kereta yang diperlukan dan menepati undang-undang. Saiz keluarga seramai enam orang memaksa saya menggunakan kereta “seven seaters” samada MPV, estate ataupun van. Setiap anak di bawah 11 kg diwajibkan duduk di atas “baby seater” (kerusi kereta kanak-kanak), dan setiap anak yang berumur di bawah 20 kg diwajibkan duduk di atas booster (kerusi lapik untuk kanak-kanak) demi keselamatan mereka. Undang-undang ini memaksa stiap anak untuk duduk di atas satu kerusi. Bayi pula hendaklah diletakkan di atas pembawa (carrier) mereka yang diikatkan dengan tali pinggang keledar. Maknanya anak-anak tidak boleh dipangku ataupun diriba oleh ibu bapa di atas kenderaan.



Undang-undang ini menyusahkan orang seperti saya. Mencari kereta “seven seaters” terpakai dengan harga yang murah di Durham adalah sesuatu yang tidak mudah. Mungkin jika saku penuh dengan wang, tidaklah sesukar mana, namun jika anda mempunyai bajet yang terhad, hal ini amat menyukarkan. Hilanglah segala pesanan rakan-rakan yang mengatakan membeli kereta adalah umpama mencari goreng pisang di Malaysia. Seperkara yang menarik, kebanyakan usaha mencari kereta terpakai adalah melalui internet. E-bay, auto trader, adtrader dan lain-lain laman web jual beli kereta terpakai di UK menjadi keminatan setiap hari. Akhirnya, saya menemui apa yang dicari...sebuah kereta Nissan Serena berwarna putih dengan harga dalam lingkungan £1,000.



Tanpa membuang masa, saya dan isteri telah bergegas untuk menemui penjualnya. Kali pertama berpeluang untuk membeli kereta secara tunai dan murah menjadikan saya begitu teruja. Melihat kepada sejarah kereta tersebut yang direkod rapi, akhirnya saya membelinya, tanpa menyedari sesuatu yang akan memustahilkan saya hidup lama dengan kereta tersebut. Benarlah seperti kata-kata mereka yang lebih berpengalaman. Urusan jual beli kereta adalah umpama berjual beli goreng pisang di Malaysia. Semuanya berlaku dengan begitu pantas. Selesai duti diberikan, geran sementara menjadi milik saya, dan tanggung jawab si penjual untuk mengirimkan borang tukar hak milik kepada pihak DVLA.




Seperkara yang saya tidak endahkan ialah kereta tersebut adalah kereta manual. Kecederaan lutut saya tidak membenarkan saya memandu kereta manual. Semenjak hampir 3 tahun yang lalu saya tidak memandu kereta manual. Bahananya, setelah sebulan memandu kereta berkenaan, kecederaan lutut saya menjadi semakin seirus. Bukan sekadar ianya menjadi semakin membengkak, malah saya menjadi demam semalaman kerana kebengkakan tersebut. Akhirnya, warga Malaysia yang berkhidmat sebagai doktor surgeri di Durham menasihatkan saya agar bertukar kepada kereta automatik. Jodoh kereta Nissan tersebut tidak lama dengan saya. Saya telah mencipta rekos peribadi memiliki kereta hanya dalam tempoh sebulan dan kemudian menjualkannya.



Usaha menjualkan kereta tersebut pula menjanjikan pengalaman yang lebih menarik. Setelah diiklankan di laman web dan majalah Auto Trader, saya telah menerima tidak kurang dari 30 panggilan untuk melihat dan membeli kereta tersebut. Akhirnya sekumpulan samseng dari Ireland telah berjaya memiliknya dengan harga yang saya harapkan. Bagaikan hampir gugur jantung saya melihat cara mereka mencuba pandu kenderaan tersebut. Semakin hampir gugur jantung saya dengan cara mereka berunding untuk membeli kenderaan itu. Akhirnya setelah duit tunai dibayar, mereka menjadi pemilik sah kereta berkenaan. Seumpama menjual goreng pisang...

1 comment:

  1. Salam Ustaz,

    Selama ini saya pergi ke url maszlee.blogspot.com dan tengok tidak diupdate. Rupanya dah berubah url...

    So sekarang pakai kereta apa?

    Jual kat samseng Ireland ni utk kegunaan IRA nih....hahaha

    ReplyDelete