Monday, 27 February 2012


Surat Terbuka untuk Datuk Ahmad Maslan


Campak Buku Jingga hina demokrasi
Surat Terbuka kepada Datuk Ahmad Maslan
 
YB Datuk Ahmad Maslan,

Saya bukanlah peneroka Felda, mahupun anak kepada peneroka Felda. Walau bagaimanapun, sepanjang kehidupan saya semenjak bersekolah menengah lagi saya sudah berkawan dengan anak-anak Felda serta mempunyai keluarga angkat di kawasan Felda.

Kebetulan pula handai taulan saya juga ada yang menjadi peneroka, maka saya saya kira, warga Felda bukanlah golongan yang asing di dalam hidup saya.
 
azlanDatuk, seperkara yang saya pelajari mengenai warga Felda ialah budi pekerti dan juga sikap beragama mereka, terutamanya para peneroka Felda berketurunan Jawa di selatan tanah air. Cukup jika saya katakan bahawa warga Felda kebanyakannya merupakan kelompok masyarakat yang berbudi bahasa, beragama dan juga berjiwa kental, terutamanya dari generasi pertama yang saya kenali.

Bagi generasi kedua dan ketiga pula, mereka merupakan golongan yang gigih. Anak-anak peneroka kini sesetengahnya merupakan golongan profesional dari kalangan doktor, peguam, pensyarah, jurutera, arkitek, pengarah-pengarah besar syarikat dan juga bermacam lagi profesion yang mencerminkan kejayaan mereka.

Hatta di kalangan mereka yang mengambil keputusan menetap di Felda dan meneruskan usaha generasi pertama juga, saya dapati mereka begitu tekun, gigih dan amat berdedikasi. Semua ini saya kira berkat jerih payah generasi pertama Felda yang begitu bersungguh-sungguh mendidik dan membesarkan anak-anak mereka agar menjadi manusia yang berguna.
 
NONEDatuk, sebagai rakyat yang bertanggungjawab dan warga yang cintakan negaranya, kita semua inginkan segala yang terbaik untuk semua rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat. Sebagai penduduk bumi bertuah bernama Malaysia, kita mahukan hasil mahsul dan juga kekayaan di bumi bertuah ini dikecapi bersama oleh warga dari semua bangsa dan agama.
Adab dan moral

Selain daripada itu, kita juga mahukan kerukunan di antara bangsa dan agama berterusan agar keamanan yang kita nikmati akan berterusan. Demi untuk memastikan apa yang kita kecapi itu berterusan, maka adab, moral dan juga tahap profesionalisme di dalam tatakelola perlulah ditingkatkan oleh semua lapisan masyarakat.

Nikmat kemajuan dan keamanan yang kita kecapi selama ini bukanlah hasil usaha sesetengah pihak tertentu sahaja, tetapi ianya adalah usaha bersepadu rakyat Malaysia yang penuh dengan kesopanan dan juga budi bahasa serta saling hormat menghormati.
 
Mana-mana pengkaji politik akan bersetuju bahawa di zaman ini, pengamalan demokrasi yang tulen, benar dan adil (sebagaizeitgeist) adalah di antara penyumbang kepada kestablian negara, keadilan, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Di samping itu, seakan satu persetujuan ramai (ijmak), terutamanya di kalangan pakar politik dan ekonomi bahawa tatakelola yang baik (good governance) juga merupakan resipi yang penting untuk kestabilan dan pembangunan. Malah Tun Mahathir sendiri menegaskan hal ini di dalam ucaptamanya di Multaqa Kesembilan Al-Muntada Al-Islami 2012 di Putrajaya baru-baru ini.

NONEDemokrasi yang adil dan tulen yang diikuti oleh prinsip asas tatakelola yang baik seperti akauntabiliti, ketelusan, keluhuran undang-undang, pemisahan kuasa, penyertaan rakyat yang aktif, ekuiti, efisien dan juga lain-lain lagi, merupakan di antara metod untuk memandu Malaysia ke hadapan untuk mencapai tahap negara maju pada tahun 2020 seperti yang diidamkan oleh ramai rakyat Malaysia.
Sekat kebebasan maklumat
Di antara sine qua none (perkara yang mesti ada) bagi demokrasi ialah kebebasan maklumat serta ketelusan fakta. Demokrasi bukan hanya bermaksud mengadakan pilihanraya setiap empat atau lima tahun dan semua pihak dibenarkan bertanding sahaja.

Demokrasi yang tulen dan adil memerlukan kepada kebebasan maklumat kepada setiap warga untuk mereka membuat pilihan yang tepat. Di atas dasar itulah, konsep political pluralism (kepelbagaian politik) mestilah berteraskan prinsip kebebasan politik dengan kewujudan parti-parti politik yang bersaing untuk memerintah dan mentadbir negara.

Semua parti, dan tidak terkecuali mana-mana parti yang bertanding pun, hendaklah memiliki ruang dan peluang yang adil dan saksama untuk menyampaikan maklumat kepada setiap warga.

NONEDemi mencapai prinsip yang adil ini, ia memerlukan kepada kebebasan maklumat dan kebebasan bersuara sebagai asas berpolitik demi kebaikan warga agar mereka menerima maklumat yang tepat, sahih dan seimbang dari semua pihak sebelum mereka mengundi sesiapa yang mereka inginkan untuk memerintah negara.

Hal ini adalah maklum dan perkara paling asas di dalam sesebuah Negara yang mengamalkan demokrasi, ia bukanlah sains roket yang sukar dikuasai.
Maka, berdasarkan prinsip ini, ‘Buku Jingga’ yang telah dihasilkan oleh pihak Pakatan Rakyat sekaligus sebagai tawaran pihak Pakatan merupakan sebahagian daripada pengamalan demokrasi yang adil dan tatakelola yang baik.
Arab Spring

Berteraskan konsep demokrasi yang sihat, dokumen tersebut merupakan salah satu daripada maklumat yang perlu diketahui oleh setiap warga. Dokumen tersebut amat perlu untuk rakyat membandingkan tawaran pihak Pakatan dengan tawaran yang pihak BN berikan untuk mereka membuat keputusan di dalam PRU 13 nanti demi menentukan masa depan negara.

NONEBerdasarkan maklumat yang cukup dari kedua-dua belah pihak, barulah rakyat Malaysia boleh membuat pilihan yang tepat dan bijaksana serta adil. Inilah yang dinamakan sebagai demokrasi yang tulen, ini jugalah namanya politik yang matang dan bertamadun.

Setiap warga dihargai akal dan pilihan mereka. Terserahlah pada rakyat untuk menerima ataupun menolak tawaran dari mana-mana pihak berdasarkan akal sihat dan pertimbangan bernas yang mereka miliki. Mana-mana rejim yang menyekat kebebasan maklumat dan juga menghadkan pengetahuan rakyat dari mendengar dari semua pihak hanya mencerminkan kecacatan pada sistem demokrasi yang diamalkan.
 
Sistem yang tidak memberikan peluang kepada rakyat untuk mendapat maklumat yang tepat adalah sistem demokrasi yang tiruan (pseudo-democracy). Sistem seperti ini hanya meletakkan rakyat ditahap mentaliti yang rendah.
Rejim yang berkuasa seakan-akan mengatakan bahawa pihak rejim sahajalah yang paling tahu dan bijak untuk menentukan pilihan rakyat, kerana rakyat masih tidak mampu berfikir. Sistem yang berat sebelah di mana sesebuah rejim menguasai semua maklumat dan tidak memberikan ruang yang adil kepada semua pihak yang bertanding merupakan politik dunia ketiga.

NONEPengamalan seumpama ini dapat dilihat pada pengamalan rejim-rejim yang pernah berkuasa di Asia barat, negara-negara Afrika dan juga negara-negara komunis. ‘Arab Spring’ yang berlaku semenjak tahun 2010 telah menunjukkan bahawa sistem dan pengamalan seperti ini adalah silap.
 
Malang sekali, apabila Datuk sebagai seorang menteri, tidak dapat menghayati konsep politik bertamadun seperti ini. Perbuatan Datuk membuang manifesto Pakatan ke dalam tong sampah di dalam satu acara umum dan terbuka adalah perbuatan menghina konsep political pluralism yang menjadi rukun kepada sistem demokrasi yang adil.
Salahi aspirasi PM

Tindakan membuang manifesto parti lawan itu juga merupakan satu penghinaan kepada ide atau tawaran kepada rakyat oleh para pemimpin Pakatan yang rata-ratanya merupakan penggubal undang-undang (ahli parlimen) yang telah dipilih oleh rakyat. Secara moral, ini merupakan penghinaan terhadap sistem demokrasi yang diamalkan di dalam negara ini.

Tambah lagi, ia amat menyalahi aspirasi yang cuba dibawa oleh YAB Perdana Menteri lewat ucapan beliau menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2011 yang lalu yang inginkan suasana politik berteraskan demokrasi setaraf dengan negara membangun.

NONEPerbuatan itu juga seakan-akan ingin menjadikan Malaysia setaraf dengan negara-negara mundur di dalam berpolitik. Cukup juga saya katakan, perbuatan tersebut mengundurkan Malaysia dua puluh tahun ke belakang dari usaha kerajaan untuk mencapai status negara maju pada tahun 2020.
 
Di samping itu, perbuatan tersebut seolah-olah merupakan penghinaan secara tidak langsung kepada sistem pendidikan negara ini semenjak merdeka yang gagal melahirkan para pemimpin dan menteri yang bertamadun, bertata susila dan bermoral.

Sekali lagi saya tegaskan, perbuatan tidak bertamadun itu juga telah memperlekeh mentaliti warga Felda, seolah-olah warga Felda hanya layak memahami bahasa bakul sampah dan bukannya bahasa dialog dan hujah.
Anugerah penyapu

Perbuatan Datuk itu di sudut yang lain pula telah mencemarkan sikap kesopanan warga Felda dengan memaksa mereka menyaksikan perbuatan di luar adab dan tatakesusilaan orang timur dan masyarakat Islam.
Di sudut yang lain, Datuk juga telah memberikan isyarat seolah-olah mereka tidak boleh berfikir sehinggakan Datuk tidak bersedia berdebat atau berdialog dengan pihak Pakatan dan ANAK di media terbuka di hadapan warga Felda unutk mereka berfikir dan membuat keputusan. Datuk tersilap di dalam hal ini.

khir toyo broom awardWalaupun mungkin ramai yang terpaksa tersenyum di hadapan Datuk ketika Datuk beraksi, yakinlah di dalam hati mereka, mereka rasa terhina. Saya berkeyakinan tinggi bahawa warga Felda sudah matang, boleh berfikir dan mampu untuk menilai. Tolonglah berhadapan dengan mereka dengan memandang mereka setaraf dengan Datuk dan bukannya lebih rendah dari Datuk.
 
Saya yakin Datuk masih ingat insiden Datuk Seri Khir Toyo memberikan penyapu kepada pegawai kerajaan negeri Selangor. Secara umum, masyarakat, samada yang menyokong BN mahupun yang menyokong Pakatan melihat ianya merupakan satu penghinaan dan bertentangan dengan tatasusila dan adab orang timur, apatah lagi orang Islam. Maka hasilnya, Khir Toyo telah disapu dari takhtanya, dan kini sedang menantikan penentuan nasibnya di atas tuduhan rasuah.

Saya kira, Datuk juga tidak mahu hal yang sama menimpa diri Datuk pada PRU ke-13 nanti. Datuk pastinya tidak mahu diri Datuk dan juga parti Datuk dibakul sampahkan oleh rakyat yang telah matang dan mampu berfikir, sepertimana yang berlaku kepada Datuk Seri Khir Toyo.
Ahli politik bertamadun
Maka, di atas semangat warga yang sedar dan juga ahli akademik yang bertanggungjawab, saya menyeru agar Datuk bersikap dengan sikap ‘ahli politik bertamadun’ lantas bersedia untuk berdialog dengan wakil ANAK ataupun wakil Pakatan mengenai isu Felda.

NONEMungkin Datuk boleh mempelajari dari sikap berani pemimpin Umno yang lain seperti YB Khairy Jamaludin, YB Datuk Saifuddin Abdullah, YB Datuk Mashita dan juga Datuk Seri Shahidan Kassim yang tidak gentar untuk berada di atas pentas dialog dan debat bersama pihak lawan.

Seperti yang saya tegaskan di awal surat ini, bagi warga yang bertanggungjawab seperti saya, kami hanya mahukan yang terbaik untuk rakyat Malaysia. Saya yakin, warga Felda dan sekelian rakyat Malaysia akan sentiasa mengenang Datuk sebagai pemimpin politik yang berintegriti dan berdedikasi jika Datuk benar-benar boleh bersikap ‘gentleman’ dan berani untuk mengemukakan hujah yang bernas di hadapan pihak lawan di atas ‘level playing field’.

Jika Datuk beradab, berani dan bertamadun, Datuk akan terus dikenang sepanjang zaman bukan hanya oleh warga Felda, malah oleh seluruh rakyat Malaysia…
 

Penulis adalah ahli akademik politik warga UIAM.
ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.

Siapa layak jadi pemimpin



Wednesday, 8 February 2012


Surat Terbuka Kepada Dato' Dr Hasan Ali

Assalamualaykom w.b.t.

YB Dato’ Dr Hasan Ali yang saya hormati,

Saya kira tidak perlulah saya perkenalkan diri saya memandangkan Dato merupakan tokoh dan sahabat yang saya kagumi. Saya kira, Dato’ juga tetap menganggap saya sebagai kenalan rapat Dato’ sekeluarga. Secara ikhlas, saya mula mengkagumi Dato’ sebagai motivator semenjak saya di bangku sekolah lagi, sehinggalah Dato’ menceburkan diri ke dalam bidang politik. Walau bagaimanapun kekaguman saya tidaklah menjadi penghalang untuk saya menyatakan sedikit pandangan terhadap pendirian Dato’ mutakhir ini berdasarkan neraca ilmu dan keadilan. Kesedaran bahawa apa yang telah Dato’ lemparkan kepada mantan parti Dato’ sendiri, iaitu PAS, di dalam kenyataan-kenyataan Dato’ di media dan juga lewat ceramah-ceramah Dato’ yang bercanggah dari amanah keilmuan dan kebenaran, maka saya terdorong untuk menulis surat terbuka ini.

Sebagai ahli akademik yang mengkaji bidang gerakan Islam, politik Islam dan juga Usul al-Fiqh, saya berasa terpanggil untuk mengarang surat terbuka ini kepada Dato’ untuk menilai beberapa kenyataan Dato’ dari pertimbangan ilmu dan kacamata ilmiah di dalam bidang pengkajian saya. Saya kira tulisan surat terbuka saya sebagai ahli akademik ini adalah sebagai tanggungjawab saya kepada kejujuran terhadap disiplin ilmu yang saya pikul dan bukannya sebagai ahli politik. Saya bukanlah ahli parti PAS, yang tampil untuk membela PAS dari serangan Dato’. Maka saya bertegas menyatakan apa yang saya tulis ini hanyalah semata-mata pendangan orang luar dan ahli akademik yang neutral dan tidak berpihak, baik kepada Dato’ mahupun kepada parti PAS yang telah memecat Dato’.

Saya kira Dato’ mungkin telah maklum dengan pencapaian gerakan-gerakan Islam moderat di utara Afrika seperti Ikhwan Muslimun di Mesir, parti Ennahda di Tunisia, parti keadilan dan pembangunan (PJD) di Morocco dan juga parti-parti Islam lain selepas kebangkitan rakyat (Arab Spring). Kemenangan kesemua gerakan-gerakan tersebut secara empirikalnya seperti yang telah dianalisis oleh pakar politik di rantau berkenaan merujuk kepada tiga perkara utama: ‘Wacana Islam moderat yang segar’; Kesediaan ‘perkongsian kuasa’ (power sharing); dan juga ‘pengaruh di kalangan rakyat’ melalui jaringan kerja kebajikan dan juga pendidikan yang menyeluruh, berterusan serta meluas.

Apa yang dimaksudkan dengan wacana moderat yang segar ialah kemampuan gerakan-gerakan tersebut untuk menawarkan apa yang diperlukan oleh rakyat dan apa yang diperlukan oleh sesebuah Negara di dalam pendekatan mereka. Wacana moderat juga telah memperlihatkan bagaimana gerakan-gerakan Islam, tidak lagi memaksakan apa yang mereka mahukan atau percaya ke atas rakyat tanpa kerelaan majoriti. Maka, di dalam wacana baru mereka, gerakan-gerakan Islam tidak lagi menawarkan retorik ‘Dawlah Islamiyyah’ (Negara Islam) yang agak bersifat utopia dan tidak tentu apakah modelnya. Mereka juga tidak menawarkan hukuman jenayah Islam ‘secara paksaan’ seperti yang pernah dilakukan oleh Taleban di Afghanistan, sebelum keadaan ekonomi dan kebajikan yang kondusif disediakan di dalam negara mereka. Mereka juga tidak mempamerkan diri sebagai penghukum, tetapi mereka muncul sebagai pembawa harapan, pejuang kebebasan dan pelaksana keadilan setelah rakyat ditindas dan dizalimi selama berdekad-dekad lamanya oleh para diktator. Perkara ini telah membuatkan ramai dari kalangan pengkaji di barat telah mula mengatakan bahawa golongan ini telah merubah sikap dan prinsip mereka, lantas menggelar fenomena ini sebagai post-Islamism (pasca-Islamisme).

Saya konsisten untuk tidak menyokong istilah pasca-Islamisme yang sarat dengan makna neo-kolonialisme. Hakikatnya gerakan-gerakan Islam yang terlibat tidak pernah merubah prinsip. Mereka juga tidak meninggalkan landasan perjuangan, apatah lagi mengubah pendirian. Apa yang berlaku ialah proses kematangan gerakan-gerakan terlibat untuk melihat Islam dalam kerangkanya yang lebih luas dan komprehensif. Kejayaan beberapa individu berlatarbelakangkan Islamis di Turki melalui agenda neutral AKP, telah menjadi sumber inspirasi gerakan-gerakan tersebut. Wacana ini juga bertunjangkan konsep Maqasid al-Shariah dan melihat ajaran Islam dari aspek yang holistik, terutamanya aspek moral dan keadilan. Gelombang perubahan pada pendekatan inilah yang telah melanda kebanyakan gerakan Islam di seluruh dunia mutakhir ini, tidak ketinggalan PAS yang Dato pernah sertai dahulu. Gelombang ini sekaligus melenyapkan pengaruh model Iran yang pernah mendominasi wacana gerakan-gerakan Islam sedunia dengan melaungkan pembinaan sebuah republik Islam dan juga pemerintahan mutlak golongan agama (Wilayatul Faqih).

Realitinya kini, gerakan-gerakan Islam moderat yang wujud lebih memilih ruang demokrasi untuk membawa perubahan. Mereka juga melaungkan pembentukan negara sivil milik semua warga dengan menjamin kebebasan politik, penegakan keadilan, hak upaya masyarakat sivil, hak wanita, tatakelola yang baik, kebajikan rakyat yang terpelihara, ekonomi yang lebih berdaya saing serta bebas dari korupsi, pecah amanah dan rasuah, serta perkongsian kuasa bersama rakyat dari segala lapisan dan kumpulan. Menurut kajian saya ke atas wacana baru PAS, terutamanya melalui konsep ‘Negara Berkebajikan’, PAS juga tidak terlepas dari arus perubahan ini. Jika Dato’ merasakan pendekatan baru PAS ini bermakna PAS telah meninggalkan perjuangan Islamnya, saya kira Dato’ tersilap. Perubahan pada PAS bukanlah kerja parasit sepertimana yang Dato’ dakwa, tetapi ianya merupakan satu dinamisme tabi’i bagi sebuah gerakan Islam yang matang. Jikalaulah parasit yang telah menyebabkan perubahan pada PAS, maka pastinya kesemua gerakan Islam di Utara Afrika dan Asia Barat, termasuk Ikhwan Muslimin di Mesir dan juga parti Ennahda juga telah dilanda parasit. Timbul dilemma di dalam pemikiran saya, apakah pemimpin dan tokoh ideolog gerakan Islam sedunia, Rashid Ghannoushi yang telah mencetuskan wacana gerakan Islam yang baru itu juga telah dijangkiti parasit? Apakah mungkin Dato ingin mengatakan bahawa Rashid Ghannoushi yang merupakan sumber inspirasi perubahan fikrah pada gerakan-gerakan Islam moderat sedunia itu pula merupakan bapa parasit?

Yakinlah Dato’, sepertimana gerakan-gerakan tersebut telah berjaya mendapatkan majoriti undi di dalam pilihanraya di negara-negara mereka kerana pendekatan baru ini, PAS juga sedang meniti langkah tersebut. Inilah yang ditakuti oleh UMNO dan kerajaan BN. Pihak lawan tidak mahukan PAS mendapat sokongan majoriti masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia. Pihak lawan mahu PAS kekal sebagai parti kampung milik Pak Lebai dan Pak Haji. Pihak lawan juga tidak mahu PAS bangkit sebagai parti milik semua rakyat Malaysia, mereka lebih selesa PAS dikenali sebagai parti ekstrimis dan fundamentalis yang hanya tahu memotong tangan orang sahaja. Hanya dengan wacana Islamis global yang baru ini sahajalah niat buruk mereka akan terhalang. Malang sekali apabila Dato’ pula yang mula bercakap senada dan seirama dengan pihak lawan menentang perubahan pada PAS. Lebih malang lagi kini Dato’ menjadi suara pihak lawan untuk memaksa PAS kembali ke kerangka persepsi lama rakyat terhadap mereka yang telah dilelong oleh pihak UMNO dan BN.

Saya yakin, di dalam PAS masih terdapat segelintir yang termakan umpan Dato’ lantas mempercayai kewujudan parasit. Mereka ini golongan yang ikhlas tetapi hanya kurang mendapat pendedahan terhadap dunia luar sahaja. Ada di antara mereka juga yang berkepentingan, lantas menggunakan hujah Dato’ untuk kekal berpengaruh, tetapi saya yakin mereka ini teramat kecil bilangannya. Melalui pengamatan saya, PAS akan terus menggalas harapan rakyat dan juga kefahaman Islam yang sebenar berteraskan wacana baru gerakan Islam sedunia untuk menempuh hari muka mereka. Seperkara yang perlu Dato’ ketahui, wacana baru gerakan Islam moderat ini juga telah mendapat restu dari para ulama terkemuka seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Dr Tawfiq al-Wa’ie, Dr Rashid al-Ghannoushi. Amat kasihan kerana Dato’ tidak dapat bersama lagi dengan realiti baru ini.

Apabila melihat kepada isu ‘Negara Berkebajikan’ pula, pada hemat saya, setelah meneliti dokumen ‘Negara Berkebajikan’ PAS dan membandingkannya dengan manifesto parti-parti Islam moderat lain di dunia Arab, saya mendapati PAS ternyata senada dengan mereka yang telah Berjaya di negara masing-masing. Saya berkeyakinan gagasan ‘Negara Berkebajikan’ merupakan satu langkah drastik PAS di dalam membawa perubahan dan menyuarakan persiapan mereka untuk muncul sebagai alternatif kepada parti pemerintah yang sedia ada. Prinsip-prinsip konsepsual ‘Negara Berkebajikan’ yang dibentangkan di dalam dokumen tersebut dan juga cadangan mekanisme perlaksanaannya merupakan satu anjakan paradigma bagi sebuah gerakan dakwah dan parti politik yang telah matang seperti PAS. Jelas sekali PAS sudah melayakkan dirinya untuk menyertai gelombang perubahan yang melanda gerakan Islam di seluruh dunia dengan membuktikan bahawa golongan Islamis mampu dan bersedia untuk berkongsi kuasa dan memerintah di dalam kerangka demokrasi dan tatakelola yang baik. Malangnya, hal ini tidak disambut positif oleh Dato’, malah dipandang sinis.

Melihat kepada isu hudud yang Dato’ anggap telah ditinggalkan oleh PAS, saya kira itu juga agak kurang tepat. Sebagai sebuah parti Islam, saya berpendapat PAS dilihat amat konsisten memperjuangkan apa yang mereka yakini, iaitu kewajipan melaksanakan hukum hudud. Apa yang menarik ialah pendekatan PAS yang terbuka untuk membicarakan isu tersebut di ruang umum dan bersedia untuk meyakinkan rakyat melalui proses pendidikan dan dakwah adalah sesuatu yang patut dihargai. Apa yang saya dapati melalui metod obervasi ke atas ruang ‘discursive’ PAS selama ini, PAS tidak memilih untuk memaksakan hudud ke atas orang lain secara kekerasan. Malah di dalam banyak kenyataan PAS, mereka bersedia untuk mendengar suara majoriti di dalam melaksanakan hukum jenayah Syariah itu. Pendekatan diplomasi PAS ini harus dihormati kerana ia mencerminkan sikap professionalisme PAS dan keterbukaan para pimpinannya. Saya kira kerana sikap konsisten PAS inilah yang menyebabkan parti itu telah berjaya meraih sokongan ramai bukan Islam melalui ‘Kelab Penyokong PAS’.

Akhirkata, jika Dato’ benar-benar ingin memperjuangkan aqidah dan memerangi gejala murtad yang dikatakan sebagai mengancam umat Islam di Selangor, saya mempunyai pelan tindakan yang boleh Dato’ lakukan berdasarkan kekuatan yang ada pada diri Dato’. Sebagai seorang motivator yang begitu meyakinkan dan berupaya bermain dengan emosi orang ramai, saya rasa sudah sampai waktunya Dato’ untuk turun padang bertemu dengan mereka yang didakwa murtad berdasarkan senarai yang rakan-rakan Dato’ miliki. Mungkin juga Dato’ boleh menggunakan kemahiran tersebut juga untuk berdakwah kepada mat-mat rempit, tahi dadah, remaja berpeleseran yang terdapat di dalam negeri Selangor secara sukarela tanpa sebarang bayaran. Jika dulu mungkin Dato’ sibuk dengan tugas exco, kini Dato’ lebih mempunyai waktu lapang. Buktikanlah kata-kata Dato’ yang ingin menjaga aqidah itu. Saya kira Dato’ juga boleh berdakwah di Hard Rock Café menyeru umat Islam agar bertaubat dan menghayati agama Islam. Saya pasti pemilik Hard Rock Café tidak akan menghalang kerja murni Dato’ itu. Saya yakin 10,000 atau lebih orang yang turut berHIMPUN bersama Dato’ untuk menyelamatkan aqidah umat Islam boleh Dato’ kerahkan dari seluruh negara untuk sama-sama turun padang demi menyelamatkan aqidah umat Islam secara praktikal. Saya amat meyakini, jika Dato’ berdakwah seperti itu, Dato’ akan tetap dikenang kawan ataupun lawan sebagai ‘pejuang aqidah yang sebenar!’.

Dr Maszlee Malik
Ahli Akademik Politik Warga
UIAM

Friday, 13 January 2012