Monday, 23 April 2012


Dilemma Islamis menjelang Pilihanraya Presiden Mesir

Dr Maszlee Malik

Bagi rakyat Mesir pilihanraya (PR) presiden Mesir pada 23 Mei yang akan datang merupakan detik bersejarah negara berkenaan. Ia bakal menentukan masa depan dan juga bentuk Mesir moden pasca-revolusi 25 Januari. Jawatan presiden mempunyai kuasa yang mutlak yang tidak dimilki oleh parlimen. Pihak berkuasa tentera (SCAF) juga telah berjanji untuk menyerahkan kuasa kepada rakyat selepas PR presiden tersebut. Makanya, pemilihan presiden merupakan kemuncak kepada perjuangan kebebasan rakyat Mesir. Ia akan menjadi kayu ukur untuk melihat samada revolusi 25 Januari benar-benar mencapai matlamat ataupun sebaliknya.

Selepas pintu penamaan calon ditutup untuk bertanding di pusingan pertama PR presiden pada 23 Mei nanti, seramai 13 calon terkahir dikenal pasti akan bertanding. Agak menarik, dari 23 orang pada asalnya yang akan bertanding, 10 orang telah ditolak pencalonannya kerana isu-isu berkaitan undang-undang dan kelayakan mereka. Di antara 10 orang tersebut, nama-nama heavyweight seperti calon Ikhwan Muslimun (IM), Khayrat Shater; mantan ketua perisikan tentera Mesir, Jen. Omar Sulaiman; dan juga calon Salafi paling popular, Hazem Abu Ismail merupakan di antara mereka yang ditolak pencalonannya. Selapas tamat tempoh rayuan, ternyata kesemua mereka terpaksa menerima keputusan muktamad pihak suruhanjaya pilihanraya yang menolak kesemua rayuan tersebut.

Kini, di antara 13 calon yang berbaki, kebanyakan mata tertumpu kepada beberapa nama heavyweight mewakili dua kelompok di dalam politik Mesir. Kelompok pertama diwakili oleh tiga nama utama, iaitu mantan pemimpin IM yang dipecat, Dr Abdel Mon’em Abul futouh; tokoh akademik dan intelektual, Dr Muhammad Salem al-Ewa dan calon dari IM dan juga presiden parti FJP, Dr Muhammad Morsi. Kelompok ini dilabel oleh para penganalisis politik sebagai kelompok Islamis. Kelompok yang bertentangan pula adalah mantan setiauasaha Liga Arab, Amr Mousa; ketua parti al-Karamah dan lambang golongan sosialis, Dr Hamden Sabahi dan juga mantan Perdana Menteri Mesir di zaman Mubarak, Ahmad Syafiq. Nama-nama tersebut pula dilihat mewakili kelompok sekular. Dari kelompok sekular tersebut, Amr Mousa dilihat lebih berpeluang berbanding Sabahin yang agak kurang popular di kalangan rakyat luar bandar dan Ahmad Syafiq yang dilihat sebagai saki baki (fuloul) rejim Mubarak. Bagi kelompok Islamis pula, pilihan mereka terbahagi kepada tiga nama yang telah disebutkan.

Dr Mohammad Morsi calon presiden Ikhwan Muslimun
Menyedari keperluan suara kelompok Islamis perlu disatukan agar undi mereka tidak pecah lantas memberikan kemenangan mudah kepada Amr Mousa, satu pertemuan di antara kumpulan-kumpulan Islamis telah diadakan di Kaherah pada 22 April yang lalu. Perbincangan yang gagal mencapai kata sepakat itu telah menyaksikan bagaimana dua kelompok terbesar kelompok Islamis, iaitu IM dan kumpulan-kumpulan Salafi telah bertegang urat leher untuk mencapai kata sepakat. Selepas pihak suruhanjaya PR Presiden menolak pencalonan Hazem Abu Ismael, majoriti kumpulan Salafi dan juga kepimpinan atau ulama mereka menyatakan sokongan kepada Abul Futouh. Walaupun ideolog kumpulan Dakwah Salafiyah (iaitu jamaah induk kepada parti Nour yang mewakili kumpulan berkenaan), Syeikh Yasir Borhami bahawa golongan Salafi masih lagi mempertimbangkan di antara Abul Futouh dan Dr Salem al-Ewa, namun kebanyakan golongan muda dan aktivis politik mereka lebih memilih Abul futouh. Pertamanya, al-Ewa tidak mempunyai sokongan yang kuat dari akar umbi Salafi yang melihat beliau dengan penuh prejudis kerana hubungan rapat beliau dengan Iran dan juga sikap lunaknya kepada penganut mazhab Syiah; keduanya, kerana tipisnya peluang beliau untuk memenangi PR Presiden berdasarkan kurangnya pengaruh beliau di kalangan rakyat Mesir. Melihat kepada nisbah demografi kewujudan golongan Salafi di Mesir, sokongan yang bakal mereka berikan kepada mana-mana calon presiden akan memberikan kesan terhadap peluang calon tersebut untuk memenangi PR tersebut.

Apa yang pasti, golongan Salafi bersatu untuk tidak menyokong calon presiden IM yang baru, Dr. Mohamad Morsi, walaupun sewaktu pencalonan Shater, terdapat ramai di antara mereka yang lebih memilih untuk menyokong Shater berbanding Hazem Abu Ismail yang merupakan seorang Salafi. Keputusan mereka agak memeranjatkan ramai pemerhati memandangkan Morsi telah meletakkan slogan lama pihak IM, ‘al-Islam huwal Hal’ (Islam adalah penyelesaian) yang telah sepi semenjak revolusi 25 Januari dan digantikan dengan ‘Nahmilul khayr li Masr’ (Kami membawa kebaikan kepada Mesir) yang dijulang oleh parti FJP milik IM sekarang. Morsi juga telah menegaskan pada pelancaran kempennya di Kaherah bahawa beliau adalah ‘satu-satunya calon mewakili golongan Islamis’ berbanding Abul futouh dan al-Ewa. Dr Morsi juga menolak penamaan Mesir sebagai ‘negara Sivil’, dan menggantikannya keapda ‘negara demokratik beridentitikan Islam’ selari dengan aspirasi kebanyakan golongan Salafi. Malangnya, walaupun beliau menggunakan sentimen Islam yang lebih dekat dengan aspirasi kumpulan Salafi, namun majoriti kumpulan Salafi menolak pencalonan beliau.

Antara isu utama yang menyebabkan mereka menolak Morsi ialah keperibadian Morsi yang pada pandangan ramai, tidak sesuai dan tidak mempunyai kelayakan untuk menjadi presiden negara Mesir. Bagi kelompok Salafi dan para pemerhati politik, Morsi terdesak untuk menggunakan slogan-slogan tersebut untuk meraih sokongan kumpulan Salafi kerana beliau tidak mampu untuk meletakkan dirinya sebagai calon yang paling sesuai untuk jawatan presiden kerana ketiadaan karismatik dan keperibadian yang boleh menarik sokongan majoriti. Pendirian ini bukan hanya terhad kepada golongan Salafi sahaja. Malah ramai di kalangan golongan pemuda dan rakyat kebanyakan yang telah memberikan undi kepada IM sewaktu PRU yang lalu melahirkan pandangan yang sama. Melalui survey yang dilakukan oleh pihak media dan juga badan-badan kajian politik di Mesir, kebanyakan rakyat pro-Islamis merasakan bahawa kehadiran Morsi di peringkat ini (selepas Shater ditolak pencalonannya) disifatkan hanya sebagai pemecah undi golongan Islamis, sekaligus menjejaskan peluang untuk calon berlatar belakangkan Islamis untuk memenangi kerusi Presiden. Natijahnya, ia akan membuka peluang lebih kepada Amr Mousa untuk memenangi jawatan tersebut.

Rasional tersebut juga dikongsi oleh ramai anggota di peringkat bawahan IM, terutamanya dari kalangan para pemuda IM. Pihak kepimpinan IM turut mengakui bahawa mereka menerima tekanan yang kuat dari kalangan para pemuda IM yang menggesa agar pihak kepimpinan menggugurkan Morsi dari pencalonan tersebut lantas membuka jalan agar Abul futouh mendapat peluang yang lebih untuk menjadi presiden. Bagi kebanyakan para pemuda IM yang dahulunya memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada Shater, kini menyedari bahawa peluang Morsi amat tipis untuk memenangi pilihanraya tersebut. Faktor kemampuan Morsi juga dipertikaikan. Sebagai seorang yang sering muncul di kaca televisyen dengan emosional dan kurang kemampuan untuk menjawab soalan-soalan yang diutarakan kepadanya sebagai seorang ahli politik, Morsi kini hanya meletakkan peluangnya pada undi anggota IM semata-mata. Bagi majoriti anggota IM yang telah dididik untuk mentaati keputusan kepimpinan tanpa berbelah bagi, mereka pastinya akan menyokong Morsi. Persoalan yang timbul, apakah jawatan nombor satu negara Mesir itu hanya memerlukan sokongan anggota IM semata-mata? Di sinilah ramai pengkritik politik menempelak IM.

Menurut ramai penganalisis politik di mesir, dan juga pendapat mantan kepimpinan dan anggota IM yang telah meninggalkan kumpulan tersebut, pencalonan Morsi menggantikan Shater dan juga keengganan IM untuk menyokong Abul Futouh sebenarnya datang dari kumpulan konservatif di dalam IM. Kumpulan konservatif tersebutlah yang menguasai Maktab Irshad (kepimpinan tertinggi) IM dan keputusannya. Golongan konservatif ini juga dikenali oleh para pengkaji dan pengamat gereakan Islam di Mesir sebagai golongan ‘Qutbiyun’ (kerana kecenderungan mereka terhadap ide radikal Syed Qutb berbanding ide moderat al-Banna) ataupun ‘Tarbawiyun’ (kerana sering mendakwa kepentingan tarbiyah berbanding aktiviti dakwah dan politik). Mereka disifatkan oleh ramai pihak sebagai batu pengahalang kepada usaha pencapaian kata sepakat antara kumpulan-kumpulan Islam untuk menyokong Abul Futouh. Bagi mereka, dosa besar Abul Futouh kepada jamaah IM tidak boleh dimaafkan. Maka apa-apa sokongan kepada Abul Futouh, menurut dakwaan mereka hanya akan menghalalkan tindakan Abul Futouh yang tidak mengikuti arahan kepimpinan tertinggi yang telah menyebabakan ramai di antara kepimpinan lapisan pertengahan dan juga dari kalangan pemuda dan pemudi IM berbondong-bondong meninggalkan IM sebagai protes kepada pendominasian golongan Qutbiyun ke atas hala tuju IM. Hubungan dingin di antara kumpulan Qutbiyun dengan Abul Futouh yang pernah mengepalai kumpulan reformis (digelar sebagai Islahiyun) di dalam kepimpinan IM sememangnya telah diketahui umum. Malah kemenangan golongan Qutbiyun menguasai kepimpinan IM dapat dilihat pada pemilihan anggota Maktab Irshad pada tahun 2009 yang telah menyaksikan Abul Futouh dan rakan-rakan beliau dari kumpulan Islahiyun terkeluar dari kepimpinan IM.

Bagi golongan IM pula, mereka mempunyai alasan tersendiri untuk mencalonkan Morsi yang pada asalnya merupakan pengganti jika Shater ditolak pencalonannya. Bagi mereka, kerajaan Mesir yang akan ditubuhkan dan bakal dikuasai oleh FJP tidak akan dapat menjalankan tugasnya dengan efektif jika presiden bukan dari parti yang sama. Hal seumpama ini dapat dilihat kepada pengalaman Palestin yang mempunyai parlimen dikuasai HAMAS dan presiden dari FATAH. Kesefahaman di antara kedua-dua kuasa eksekutif dan presiden amat diperlukan untuk membina Mesir yang baru. IM juga meletakkan harapan bahawa pihak yang telah menyokong FJP untuk memenangi 49% dari kerusi parlimen juga pastinya akan memilih presiden FJP untuk menjadi presiden mereka. IM juga meletakkan harapan kepada aktivis dan anggota mereka yang ramai untuk dimobilisasikan sepanjang tempoh berkempen nanti. Kehadiran lebih 50,000 anggota IM sewaktu pelancaran kempen Morsi juga telah memberikan harapan kepada IM untuk bertegas meyakini bahawa keputusan mereka mencalonkan Morsi adalah keputusan yang bijak, tepat dan selari dengan inspirasi serta disiplin perjuangan mereka.

Abul Futouh bersama golongan Salafi Mesir
Walau bagaimanapun, adalah terlalu awal untuk meletakkan apa-apa ramalan ataupun jangkaan terhadap PR presiden Mesir ini. Keadaan politk Mesir pasca revolusi 25 Januari terlalu dinamik dan jauh dari pesimisme. Setiap hari pastinya ada perubahan yang berlaku. Apa yang pasti, perbincangan golongan Islamis Mesir ini bukanlah yang terakhir, menurut kenyataan para ahli politik dari kumpulan-kumpulan yang terlibat, pertemuan-pertemuan akan diteruskan di masa-masa akan datang, dan akan melibatkan lebih ramai wakil sehinggalah detik terakhir pencalonan muktamad pada penghujung bulan April. Persoalannya, sejauhmana pihak Wisma Putra dan juga Kementrian Luar Malaysia mengikuti perkembangan PR presiden Mesir dan bersikap pro-aktif? Sewaktu keberadaan saya di bumi Mesir, pihak kedutaan dan kerajaan-kerajaan dari barat dan timur jauh tidak jemu menziarahi parti-parti utama di Mesir, terutamanya FJP dan parti Nour. Mereka juga aktif bertemu dengan calon-calon presiden untuk mengikuti perkembangan dengan lebih dekat. Di samping itu, media-media barat dan juga Jepun tidak ketinggalan mengikuti perkembangan politik Mesir dengan dekat. Mana tidaknya, masa depan politik Mesir mempunyai kesan langsung terhadap isu Palestin di masa hadapan. Tidak boleh dilupakan juga, usaha pembangunan semula negara Mesir dengan pendapatan negara yang lebih baik berbanding zaman Mubarak juga menjanjikan peluang pelaburan dan perniagaan yang luas bagi negara-negara luar, terutamanya negara-negara Islam…