• penyokong MursiTembakan bertubi-tubi ditujukan ke arah penyokong Mursi.
 1 / 1 
Bahagian akhir

Pihak Tamarrod dan media Barat juga sering menggambarkan IM membolot kuasa dan ingin meng’Ikhwan’kan Mesir dengan penguasaan terhadap kesemua institusi politik di Mesir.

Sebagai contohnya, IM memenangi hampir 50 peratus daripada kerusi parlimen, IM juga memenangi majoriti besar daripada Majlis Shura Mesir, IM juga mendominasi ahli majlis penggubalan perlembagaan yang baru, dan paling utama berjaya mendapatkan kerusi presiden untuk akil mereka, iaitu Mursi. IM dan Mursi juga dituduh sebagai tidak bersikap inklusif dan terlalu eksklusif dalam menentukan hala tuju negara tersebut.

Amat pelik alasan yang dikemukakan ini jika dilihat dari sudut sistem demokrasi. Bukankah yang memilih IM adalah rakyat melalui jalan demokrasi yang bersih dan adil? Bukankah itu yang diminta rakyat semasa revolusi 25 Januari 2011?

Bukankah mereka yang dipilih rakyat wajib menjalankan tanggungjawab mereka demi membawa aspirasi rakyat?

Jika ketepikan logik demokrasi pun kita akan dapati tuduhan yang dilemparkan ke atas IM tidak berasas sama sekali. Jika dilihat kepada komposisi gabenor-gabenor yang dilantik, walaupun Mursi berhak meletakkan kesemua gabenor daripada kalangan IM, namun hanya 35 peratus gabenor di seluruh Mesir adalah daripada anggota IM.

Dalam bidang birokrasi pula, hanya 100 orang IM yang terlibat dalam jawatan tertinggi kerajaan. Lebih menarik, dalam Kabinet kerajaan, hanya empat kementerian sahaja dijawat IM, malah jawatan perdana menteri pun diberikan kepada Hesham Qindil,
yang bukan ahli IM.

Berbalik kepada isu inklusif, bukankah sewaktu Mursi memulakan tugasnya sebagai presiden beliau pernah menawarkan timbalan presiden kepada Hamdy Sabahin, tetapi ditolak mentah-mentah oleh Sabahin.

Lebih pelik sejurus selepas beliau menolak jawatan tersebut, beliau mengadakan sidang akhbar mengatakan Mursi dan IM ingin membolot kesemua jawatan penting dalam kerajaan.

Mursi juga pernah menawarkan jawatan yang sama kepada Baradei, tetapi ditolak mentah-mentah oleh al-Baradei.

Begitu juga dengan Majlis penasihat presiden yang telah menyaksikan wajah dari pelbagai kumpulan yang dilantik oleh Mursi dalam pentadbirannya daripada kalangan golongan liberal, Kristian, Salafi dan juga sekular.

Malangnya ada di antara mereka yang menerima, dan ada di antara mereka yang menolak, dan membuat tuduhan IM ingin membolot kuasa.

Bagi pihak berhaluan kiri pula, hujah yang sering digunakan ialah IM adalah pro-AS, neo-liberalisme dan mendukung ideologi kapitalis.

Hubungan rapat Mursi dengan golongan pelabur dan juga ahli perniagaan di Mesir juga dijadikan hujah untuk menolak apa yang mereka label sebagai ‘Islamis neo-Liberal’.

Bagi pihak Mursi, mereka menolak dakwaan tersebut. Menurut mereka, Mursi menjalankan dasar pandang ke timur dan selatan.

Antara negara dilawat Mursi ataupun delegasi rasminya adalah Rusia, China an Brazil. Dapat difahami jika tujuan lawatan mereka untuk mendapatkan pelaburan daripada para pelabur negara-negara tersebut, adalah untuk membangunkan ekonomi Mesir.

Apakah salah bagi sesebuah kerajaan untuk membangunkan ekonomi negaranya dengan menggalakkan pelabur asing datang ke negaranya?

Berbalik kepada hubungan Mursi dengan AS, adalah maklum bahawa Mesir sebagai kuasa politik serantau di Asia barat perlu mengadakan hubungan diplomatik dengan kuasa besar dunia itu.

Malah sesiapapun yang menjadi presiden Mesir mesti mengadakan hubungan dengan AS, namun persoalannya hubungan yang bagaimana?

Amat pelik tatkala kumpulan berhaluan kiri ini giat menuduh IM sebagai pro-AS dan Neo-Liberal, tidakkah mereka memerhatikan pemimpin Tamarrod, al-Baradei, yang terang-terang mengundang Barat, terutamanya AS untuk masuk campur menjatuhkan Mursi?

Lupakah mereka tentang hubungan al-Baradei dengan AS? Lebih ironik lagi adalah kewujudan golongan liberal dan sekular di antara kelompok Tamarrod yang menentang Mursi dan IM dari awal lagi dikenali sebagai penerima dana asing, terutamanya AS.

Malah Parlimen Mesir selepas revolusi 25 Januari di awal pentadbiran mereka telah membuat undang-undang mengekang bantuan dana asing ke Mesir di peringkat individu dan ahli politik serta NGO kerana menyedari bahayanya pengaruh dana asing yang disalurkan melalui gerakan- gerakan tersebut.

Persoalannya, mengapakah kumpulan berhaluan kiri boleh bersama dengan ejen-ejen tersebut untuk bersama-sama menjatuhkan Mursi?

Antara hujah lain yang kerap digunakan oleh kumpulan Tamarrod juga ialah IM mengekang kebebasan sepanjang mereka berkuasa.

Pendakwaan ke atas komedian Bassam Yusuf yang menghina Islam dalam rancangan ‘Talkshow’ beliau, dan juga Tawfiq Ukasya yang telah memfitnah beliau selama tiga jam di media pada 27 Mei 2012 telah dijadikan sebagai contoh.

Agak ironinya hujah ini ialah sepanjang Mursi menjadi presiden selama setahun, Mursi tidak pernah menutup mana-mana stesen TV, radio mahupun akhbar.

Lebih malang lagi selama setahun beliau menjadi presiden, beliau menjadi sasaran kritikan, cemuhan, lawak jenaka, malah fitnah oleh media-media yang rata-ratanya dikuasai oleh penentang IM dan golongan yang anti-Islam.

Malah, mereka bebas bersiaran tanpa sebarang sekatan. Sikap profesional Mursi dan juga keteguhan beliau menjunjung kebebasan media tidak pula mendapat liputan media Barat, mahupun golongan yang memperjuangkan kebebasan media dan hak asasi manusia.

Sepanjang tempoh setahun itu juga, tidak ada seorang pun wartawan atau pengacara ataupun editor akhbar mahupun media yang ditangkap ataupun diseksa tanpa bicara.

Mengenai Bassam Yusuf dan Tawfiq Ukasya pula, kedua-dua mereka telah dihadapkan ke muka pengadilan dan diberikan hak menurut undang-undang dan perlembagaan.

Sebaliknya selepas 30 Jun, stesen tv milik Ikhwan, milik Aljazeera dan milik Salafi telah ditutup. Wartawan ditangkap dan ada yang dibunuh. Ini mengulangi pengalaman di zaman Mubarak.

Malah Mursi membiarkan sahaja pengamal-pengamal media milik liberal dan sekular mengejek, memfitnah dan memburuk-burukkan dirinya dan IM setiap hari sepanjang setahun beliau memerintah.

Tuduhan yang turut dilemparkan juga ialah IM bersikap anti-Kristian, dan Mursi mengamalkan diskriminasi terhadap golongan Koptik.

Sikap yang ditunjukkan oleh golongan Koptik ini merupakan kesan indoktrinisasi berterusan di zaman Mubarak yang sering menakut-nakutkan golongan Koptik terhadap IM.

IM digambarkan sebagai golongan pengganas dan ekstremis. Alasan ini juga ditolak oleh fakta memandangkan di antara kepimpinan parti milik IM, iaitu FJP ada seorang Kristian, iaitu Rafiq Habib.

Presiden Mursi sendiri telah berhasrat melantik wakil wanita Koptik menjadi timbalan presiden sejurus beliau memenangi Pilihan raya Presiden.

Bila berlaku serangan ke atas gereja, Mursi bangkit mengecam dan berpihak kepada gereja. IM sepanjang sejarah mereka tidak pernah bermusuh dengan pihak gereja dan juga tidak pernah membunuh walau seorang pun Kristian.

Kesimpulan yang boleh dibuat mengenai apa yang berlaku di Mesir ialah, Kudeta adalah sesuatu yang telah dirancang untuk menaikkan semula saki-baki rejim Mubarak, mengekang kebangkitan Islamis dan juga menjatuhkan reputasi Islamis sebagai tidak mampu memerintah dan tidak mempunyai kebolehan untuk mentadbir.

Walau bagaimanapun, hal ini tidaklah pula boleh memberikan markah penuh kepada IM dalam keadaan mereka menjadi mangsa.

Bagi pihak IM, apa yang berlaku sepatutnya menjadi titik tolak untuk mereka melakukan retrospeksi mengenai strategi dan juga langkahlangkah sumbang mereka yang perlu dijauhi untuk menghadapi masa mendatang.

Begitu juga, mereka perlulah mengambil masa untuk membuat anjakan dan penstrukturan semula beberapa langkah strategik dan juga beberapa kandungan dalam doktrin IM yang telah diterjemahkan sepanjang gerak kerja mereka pasca evolusi 25 Januari sehingga membawa kepada kudeta 3 Julai 2013.