Sunday, 20 October 2013

Tuesday, 28 August 2012


Hudud Sebagai ‘Red Herring’ Menjelang PRU-13

Maszlee Malik*

1. Semua parti politik di Malaysia perlu menghentikan polemik mengenai hudud. Samada PAS, UMNO, MCA mahupun DAP perlu berhenti menjadikan isu hudud sebagai ‘punching bag’ mereka menjelang PRU 13.

2. Ditakuti, perbincangan yang tiada kesudahan oleh pihak-pihak yang masih tidak jelas tentang hakikat sebenar hudud ini hanya akan membawa kepada ‘Islamophobia’ di kalangan masyarakat non-Muslim seperti yang disuarakan oleh phak Angakatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

3. Hakikatnya, isu perlaksanaan hudud memerlukan perbincangan yang lebih panjang dan bukannya sekadar isu politik semata-mata. Peranan Majlis Raja-Raja yang menjadi ketua agama di negeri masing-masing perlu diambil kira. Begitu juga dengan mekanisme yang berpotensi menjadi pelaksana undang-undang hudud seperti Mahkamah Syariah, Majlis agama di negeri-negeri, peguam-peguam Syariah dan pihak keselamatan juga perlu diambil kira. Apakah mereka sendiri telah bersedia? Atau apakah mereka juga sudah mempunyai kemampuan untuk menjadi pelaksana kepada undang-undang hudud jika ia dilaksanakan nanti?

4. Hakikatnya juga samada BN atau PR yang menang PRU13, tiada siapa yang akan mampu melaksanakan hudud serta merta, apatah lagi ahli politik veteran yang tidak lagi mempunyai kuasa seperti Tun M.

5. Apa yang pasti ialah PAS bersendirian sahaja tidak akan dapat memaksakan perlaksanaan hudud tanpa sokongan dua pertiga ahli parlimen untuk pindaan perlembagaan. Begitu juga pihak UMNO, yang hanya segelintir sahaja ahlinya bersetuju dengan hudud juga tidak akan mampu membuat pindaan perlembagaan. Hatta jika digabungkan suara PAS dan segelintir ahli UMNO yang pro-hudud sekalipun, mereka tidak akan dapat membentuk majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meminda perlembagaan untuk perlaksanaan hudud.

6. Realiti yang tidak boleh dinafikan ialah PAS telah sinonim dengan hudud dan telah berusaha sedaya upaya untuk mengotakan janji mereka. Kedua-dua enakmen hudud di Kelantan dan Terengganu adalah bukti komitmen mereka. Halangan mereka ialah pihak kerajaan persekutuan yang enggan meluluskan di bawah pemerintahan Tun M, dan juga halangan perlembagaan. Di dalam isu ini, PAS tidak pernah mengkhianati janji mereka dan tidak sekali-kali menggadaikan prinsip mereka berhubung isu hudud. Hal ini patut diterima akur oleh semua pihak, termasuk PAS sendiri.

7. Maka, jika PAS mengambil sikap berulang-ulang melaungkan isu hudud secara defensif tanpa bergerak menawarkan sesuatu yang lebih luas melalui konsep kefahaman ‘Politik Islam’ yang lebih syumul atau komprehensif, ianya bukanlah satu langkah politik yang produktif. Lebih molek jika PAS berusaha menerangkan konsep ‘Negara Berkebajikan’ mereka kepada rakyat Malaysia yang lebih diterima semua pihak. Malah konsep tersebut merupakan ijtihad politik Islam kontemporari yang amat bernilai hatta di peringkat antarabangsa sekalipun.

8. Menjelang PRU13 eloknya parti-parti politik dari kedua-dua BN dan PR menumpukan pada isu tatakelola kerajaan, isu polisi, isu dasar, isu rasuah, isu ketirisan, isu dana awam, isu hala tuju negara, isu dasar luar negara yang tidak bermaya, isu ekonomi negara, isu harga barang, isu pendidikan, isu PTPTN, isu alam sekitar, isu royalti minyak di Kelantan, Sabah dan Sarawak, dan juga isu-isu yang lebih melibatkan kehidupan seharian dan yang melibatkan semua rakyat Malaysia tanpa kira bangsa, agama dan latar belakang. Semua parti-parti politik perlu mengelakkan isu bersifat ‘red herring’ yang hanya akan melarikan rakyat dari isu sebenar yang melibatkan kepentingan bersama semua pihak. 

9. Media juga diharapkan agar dapat menjadi medium untuk mendidik rakyat agar bersikap matang, berpolitik secara bertamadun, serta menjadi wahana politik baru yang berdasarkan hujah, fakta dan rasional. Memanjang isu yang lebih bersikap polemik tanpa membuahkan hasil yang konkrit tidak akan membawa rakyat ke mana-mana.

* Dr Maszlee Malik adalah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Wednesday, 6 June 2012

Mengapa Saya Cabar Anwar-Najib? (siri 1)


Mengapa Saya Cabar Najib-Anwar?

Maszlee Malik

Selesai debat KJ-Rafizi, pelbagai respon dan reaksi ditunjukkan oleh rakyat Malaysia. Debat politik menggunakan bahasa kebangsaan yang pertama kali diadakan di media terbuka di antara pemimpin muda BN dan PR menjelang PRU-13 itu telah memberikan nafas segar kepada ‘politik baru’ impian rakyat Malaysia. Debat yang telah berlangsung dengan harmoni itu dengan jelas telah menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa masyarakat kita belum lagi matang ataupun debat bukan budaya rakyat Malaysia. Jelas sekali persepsi seumpama itu amat dangkal dan meleset.

Jika ditanyakan kepada saya sebagai moderator, siapakah pemenang debat tersebut. Tanpa berfikir dua kali, saya akan menjawab bahawa ‘rakyat Malaysia’ adalah pemenang yang mutlak, dan bukannya KJ ataupun Rafizi. Saya tidak dapat menafikan bahawa debat tersebut telah memberikan peluang kepada KJ untuk meletakkan ‘standard’ baru kepada pemuda UMNO yang sukar dicapai oleh para pencabarnya di dalam UMNO. Begitu juga bagi pihak Rafizi, ramai boleh bersetuju jika dikatakan debat pada malam tersebut telah melonjakkan populariti beliau yang selama ini kurang dikenali oleh ramai rakyat Malaysia walaupun namanya pernah disebut oleh ketua Wanita UMNO di dalam perhimpunan wanita UMNO pada tahun 2011. Walau siapapun yang mendapat kredit, saya tetap tuntas mengatakan bahawa rakyat Malaysia yang bertamadun adalah pemenang debat berkenaan.

Perlu diingatkan, debat politik, sepertimana di negara-negara maju di zaman moden ini mempunyai objektif yang berbeza dengan pertandingan debat sekolah mahupun di IPT-IPT. Jika debat kebiasaannya disinonimkan dengan pihak yang menang kerana kepetahan pendebat berhujah, debat politik pula bukanlah bertujuan untuk mencapai matlamat tersebut. Debat politik adalah ruang untuk para aktor politik membawakan hujah mereka agar dinilai, dicabar dan dipertimbangkan, samada oleh pihak lawan, moderator, dan yang lebih utama oleh rakyat sekelian. Di sinilah, bukan sekadar pendebat perlu mempersiapkan diri untuk berdebat, yang lebih utama ialah persiapan rakyat untuk bersikap terbuka fikiran dan berlapang dada untuk mendengar hujah dan lontaran ide dari semua pihak. Pendekata, debat politik merupakan salah satu ruang pendidikan, perbincangan umum dan juga proses mematangkan fikiran rakyat.

Mungkin ada yang mengatakan bahawa bukan semua rakyat mampu berfikir. Ada juga yang menjadikan masyarakat luar bandar sebagai alasan untuk debat politik tidak dibudayakan. Saya bersikap kritis terhadap penjelekan ke atas daya fikir rakyat Malaysia ini. Adalah sesuatu yang menjengkelkan apabila ada pihak yang memandang lekeh kepada pihak yang lain hanya kerana mungkin kedudukan geografi mereka, ataupun status sosial dan ekonomi. Sikap ini merupakan sikap bongkak dan sombong. Dalam kunjungan saya ke kawasan-kawasan kampung di utara tanah air, saya agak dikejutkan dengan sikap yang ditunjukkan oleh warga petani, pesawah dan penoreh yang saya temui. Rata-rata mereka mengikuti siaran langsung debat tersebut pada malam ia berlangsung. Samada mereka mengikutinya di rumah, ataupun di markaz-markaz parti politik, ataupun di warung-warung dan restoran-restoran yang memasang layar skrin kepada para pengunjung. Saya rasa terharu…Rakyat Malaysia sudah bersedia untuk politik matang dan politik baru…

Tanggapan saya, sepertimana juga ramai pihak, ialah pihak yang menonton pastinya dari kalangan orang muda yang terlibat dengan PTPTN. Mungkin juga kita terfikirkan hanya warga kota sahaja yang prihatin terhdap isu PTPTN dan debat ini. Saya tersilap sangka rupanya. Saya terlupakan bahawa warga kampug juga mempunyai anak-anak di IPTA dan IPTS. Saya terlupa juga bahwa mereka nilah yang paling bergantung kepada PTPTN untuk pembelajaran anak-anak mereka. Keadaan ekonomi mereka menjadikan mereka terpaksa bergantung harap kepada campurtangan pihak ketiga demi membiayai pengajian anak-anak mereka, terutamanya di dalam bidang-bidang yang melibatkan kos yang begitu tinggi. Maka di atas sikap pedulinya mereka, rancangan debat tersebut mereka ikuti. Menurut golongan luar bandar yang telah saya temui, mereka ingin tahu siapakah yang boleh memberikan tawaran yang terbaik untuk rakyat yang kurang kemampuan seperti golongan petani, golongan luar bandar dna juga golongan miskin seperti mereka. Sekali lagi saya terharu dan tersedar bahawa rakyat kita sudah celik politik…


Seperti yang saya tegaskan di awal artikel ini, debat politik bukanlah galanggang untuk mencari juara ataupun pemenang. Debat politik terbuka adalah ruang untuk rakyat mendapatkan maklumat yang saksama. Di negara Malaysia di mana media yang dibiayai oleh pembayar cukai dikuasai sepenuhnya oleh parti yang memerintah, maklumat yang disajikan adalah tidak seimbang. Maka di dalam keadaan seperti ini, debat politik terbuka merupakan ruang yang paling efisien untuk warga Malaysia mendapatkan maklumat yang seimbang. Rakyat mahu mendapatkan maklumat yang lengkap dan adil sebelum mereka boleh membuat pilihan menjelang pilihanraya. Maka ruang debat politik adalah pengisi kepada vakum tersebut. Ini hanyalah secebis dari rasionalnya debat politk terbuka amat wajar dan wajib diadakan di bumi Malaysia yang menjalani proses transformasi. Bak kata YAB Perdana Menteri, DS Najib lewat ucapan beliau pada malam 15 September 2011 menjelang sambutan ‘Hari Malaysia’, Malaysia perlu berdiri seiring dengan negara demokratik yang maju…

Di atas rasional ini jugalah saya melihat sudah sampai waktunya kita berdiri seiring kemajuan demokrasi di perongkat global dengan mengadakan debat terbuka di antara calon-calon PM dari pihak BN dan PR menjelang PRU-13 nanti. Seperti yang ditekankan di awal artikel ini juga, debat politik terbuka ini penting untuk rakyat Malaysia mendengar sendiri dari mulut kedua-dua pemimpin itu tentang polisi dan dasar yang akan mereka tawarkan jika koalisi yang mereka wakili memenangi PRU-13 nanti. Hal seumpama ini penting di dalam suasana politkk baru dan politik matang. Setakat ini, calon dari BN adalah Perdana Menteri sekarang ini, iaitu DS Najib Tun Razak dan calon dari PR adalah ketua pembangkang di parlimen, iaitu DS Anwar Ibrahim.

Apakah kita masih meragui keupayaan rakyat Malaysia untuk mendengar dari semua pihak, berfikir dan membuat keputusan yang matang sesudah 55 tahun merdeka?

Saya tidak pernah meraguinya!

Monday, 23 April 2012


Dilemma Islamis menjelang Pilihanraya Presiden Mesir

Dr Maszlee Malik

Bagi rakyat Mesir pilihanraya (PR) presiden Mesir pada 23 Mei yang akan datang merupakan detik bersejarah negara berkenaan. Ia bakal menentukan masa depan dan juga bentuk Mesir moden pasca-revolusi 25 Januari. Jawatan presiden mempunyai kuasa yang mutlak yang tidak dimilki oleh parlimen. Pihak berkuasa tentera (SCAF) juga telah berjanji untuk menyerahkan kuasa kepada rakyat selepas PR presiden tersebut. Makanya, pemilihan presiden merupakan kemuncak kepada perjuangan kebebasan rakyat Mesir. Ia akan menjadi kayu ukur untuk melihat samada revolusi 25 Januari benar-benar mencapai matlamat ataupun sebaliknya.

Selepas pintu penamaan calon ditutup untuk bertanding di pusingan pertama PR presiden pada 23 Mei nanti, seramai 13 calon terkahir dikenal pasti akan bertanding. Agak menarik, dari 23 orang pada asalnya yang akan bertanding, 10 orang telah ditolak pencalonannya kerana isu-isu berkaitan undang-undang dan kelayakan mereka. Di antara 10 orang tersebut, nama-nama heavyweight seperti calon Ikhwan Muslimun (IM), Khayrat Shater; mantan ketua perisikan tentera Mesir, Jen. Omar Sulaiman; dan juga calon Salafi paling popular, Hazem Abu Ismail merupakan di antara mereka yang ditolak pencalonannya. Selapas tamat tempoh rayuan, ternyata kesemua mereka terpaksa menerima keputusan muktamad pihak suruhanjaya pilihanraya yang menolak kesemua rayuan tersebut.

Kini, di antara 13 calon yang berbaki, kebanyakan mata tertumpu kepada beberapa nama heavyweight mewakili dua kelompok di dalam politik Mesir. Kelompok pertama diwakili oleh tiga nama utama, iaitu mantan pemimpin IM yang dipecat, Dr Abdel Mon’em Abul futouh; tokoh akademik dan intelektual, Dr Muhammad Salem al-Ewa dan calon dari IM dan juga presiden parti FJP, Dr Muhammad Morsi. Kelompok ini dilabel oleh para penganalisis politik sebagai kelompok Islamis. Kelompok yang bertentangan pula adalah mantan setiauasaha Liga Arab, Amr Mousa; ketua parti al-Karamah dan lambang golongan sosialis, Dr Hamden Sabahi dan juga mantan Perdana Menteri Mesir di zaman Mubarak, Ahmad Syafiq. Nama-nama tersebut pula dilihat mewakili kelompok sekular. Dari kelompok sekular tersebut, Amr Mousa dilihat lebih berpeluang berbanding Sabahin yang agak kurang popular di kalangan rakyat luar bandar dan Ahmad Syafiq yang dilihat sebagai saki baki (fuloul) rejim Mubarak. Bagi kelompok Islamis pula, pilihan mereka terbahagi kepada tiga nama yang telah disebutkan.

Dr Mohammad Morsi calon presiden Ikhwan Muslimun
Menyedari keperluan suara kelompok Islamis perlu disatukan agar undi mereka tidak pecah lantas memberikan kemenangan mudah kepada Amr Mousa, satu pertemuan di antara kumpulan-kumpulan Islamis telah diadakan di Kaherah pada 22 April yang lalu. Perbincangan yang gagal mencapai kata sepakat itu telah menyaksikan bagaimana dua kelompok terbesar kelompok Islamis, iaitu IM dan kumpulan-kumpulan Salafi telah bertegang urat leher untuk mencapai kata sepakat. Selepas pihak suruhanjaya PR Presiden menolak pencalonan Hazem Abu Ismael, majoriti kumpulan Salafi dan juga kepimpinan atau ulama mereka menyatakan sokongan kepada Abul Futouh. Walaupun ideolog kumpulan Dakwah Salafiyah (iaitu jamaah induk kepada parti Nour yang mewakili kumpulan berkenaan), Syeikh Yasir Borhami bahawa golongan Salafi masih lagi mempertimbangkan di antara Abul Futouh dan Dr Salem al-Ewa, namun kebanyakan golongan muda dan aktivis politik mereka lebih memilih Abul futouh. Pertamanya, al-Ewa tidak mempunyai sokongan yang kuat dari akar umbi Salafi yang melihat beliau dengan penuh prejudis kerana hubungan rapat beliau dengan Iran dan juga sikap lunaknya kepada penganut mazhab Syiah; keduanya, kerana tipisnya peluang beliau untuk memenangi PR Presiden berdasarkan kurangnya pengaruh beliau di kalangan rakyat Mesir. Melihat kepada nisbah demografi kewujudan golongan Salafi di Mesir, sokongan yang bakal mereka berikan kepada mana-mana calon presiden akan memberikan kesan terhadap peluang calon tersebut untuk memenangi PR tersebut.

Apa yang pasti, golongan Salafi bersatu untuk tidak menyokong calon presiden IM yang baru, Dr. Mohamad Morsi, walaupun sewaktu pencalonan Shater, terdapat ramai di antara mereka yang lebih memilih untuk menyokong Shater berbanding Hazem Abu Ismail yang merupakan seorang Salafi. Keputusan mereka agak memeranjatkan ramai pemerhati memandangkan Morsi telah meletakkan slogan lama pihak IM, ‘al-Islam huwal Hal’ (Islam adalah penyelesaian) yang telah sepi semenjak revolusi 25 Januari dan digantikan dengan ‘Nahmilul khayr li Masr’ (Kami membawa kebaikan kepada Mesir) yang dijulang oleh parti FJP milik IM sekarang. Morsi juga telah menegaskan pada pelancaran kempennya di Kaherah bahawa beliau adalah ‘satu-satunya calon mewakili golongan Islamis’ berbanding Abul futouh dan al-Ewa. Dr Morsi juga menolak penamaan Mesir sebagai ‘negara Sivil’, dan menggantikannya keapda ‘negara demokratik beridentitikan Islam’ selari dengan aspirasi kebanyakan golongan Salafi. Malangnya, walaupun beliau menggunakan sentimen Islam yang lebih dekat dengan aspirasi kumpulan Salafi, namun majoriti kumpulan Salafi menolak pencalonan beliau.

Antara isu utama yang menyebabkan mereka menolak Morsi ialah keperibadian Morsi yang pada pandangan ramai, tidak sesuai dan tidak mempunyai kelayakan untuk menjadi presiden negara Mesir. Bagi kelompok Salafi dan para pemerhati politik, Morsi terdesak untuk menggunakan slogan-slogan tersebut untuk meraih sokongan kumpulan Salafi kerana beliau tidak mampu untuk meletakkan dirinya sebagai calon yang paling sesuai untuk jawatan presiden kerana ketiadaan karismatik dan keperibadian yang boleh menarik sokongan majoriti. Pendirian ini bukan hanya terhad kepada golongan Salafi sahaja. Malah ramai di kalangan golongan pemuda dan rakyat kebanyakan yang telah memberikan undi kepada IM sewaktu PRU yang lalu melahirkan pandangan yang sama. Melalui survey yang dilakukan oleh pihak media dan juga badan-badan kajian politik di Mesir, kebanyakan rakyat pro-Islamis merasakan bahawa kehadiran Morsi di peringkat ini (selepas Shater ditolak pencalonannya) disifatkan hanya sebagai pemecah undi golongan Islamis, sekaligus menjejaskan peluang untuk calon berlatar belakangkan Islamis untuk memenangi kerusi Presiden. Natijahnya, ia akan membuka peluang lebih kepada Amr Mousa untuk memenangi jawatan tersebut.

Rasional tersebut juga dikongsi oleh ramai anggota di peringkat bawahan IM, terutamanya dari kalangan para pemuda IM. Pihak kepimpinan IM turut mengakui bahawa mereka menerima tekanan yang kuat dari kalangan para pemuda IM yang menggesa agar pihak kepimpinan menggugurkan Morsi dari pencalonan tersebut lantas membuka jalan agar Abul futouh mendapat peluang yang lebih untuk menjadi presiden. Bagi kebanyakan para pemuda IM yang dahulunya memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada Shater, kini menyedari bahawa peluang Morsi amat tipis untuk memenangi pilihanraya tersebut. Faktor kemampuan Morsi juga dipertikaikan. Sebagai seorang yang sering muncul di kaca televisyen dengan emosional dan kurang kemampuan untuk menjawab soalan-soalan yang diutarakan kepadanya sebagai seorang ahli politik, Morsi kini hanya meletakkan peluangnya pada undi anggota IM semata-mata. Bagi majoriti anggota IM yang telah dididik untuk mentaati keputusan kepimpinan tanpa berbelah bagi, mereka pastinya akan menyokong Morsi. Persoalan yang timbul, apakah jawatan nombor satu negara Mesir itu hanya memerlukan sokongan anggota IM semata-mata? Di sinilah ramai pengkritik politik menempelak IM.

Menurut ramai penganalisis politik di mesir, dan juga pendapat mantan kepimpinan dan anggota IM yang telah meninggalkan kumpulan tersebut, pencalonan Morsi menggantikan Shater dan juga keengganan IM untuk menyokong Abul Futouh sebenarnya datang dari kumpulan konservatif di dalam IM. Kumpulan konservatif tersebutlah yang menguasai Maktab Irshad (kepimpinan tertinggi) IM dan keputusannya. Golongan konservatif ini juga dikenali oleh para pengkaji dan pengamat gereakan Islam di Mesir sebagai golongan ‘Qutbiyun’ (kerana kecenderungan mereka terhadap ide radikal Syed Qutb berbanding ide moderat al-Banna) ataupun ‘Tarbawiyun’ (kerana sering mendakwa kepentingan tarbiyah berbanding aktiviti dakwah dan politik). Mereka disifatkan oleh ramai pihak sebagai batu pengahalang kepada usaha pencapaian kata sepakat antara kumpulan-kumpulan Islam untuk menyokong Abul Futouh. Bagi mereka, dosa besar Abul Futouh kepada jamaah IM tidak boleh dimaafkan. Maka apa-apa sokongan kepada Abul Futouh, menurut dakwaan mereka hanya akan menghalalkan tindakan Abul Futouh yang tidak mengikuti arahan kepimpinan tertinggi yang telah menyebabakan ramai di antara kepimpinan lapisan pertengahan dan juga dari kalangan pemuda dan pemudi IM berbondong-bondong meninggalkan IM sebagai protes kepada pendominasian golongan Qutbiyun ke atas hala tuju IM. Hubungan dingin di antara kumpulan Qutbiyun dengan Abul Futouh yang pernah mengepalai kumpulan reformis (digelar sebagai Islahiyun) di dalam kepimpinan IM sememangnya telah diketahui umum. Malah kemenangan golongan Qutbiyun menguasai kepimpinan IM dapat dilihat pada pemilihan anggota Maktab Irshad pada tahun 2009 yang telah menyaksikan Abul Futouh dan rakan-rakan beliau dari kumpulan Islahiyun terkeluar dari kepimpinan IM.

Bagi golongan IM pula, mereka mempunyai alasan tersendiri untuk mencalonkan Morsi yang pada asalnya merupakan pengganti jika Shater ditolak pencalonannya. Bagi mereka, kerajaan Mesir yang akan ditubuhkan dan bakal dikuasai oleh FJP tidak akan dapat menjalankan tugasnya dengan efektif jika presiden bukan dari parti yang sama. Hal seumpama ini dapat dilihat kepada pengalaman Palestin yang mempunyai parlimen dikuasai HAMAS dan presiden dari FATAH. Kesefahaman di antara kedua-dua kuasa eksekutif dan presiden amat diperlukan untuk membina Mesir yang baru. IM juga meletakkan harapan bahawa pihak yang telah menyokong FJP untuk memenangi 49% dari kerusi parlimen juga pastinya akan memilih presiden FJP untuk menjadi presiden mereka. IM juga meletakkan harapan kepada aktivis dan anggota mereka yang ramai untuk dimobilisasikan sepanjang tempoh berkempen nanti. Kehadiran lebih 50,000 anggota IM sewaktu pelancaran kempen Morsi juga telah memberikan harapan kepada IM untuk bertegas meyakini bahawa keputusan mereka mencalonkan Morsi adalah keputusan yang bijak, tepat dan selari dengan inspirasi serta disiplin perjuangan mereka.

Abul Futouh bersama golongan Salafi Mesir
Walau bagaimanapun, adalah terlalu awal untuk meletakkan apa-apa ramalan ataupun jangkaan terhadap PR presiden Mesir ini. Keadaan politk Mesir pasca revolusi 25 Januari terlalu dinamik dan jauh dari pesimisme. Setiap hari pastinya ada perubahan yang berlaku. Apa yang pasti, perbincangan golongan Islamis Mesir ini bukanlah yang terakhir, menurut kenyataan para ahli politik dari kumpulan-kumpulan yang terlibat, pertemuan-pertemuan akan diteruskan di masa-masa akan datang, dan akan melibatkan lebih ramai wakil sehinggalah detik terakhir pencalonan muktamad pada penghujung bulan April. Persoalannya, sejauhmana pihak Wisma Putra dan juga Kementrian Luar Malaysia mengikuti perkembangan PR presiden Mesir dan bersikap pro-aktif? Sewaktu keberadaan saya di bumi Mesir, pihak kedutaan dan kerajaan-kerajaan dari barat dan timur jauh tidak jemu menziarahi parti-parti utama di Mesir, terutamanya FJP dan parti Nour. Mereka juga aktif bertemu dengan calon-calon presiden untuk mengikuti perkembangan dengan lebih dekat. Di samping itu, media-media barat dan juga Jepun tidak ketinggalan mengikuti perkembangan politik Mesir dengan dekat. Mana tidaknya, masa depan politik Mesir mempunyai kesan langsung terhadap isu Palestin di masa hadapan. Tidak boleh dilupakan juga, usaha pembangunan semula negara Mesir dengan pendapatan negara yang lebih baik berbanding zaman Mubarak juga menjanjikan peluang pelaburan dan perniagaan yang luas bagi negara-negara luar, terutamanya negara-negara Islam…